Bab 7
Sudah sebulan Lyn kembali ke London. Entah bila pula dia akan balik ke sini. Lyn sendiri tak pasti. Tapi sebelum dia pergi hari tu, dia sempat sakat aku. Dia cakap kalau satu hari nanti aku dengan Eid boleh jadi best friend yang berkepit 24 jam, susah nak berenggang, mungkin dia akan balik. Untuk meraikan. Aku hanya mampu geleng kepala ajelah. Dua beradik tu memang kuat menyakat.
Sekarang ni aku dengan Eid biasa-biasa aje. Maksud aku, kita orang macam manusia yang normal. Bertegur sapa. Berbalas senyum. Tiada benci. Dia pun tak usik aku lagi. Eh, kejap. Aku tukar ayat aku. Dia dah 'kurang' usik aku. Sebabnya kadang-kadang dia ada aje usik aku. Usikan yang aku masih boleh terima. Yang tak buat aku sakit hati. So, aku okey saja.
Hmmm... Macam tu ajelah hubungan aku dengan Eid. Kau orang nak expect apa lagi? Takkan kau orang expect aku dengan dia tiba-tiba jadi best buddy pula? Mengarut!
Hubungan aku dengan mr. library?
Aku sebenarnya dah lama tak pergi library. Kali terakhir aku jumpa dia masa kat gelanggang bola keranjang. 'Dia' yang kini sudah mempunyai nama. Ariff. Aku tak tahulah apa yang aku rasa sekarang ni. Tapi perasaan teruja nak menanti hari Rabu tu dah tak ada. Tak macam dulu. Mungkin sebab dulu mr. library tu masih misteri kepada aku. So, aku rasa teruja.
Sekarang ni, bila aku tahu dia tu kawan Eid, bila aku dah tahu nama dia... rasa teruja tu macam hilang. Terus pudar. Rasa misteri tu dah tak ada. Aku macam tak ada rasa apa-apa. Aku tak teruja nak jumpa dia. Tak teruja nak menanti hari Rabu so that aku boleh date dengan dia dekat our special place i.e. our library. Ceh! Terus our library. Dah keluar kepoyoan aku.
"Aurora!"
Panggilan seseorang mematikan langkah kakiku. Aku berpaling ke belakang. Memandang Phia yang sedang berlari-lari anak mendapatkanku.
"Weh, bila nak buat study group?" soal Phia bila dia dah berdiri depan aku.
Dua minggu lagi kami bakal menduduki peperiksaan pertengahan semester. Dan seperti biasa aku, Phia dan dua orang lagi kawan kita orang akan study sama-sama.
Aku jongket bahu.
"Entah. Kau nak start bila?"
"Petang ni? Lepas kelas?"
Aku menganggukkan kepala. Setuju. Aku tak ada apa-apa plan pun hari ni. Memang aku bercadang nak ulang kaji pun.
"Nanti kau cuba tanya Deeja dengan Leya. Kalau dia orang tak boleh join hari ni, kita dua ajelah pergi library."
"Okey. Kita pergi library sini ajelah. Aku rasa awal-awal ni tak ramai kut."
Aku oles senyum.
"Okey," jawabku.
Ya, aku tak kesah Phia nak studi kat library yang berhampiran dengan fakulti kami. Aku tak kesah kalau tak pergi library yang telah menemukan aku dengan Ariff.
Aku. Tak. Kesah.
HANYA aku dan Phia sahaja yang pergi ke library petang itu. Deeja dengan Leya ada urusan lain. Esok baru mereka akan join kami. So, aku dengan Phia self study aje. Buat latihan taxation. Aku duduk menghadap rak-rak buku dan Phia di sebelahku.
Betul kata Phia. Awal-awal ni library masih kosong. Tak ramai yang suka studi awal-awal. Semua dok pakat nak studi last minute. Yang jenis kalau esok exam, malam ni kena stay up untuk ulang kaji. Itu yang library asyik full aje.
Aku bukan jenis macam tu. Biasanya kalau dah hujung-hujung tu, aku lebih kepada reda. Nak kata aku ni budak pandai, taklah. Result aku selalunya biasa-biasa aje. Cuma aku tak reti nak kalut-kalut last minute. Yang penting aku lulus.
Pen di tangan dicampak bersama helaan nafas perlahan. Aku membetulkan posisi tubuh dan mula membuat regangan kecil. Mataku melilau tanpa hala tuju, memerhati suasana sekeliling. Dan tiba-tiba...
Mataku tertancap ke satu arah. Rahangku jatuh.
Oh.
My.
God.
Apa yang dia buat kat sini?
Degup jantungku mula berubah rentak. Entah kenapa aku mula cemas semacam. Berdebar barangkali bila dah lama tak tatap wajah itu. Aku mula tak tentu arah. Dalam sekelip mata, ketenanganku direntap.
Mataku melingas mencari si dia yang hilang ke mana. Mungkin hilang di celah-celah rak buku. Aku hanya nampak wajah dia sekilas sahaja. Mana dia pergi?
Aku mula hilang fokus. Otak aku mula memikirkan dia aje. Memikirkan, kenapa dia muncul di library ini dan ke manakah dia pergi? Terselit rasa kecewa dan hampa bila mataku gagal mencarinya. Perlukah aku berjalan-jalan ke sudut lain?
Kejap, kejap...
Tadi kata tak kesah dengan si Ariff. Habis tu, kenapa sekarang kesah pula? Kenapa sekarang berdebar pula bila nampak dia? Adakah perasaanku pada dia masih sama? Dan tidak berubah?
Entah macam mana dan dari mana, Ariff muncul di depanku. Duduk di meja berhadapan denganku. Dan dia duduk menghadapku. Betul-betul menghadapku. Kami duduk setentang. Yang memisahkan kami hanyalah kerusi dan meja.
Oh Tuhan.
Aku terus tundukkan wajah. Rambutku sengaja dijatuhkan ke hadapan, cuba menyembunyikan wajah yang sedang kemerahan. Aku terkejut. Aku cemas. Aku berdebar. Ia sesuatu yang sangat aku tak jangka. Sesuatu yang di luar jangkaan. Aku tak tahu apa yang dia buat kat sini. Aku tak tahu kenapa dia tiba-tiba ada kat sini?
Tarik nafas, hembus.
Tarik nafas, hembus.
Aku ulang beberapa kali. Cuba tenangkan diri aku. Phia di sebelah masih tekun menelaah. Langsung tak perasan perubahan pada diri aku. Baguslah... Aku tak nak Phia tahu. Aku tak nak sesiapa tahu pasal perasaan aku pada Ariff. Selama ini memang aku rahsiakan daripada semua orang kecuali Lyn.
Beberapa saat kemudian, aku berjaya tenangkan diri dan cuba kembali fokus pada latihan di buku. Macamlah aku tak biasa studi dengan dia kat library. Errr... tapi tak pernahlah sedekat dan setentang ini. Ini merupakan kali pertama kedudukan kami dekat sebegini.
Eid tiba-tiba muncul dalam frame mataku yang sedang curi-curi pandang Ariff. Dia menghampiri Ariff dan bertegur sapa. Bibirku terherot. Kenapa bila ada Ariff, mesti ada Eid? Spoil mood aku aje. Baru nak acah-acah flustered bila nampak crush yang hampir dilupakan.
Mata Eid yang sedang berbicara dengan Ariff tertancap ke arahku. Pandangan mata kami bertemu dan Eid lemparkan senyum. Aku kaku. Hanya mampu memandang Eid yang sudah mengatur langkah ke arahku dan meninggalkan Ariff. Dan tika itu aku perasan Ariff memandangku. Hanya sesaat sebelum dia kembali tunduk menghadap buku.
"Hai," tegur Eid di tepi meja. Memandang aku dan Phia.
"Kau orang studi sama-sama ke?"
Aku hanya mengangguk.
"Aku nak join, boleh?"
Phia pandang aku. Aku pandang Phia. Phia punya renungan mata macam suruh aku decide sendiri. So, aku pun cakap...
"Suka hati kau."
Eid senyum suka. Terus dia tarik kerusi depanku dan labuhkan punggung. Sekali gus menjadi penghadang antara aku dan Ariff. Aku tak tahulah aku perlu bersyukur atau kecewa. Tapi dengan adanya Eid depan mata aku ni, aku boleh kembali fokus dan tidak hegeh-hegeh nak curi pandang si Ariff.
FIKIRANKU melayang-layang entah ke mana. Entah sejak bila. Aku sendiri tidak sedar. Menerawang memikirkan perkara yang aku sendiri tak tahu macam mana nak zahirkan. Soal hati. Soal perasaan. Masa yang berlalu membuatkan aku makin hanyut dan tenggelam dalam lautan minda. Tanpa sedar, aku menghela nafas berat.
"Kenapa? Ada masalah ke dengan soalan tu?"
Soalan Eid membuatkan aku tersentak. Sekali gus menyedarkan aku ke dunia nyata. Kepalaku menggeleng perlahan.
"Kalau ada apa-apa tak faham, bagi tahulah. Aku boleh tolong."
Aku jeling Eid.
"Kenapa? So that kau boleh show off kepandaian kau?" soal aku dengan nada yang tak puas hati.
Entah kenapa, aku angin tiba-tiba. Padahal aku tahu niat Eid tu baik.
Eid tergamam dengan respons kasar aku.
Phia pun ikut tergamam. Dia pandang aku dengan mimik muka 'kau dah kenapa?'.
Suasana hening sekejap. Krik-krik aje. Aku sendiri terkejut dengan respons aku. Inikan pula Eid dengan Phia.
"Tak. I'm just offering help. Part mana pula yang buat kau fikir aku nak show off ni?"
Nada suara Eid masih sama macam tadi. Tenang.
Aku angkat punggung sambil merengus. Merengus kepada diri sendiri. Tanpa sepatah kata, aku mengorak langkah menuju ke tandas. Membiarkan Eid dan Phia termangu-mangu sendiri dengan perubahan emosiku.
Aku berdiri di depan cermin tandas. Merenung figura sendiri yang terpantul.
"What is wrong with you, Aurora?" soalku pada diri sendiri. Bibir melepaskan keluhan berat.
Aku buka pili air lalu membasuh muka. Berkali-kali. Cuba untuk menyegarkan diri. Cuba untuk menenangkan jiwa yang bergelora.
Puas menyimbah air ke muka sendiri, aku menyandar tubuh ke dinding. Diriku tampak lemah. Tak bermaya. Mata mengerling ke arah jam di pergelangan tangan.
Lagi sepuluh minit pukul 6.30 petang. Duduk dekat library pun bukannya aku boleh fokus. Aku memang tak boleh nak fokus pun sekarang ni. Justeru, aku putuskan untuk balik ke rumah. Aku kembali ke meja. Kemas barang-barang lalu sumbat semuanya dalam beg.
"Aku balik dulu, Phia," tuturku perlahan.
"Jom balik sama," ajak Eid.
Aku buat tak endah. Terus mengayun langkah pergi.
Eid cepat-cepat mengekori aku. Berlari-lari anak untuk menyaingi langkahku.
"Kau marah aku ke, Aur?" tanya Eid dengan nada yang cukup berhati-hati. Macam takut sangat aku akan naik hantu dengan soalan dia. Macam tadi.
"Taklah. Aku minta maaf. Aku teremosi pula tadi," ucapku. Ikhlas.
Tiba-tiba hatiku terdetik sesuatu. Sesuatu yang membuatkan aku terkejut dengan diri sendiri. Aku macam... wow! Ini kali pertama aku minta maaf dekat Eid. Dan aku tak rasa kekok atau janggal pun masa minta maaf tu.
Eid lempar senyum. Senyum yang pada mata aku kelihatan manis. Mungkin dia tengah fikir apa yang aku fikir. First time!
"Jom aku belanja makan..."
"Tak naklah."
Aku menolak.
"Alah... Jomlah. Ada kafe baru bukalah. Tak jauh dari rumah kita."
Aku kerling Eid. Riak wajah dia masa tu macam beria-ia nak ajak aku makan sekali dengan dia.
"Yalah, yalah..."
Senyuman melebar di bibir lelaki itu. Entah apa yang dia suka sangat. Pergi makan aje pun.
Waktu kami tiba di kawasan parkir motor, kami terdengar ada orang panggil nama Eid. Serentak aku dengan Eid berpaling. Dan masa tu aku menyesal sangat sebab aku pandang belakang. Bila aku tahu Ariff yang panggil Eid, cepat-cepat aku pusingkan tubuh aku balik.
Telingaku menangkap bunyi derap sepatu yang makin mendekat. Dekat. Dan dekat. Degupan jantung pula semakin laju. Makin hampir bunyi derap sepatu, makin laju pula degupan jantung aku. Tubuhku mengeras. Terkaku di situ. Kaki pula bagai terpasung di situ. Tak boleh nak lari ke mana-mana. Hanya mampu membelakangkan tubuh.
"Nak balik dah ke, bro?"
Suara garau Ariff yang bertanyakan soalan kepada Eid menyapa telingaku. Aku telan liur. Kali pertama aku mendengar suaranya.
Ya. Kali pertama.
Aku makin berdebar.
Ya Allah. Teruknya sindrom first love aku. Memang macam ni ke perasaan kita bila sukakan seseorang?
"Bila nak main basketball lagi? Before mid term, aku nak main satu kali."
Aku pasang telinga, mendengar perbualan Ariff dan Eid. Tapi aku lebih fokus pada suara Ariff. Apa yang Eid balas, aku langsung tak dengar. Aku hanya dengar apa yang Ariff cakap sahaja.
"Okeylah, bro. Aku gerak dulu. Apa-apa hal roger."
Ariff sudah melangkah pergi. Aku melirikkan mata ke arah tubuh belakangnya yang makin menjauh.
"Aurora..."
Eid panggil. Tapi aku tak dengar.
"Aurora..."
Eid panggil lagi dan aku masih tak menyahut. Bila Eid mengawang-awang tangannya di depan mataku, baru aku tersedar.
"Kau pandang apa?"
"Tak ada apa-apa."
Cepat-cepat aku nafi.
"Kat mana kafe tu?" soalku, cuba menyembunyi kegugupan diri bila hampir kantoi dengan Eid.
"Kau follow aje aku dari belakang."
"Okey."
INSTAGRAMMABLE CAFE.
Ini yang aku boleh simpul tentang kafe yang baru dibuka berhampiran kawasan perumahanku. Dah nama pun kafe baru... Sudah semestinya segala seni hias dan dekorasi dalaman mengikut peredaran semasa. Perabot yang digunakan semuanya perabot yang tengah hangat di pasaran.
Aku rasa mesti ramai instagrammer yang akan datang ke kafe ni untuk bergambar. Sebab kafe ni serius cantik. Aku pun tak terlepas nak ambil gambar sekeping dua. Errr... actually more than that. Hehe.
Eid oder lamb chop. Aku oder spaghetti aglio olio. Ini merupakan kali pertama kami makan berdua. Tanpa famili masing-masing. Tanpa Lyn. Hanya berdua. Janggal jugalah sebenarnya.
Hmmm... terlalu banyak 'first time' pula yang berlaku hari ini.
First time minta maaf kat Eid.
First time dengar suara Ariff.
First time makan berdua dengan Eid.
Semuanya first time.
"Kau nak rasa lamb chop aku?" tawar Eid. Tangannya sudah bersedia untuk menyua potongan daging kambing ke dalam mulutku.
Aku segera menggeleng. Nak berkongsi garpu dengan Eid? Macam tak kena aje. Tak pasal-pasal bertambah senarai 'first time' aku nanti. First time berkongsi garpu. Eid ingat dia dengan Lyn ke sekarang ni? Aku tahulah dia orang memang jenis tak kesah berkongsi makanan, berkongsi sudu dan garpu. Tapi sekarang ni aku bukan Lyn.
"Sedap tak aglio olio tu?"
"Sedap," jawabku ringkas.
Mata Eid terhala ke arah pinggan makananku. Nampak macam terliur dengan spaghetti aglio olio aku. Lalu aku pun bertanya, "Kau nak rasa ke?"
Laju Eid mengangguk.
Belum sempat aku nak letak spaghetti ke pinggan Eid, dia dengan selamba pegang pergelangan tangan aku dan halakan garpu ke dalam mulut dia.
Aku tergemap. Mulutku separuh ternganga.
Jadi sekarang ni kita orang dah melangkah ke fasa berkongsi makanan? Oh Tuhan!
Eid kelihatan bersahaja. Tak ada riak bersalah. Macam apa yang dia buat tu normal. Aku pula yang termangu-mangu. Sudahnya, aku pasrah. Apa lagi yang boleh aku buat?
Lepas makan, kita orang terus balik ke rumah dengan motor masing-masing. Oh, ini pun boleh dikira first time juga. First time bawa motor sama-sama dengan Eid. Sebelum ni mana pernah. Berbasikal sama-sama tu pernahlah. Masa kita orang kecil dulu. Kat kampung Eid.
Tiba-tiba Eid cakap...
"Aur, esok pergi kelas sama-sama, eh?"
Aku macam... eh, eh mamat ni. Melebih la pula.
Aku diam aje. Tak bagi respons. Terus masuk ke dalam rumah.
Bạn đang đọc truyện trên: WatTruyen.Top