Bab 8
Sebaik sahaja aku keluar rumah, pandangan mataku tertancap ke arah Eid yang sedang duduk di atas motornya. Memandang ke arahku bersama tangan yang melambai mesra.
"Kau tunggu apa?" soalku bila aku nampak dia macam tengah tunggu sesuatu.
"Tunggu kau."
"Hah?"
Aku pandang Eid dengan riak wajah blur. Dah kenapa pula tunggu aku?
"Kan semalam dah cakap nak pergi kelas sama-sama..."
Oh, ya... Aku lupa. Sungguh!
Kepalaku menggeleng perlahan.
"Macam-macamlah kau ni. Asal tak pergi dulu aje? Aku bangun lambatlah hari ni," kataku sambil keluarkan sneakers kegemaranku dari almari kasut.
"Tak apa. Kalau lambat, kita lambat sama-sama."
Eh, eh mamat ni... Sekilas aku kerling wajahnya yang cukup bersahaja.
"Kau dah breakfast?" tanya Eid.
Aku hanya menggelengkan kepala.
Eid turun dari motor dan berjalan ke arah pagar yang memisahkan rumah kami.
"Nah!" tuturnya sambil hulur beg kertas bersaiz sederhana.
Dahiku berkerut. Keningku ternaik.
"Sandwich untuk kau," ujar Eid bagaikan faham apa yang aku tengah fikir.
Kerutan di dahi bertambah. Pelik dengan sikap Eid.
"Kau ni mimpi apa semalam? Tiba-tiba aje baik dengan aku," kataku. Janggal dengan perubahan sikap Eid.
"Mimpi apa pula? Salah ke aku nak buat baik dengan kau? Selama ni kan kau cakap aku selalu buat jahat..."
"Tak salah. Tapi..."
Aku berjeda.
"It's weird!"
"Apa yang weird?"
Aku pandang Eid. Jari telunjuk aku tuding ke arah dia. Kemudian ke arahku. Silih berganti.
"Us."
Eid tergelak kecil.
"Okey apa? We're getting better. Kau dah tak benci aku, kan?"
"Tak. Kan dah kosong-kosong?"
"Good! Sekarang, ambil paper bag ni. Tangan aku dah lenguh daripada tadi dok hulur kat kau."
Tersungging senyuman di bibirku. Beg kertas di tangan Eid aku capai.
"Terima kasih."
"Sama-sama," balas Eid bersama senyuman mesra.
TENGAH HARI itu, aku makan di kafe fakulti bersama Phia, Deeja dan Leya. Sedang kami galak ketawa dek cerita lucu Phia, Eid muncul di meja makan kami. Deeja dengan Leya mulalah menggeletis bila nampak Eid. Mujur Phia tak macam dia orang. Kawan baik aku ni memang kalis dengan wajah 'tampan' Eid.
"Kau orang pergi library ke hari ni?" tanya Eid.
Deeja dengan Leya laju mengangguk.
Eid pandang aku.
"Kau? Pergi juga ke?"
Aku hanya jawab 'hmmm' aje.
"Aku nak join. Boleh?"
Phia pandang aku. Aku pandang Phia. Sama-sama jongket bahu.
"Apa? Eid nak join kita orang?" Deeja menyoal dengan nada teruja.
"Eh, mestilah boleh. Eid kan best student... Boleh ajar kita orang yang tak berapa nak best student ni," seloroh Leya.
Senyuman tersungging di bibir Eid.
"Pukul berapa kau orang nak pergi?"
"Lepas habis kelaslah."
"Okey. Pergi sama-sama nanti."
Sebaik sahaja Eid berlalu pergi, Deeja dengan Leya terjerit gedik macam orang kena histeria. Siap hentak-hentak kaki.
"Wehhh! Seriuslah Eid nak studi dengan kita? Nervousnya," luah Deeja. Jelas keterujaannya.
"Kenapa tiba-tiba dia nak study dengan kita, eh?" Leya menyoal pelik.
Tidak semena-mena, aku terasa ada dua pasang mata sedang merenungku. Deeja dan Leya.
"Apa?" tanyaku. Buat-buat tak faham.
"Kenapa Eid tiba-tiba baik dengan kau, eh? Bukan ke kau orang berdua selalunya not on a good term?"
"Itu dulu. Sekarang ni dia orang dah berbaik sampai tahap Eid buatkan breakfast untuk dia."
Laju Phia menyindir. Menyesal pula beritahu Phia pasal sandwich yang aku makan pagi tadi. Tak pasal-pasal dah jadi topik gosip tengah hari ni.
Deeja dengan Leya pandang aku dengan mata yang terbeliak.
"Seriuslah?"
"Oh, my God! Jealousnya. Kenapa Eid tak buatkan untuk aku sekali?"
"Sebab kau bukan aku," jawabku bersama gelak jahat.
TAMAT sahaja kelas pada petang itu, aku dan kawan-kawanku termasuk Eid terus ke perpustakaan. Waktu kita orang tiba di tingkat tiga, aku ternampak Ariff. Sedang duduk menelaah buku. Eid yang turut nampak Ariff kat situ terus menegur.
"Eh... kau kat sini lagi. Buat apa?"
"Tunggu seseorang."
"Siapa?"
Ariff senyum sahaja.
Aku yang mencuri dengar mula tertanya-tanya. Siapa yang Ariff tunggu? Buah hati dia ke? Ariff dah ada girlfriend ke?
Aku gelengkan kepala perlahan. Menghalau segala persoalan yang singgah dalam minda. Hari ini aku nak fokus. Tak nak fikiran bercelaru macam semalam. Kakiku terus melangkah laju ke arah meja kosong yang Phia pilih untuk kami berlima.
Jangan fikir pasal Ariff hari ni, Aur! Ingat mid term kau. Itu lagi penting.
Sesi ulang kaji kami bermula. Masing-masing memberikan tumpuan sepenuhnya termasuk aku. Aku berjaya buang Ariff jauh-jauh. Sesekali aku terdengar Deeja dan Leya minta tunjuk ajar dari Eid. Aku pula, kalau tak faham, aku tanya aje Phia. Phia pun salah seorang best student fakulti kami. Memang dari dulu Phia yang bagi tunjuk ajar pada aku, Deeja dan Leya.
"Kau tak faham yang mana, Aur?" soal Eid waktu aku tengah tanya Phia.
Aku tercengang. Bukan Eid tengah bagi penerangan pada Deeja ke?
Semua orang diam.
"Mana yang kau tak faham?" Eid menyoal lagi.
"Tak apa. Aku boleh tanya Phia."
"Kenapa kau tak nak tanya aku?"
Hah? Sekali lagi aku tergamam.
Bukan aku seorang aje ya. Phia, Deeja dengan Leya pun tergamam sama.
"Kau kan tengah explain kat Deeja. Aku tanyalah Phia. Lagipun, Phia kat sebelah aku aje."
"Aku dah habis explain la. Kan Deeja, kan? Awak dah faham, kan?"
Riak wajah Deeja kelihatan blur. Tetapi dia tetap mengangguk. Anggukan yang macam tak pasti. Aku yakin Deeja sebenarnya belum faham. Cuma dia terpaksa mengangguk bila Eid dah tanya dia macam tu.
"So, mana yang kau tak faham, Aur?"
"ROI ni. Aku lupa macam mana nak kira," beritahuku. Malas nak ambil pusing tentang sikap pelik Eid.
Eid tarik kertas latihanku. Matanya terus membaca soalan yang tertera. Kemudian dia mula memberi penerangan kepadaku. Penerangan yang begitu teliti tentang return on investment. Aku tekun mendengar.
"Okey, dah faham. Thank you."
Eid balas dengan senyuman. Aku kembali hadap kertas latihan.
Lebih kurang setengah jam kemudian, Deeja dengan Leya cakap nak take a break. Dia orang berdua pergi ke tandas. Phia pula pergi beli air mineral. Tinggal aku berdua dengan Eid. Masih gigih membuat latihan.
Bila aku dah berjaya siapkan satu soalan, aku luruskan pinggang sekejap. Rehatkan otak seketika. Mataku mula meliar ke sekeliling. Dan akhirnya terhenti ke wajah Ariff. Masa ni barulah aku teringat yang Ariff berada dalam perpustakaan yang sama denganku. Aku mula tenggelam dalam lautan fikiran. Leka memandang wajah Ariff. Sehingga aku tidak sedar perbuatanku ini diperhati oleh Eid.
Eid berdeham.
"Kau pandang apa?"
Aku tergemap. Bola mataku terus bergerak ke arah Eid yang sedang memandangku. Riak wajah lelaki itu sudah berubah. Tidak seperti tadi. Tampak lebih serius. Aku telan liur. Eid perasan ke aku tengah tenung kawan dia?
"Kau nak aku kenalkan kau dekat dia ke?"
"Apa benda kau ni?"
Eid senyum sinis.
"Masih nak nafikan?"
Suasana tiba-tiba jadi janggal. Aku larikan pandangan mata dari Eid. Intonasi suaranya ketika itu buat aku kurang selesa. Kurang senang.
"Aku pergi cari Phia kejap. Lama sangat dia beli air," kataku. Memberi alasan untuk lari daripada kejanggalan yang wujud antara kami.
Aku terus bangun dan berjalan tinggalkan Eid.
Eid tahu aku suka Ariff. Eid tahu. Mana mungkin aku lupa kata-katanya masa dekat gelanggang bola keranjang dulu.
Bila aku balik ke meja kami, Eid sudah tiada. Barang-barangnya juga tiada. Mungkin dia sudah balik. Aku pandang sekeliling. Dan pandangan mataku bertembung dengan pandangan mata Ariff.
Kami. Saling. Bertentang. Mata.
Oh Tuhan! Jantung aku bagai berhenti berdegup.
Dan tiba-tiba bibir Ariff mengukirkan senyuman. Manis.
Aku terkesima.
Hatiku bagaikan dipanah api cinta.
Adakah senyuman manisnya itu untuk aku?
Bạn đang đọc truyện trên: WatTruyen.Top