WatTruyen.Top

Aurora

Bab 6

karyaseni2u

Sudah seminggu berlalu sejak kejadian di gelanggang bola keranjang. Sudah seminggu juga Eid dingin dengan aku. Tak pandang. Tak bercakap. Buat-buat tak nampak aku. Aku tak kesah pun. At least, dia tak ada kacau aku lagi. Dan hati aku pun tak sakit bila kena kacau. Satu minggu yang aman. Kalau berterusan macam ni pun aku tak kesah.

Sungguh.

Cuma... Aku tak faham apa yang dia marah sangat dekat aku. Pasal Lyn? Pasal Sein? Tapi bukan aku yang ajak Lyn pergi situ. Lyn pun dah jelaskan dekat dia. Dah tu, dia marah pasal apa? Apa yang dia tak puas hati? Dia boleh aje berbaik dengan Lyn. Tak ada pun nak dingin dengan Lyn lama-lama macam ni. Malam kejadian dia orang dah berbaik. Dah tu, aku? Apa salah aku?

Aku. Cuma. Tak. Faham.

Itu sahaja. Aku tak kesah langsung dia nak ignore aku. Sumpah.

Tapi sampai bila dia nak elakkan diri dari aku? Malam ni kita orang akan jumpa juga. Esok Lyn akan balik ke London. So, malam ni famili aku akan makan malam bersama famili Lyn. Famili di sini bermaksud aku, papa, mama, Uncle Hairi, Auntie Sue, Lyn dan Eid.

Lima minit sebelum kelas bermula, mataku tertancap ke arah Eid yang baru tiba. Cepat-cepat aku larikan pandangan. Dia pun tak pandang aku. Aku tumpukan perhatian ke arah lain. Ke arah nota-nota di depanku.

Tiba-tiba...

Dari ekor mata, aku nampak Eid berhenti di tepi meja. Aku terkaku. Tak sangka dia akan berhenti kat tepi meja aku. Entah kenapa, aku tak berani angkat kepala. Menunduk aje. Hanya perhati dari ekor mata.

Eid letak sebuah bekas makanan di atas meja aku dan tanpa sepatah kata, kembali menyambung langkah. Aku kerling bekas makanan yang Eid letak. Hati aku dilambung tanda tanya.

Kenapa bekas makanan yang Lyn bagi kali ni simple? Tak ada balutan furoshiki pun.

Lagi satu, kenapa Lyn tak bagi masa aku jumpa dia pagi tadi? Kenapa dia pass pada Eid? Lyn sengaja nak suruh abang dia pass dekat aku ke? So that we can have an interaction. A little, at least.

Argh, lantaklah. Yang penting pagi ni aku ada breakfast. Sejak Lyn manjakan aku dengan bekal-bekal makanan dia, perut aku ni asyik minta diisi aje setiap pagi. Dulu tak ada pula. Tak breakfast pun, tak ada hal. Acah-acah intermittent fasting gitu.

Aku capai bekas makanan di hujung meja. Mata aku membulat. Wow! Lyn macam tahu-tahu aje aku nak sandwich wanpaku. Semalam aku baru aje share resipi sandwich ni kat Facebook. Konon hujung minggu ni nak buat. Kononlah.

Tangan aku laju mencapai telefon. Klik!

Thank you for the sandwich.

Kau nampak aku share resipi ni kat FB ke?

Aku nampak Lyn tengah online. Dan tak lama kemudian, perkataan online bertukar kepada typing...

Aku tunggu gadis itu balas WhatsApp.

Aku memang nampak kau share resipi tu.

Tapi... Mana kau dapat?

Aku terkesima.

Bukan kau yang bagi aku ke?

Dan jawapan Lyn membuatkan mata aku terbuntang besar.

Tak. Aku tak bagi kau apa-apa pun.

Aku kan dah lama tak bagi kau bento box. Malas.

Mana kau dapat?

Bibirku terketap rapat. Takkan Eid yang bagi aku sandwich ni?

Saat itu, baru aku sedar ada sekeping nota kecil berhampiran dengan sandwich yang sudah dipotong dua. Aku capai nota kecil itu.

Aku minta maaf.

Aku terlopong.

So, betullah Eid yang bagi aku sandwich ni. Bukan Lyn.

Aku baca sekali lagi nota kecil di tanganku.

Eid minta maaf? Minta maaf kat aku? Tapi kenapa? Why so sudden? Kenapa tiba-tiba minta maaf kat aku? Selama ni dia tak pernah minta maaf pun. Takkan sebab apa yang berlaku hari tu?

Aku toleh kepala ke arah Eid. Cuba nak fahamkan apa yang sedang berlaku sekarang ni. Tapi Eid tak pandang aku. Dia tengah tulis sesuatu kat buku nota dia. Tak tahulah apa yang dia tulis.

"Kau kenapa? Muka terkejut macam nampak hantu aje," tegur Phia.

Pandangan mataku dikalihkan ke arah Phia. Kepala menggeleng perlahan.

"EID?" soal Lyn dengan nada terkejut. Kuat.

Mata Lyn dihala tepat ke arahku.

"Eid, abang aku tu? Eidlan? Muhammad Eidlan bin Zuhairi?"

Lyn menyoal lagi. Seakan-akan tidak percaya.

Aku mengangguk-anggukkan kepala.

"Dia yang bagi sandwich tu kat kau?"

Aku angguk.

"Dia minta maaf kat kau?"

Dan mengangguk lagi.

"Pelik, kan? Kau pun susah nak percaya."

"Yes! Unbelievable," komen Lyn.

"Aku tak sangka abang aku akan minta maaf kat kau," tambah Lyn selepas berjeda.

Bibir Lyn tiba-tiba menyulam senyum. Senyum yang cukup jelas kelihatan sesuatu pada pandangan aku. Hatiku mula digaru rasa kurang enak.

"Asal kau tiba-tiba senyum?"

Terus aku lempar soalan.

"Salah ke aku senyum?" balas Lyn sambil jongket keningnya.

Riak nakal jelas terpancar dekat muka Lyn.

"Kau dengan abang aku dah lama tak bercakap, kan?"

Lyn menyoal. Dan aku mengeyakan dengan anggukkan.

"Seminggu. Sejak dia marah aku kat gelanggang basketball," kataku.

Bibir Lyn menguntum senyum sekali lagi.

"Mungkin ini peluang untuk kau berbaik dengan dia," simpul Lyn.

Dahi aku berkerut. Tak faham logik kesimpulan Lyn.

"Apa benda kau merepek ni?"

"Aku tak merepeklah," nafi Lyn.

Gadis itu membetulkan duduknya di atas tilamku. Masa aku balik dari kampus tadi, Lyn terus serang aku dengan soalan siapa yang bagi aku sandwich.

"Cuba kau fikir... ini bukan kali pertama kau tak bertegur dengan abang aku tau. Dan ini bukan kali pertama kau orang bergaduh. Tapi selama ni, pernah tak dia minta maaf kat kau?"

Aku diam. Tak beri respons.

"Tak pernah, kan? Selama ni, lepas kau orang gaduh and mood dia dah okey, dia usik kau balik. Tegur kau macam biasa. Macam tak ada apa-apa berlaku. Betul tak?"

Aku 'hmmm' aje.

"Tapi kenapa tiba-tiba kali ni dia minta maaf? Siap buatkan sandwich untuk kau lagi. Kau tak rasa ke ini peluang untuk kau orang berdamai?"

Aku pandang Lyn dengan wajah kosong. Perlahan-lahan aku lepaskan tawa. Tawa yang pada mulanya kecil bertukar kuat. Hatiku bagaikan digeletek dengan kata-kata Lyn.

Pap!

Lyn tepuk bahu aku dengan bantal kecil bila aku masih galak ketawa.

"Aku serius ni. Kau ingat aku main-main ke?" marah Lyn. Geram.

"Kelakarlah weh," kataku sambil mengesat air mata yang keluar dek galak sangat ketawa.

Lyn jeling aku. Lepas tu dia pandang aku dengan riak yang serius.

"Kalau abang aku nak berbaik dengan kau, kau akan berbaik dengan dia tak?"

Tawaku terhenti. Soalan Lyn buat aku berfikir.

Panjang.

SUASANA pada malam itu sedikit janggal buatku. Ini kali pertama aku berasa canggung apabila bersama keluarga Lyn. Papa dan mama rancak berbual dengan Uncle Hairi dan Auntie Sue selepas kami selesai makan malam di restoran kegemaran Lyn. Tiada tanda-tanda untuk papa ajak balik dan tamatkan agenda malam ini.

Lyn pula kelihatan tekun mendengar perbualan mereka dan sesekali bersuara memberikan respons. Cuma aku dan dia sahaja yang diam membisu. Tanpa sepatah kata. Tanpa sepatah bicara.

Aku cuba jugalah fokus pada topik yang tengah rancak dibualkan. Tapi tak boleh. Satu butir pun tak masuk dalam kepala. Sudahnya, aku pun minta diri untuk keluar sekejap. Ambil angin dekat mini garden yang dihiasi dengan air pancut dan kolam ikan. Bosan, okey! Dah hampir dua jam kita orang kat sini.

Kakiku melangkah perlahan menelusuri laluan yang disediakan khas ke mini garden. Mata melilau tanpa arah. Sesekali merenung langit yang tak berbintang. Aku rasa diri aku kosong saat ini. Fikiranku kosong. Jiwaku kosong. Tanpa sebarang rasa. Bila dah tak tahu nak buat apa, aku jatuhkan duduk di atas bangku kayu berhampiran dengan air pancut.

Deheman seseorang mematikan lamunanku. Aku tersentak. Kepalaku berpaling ke sebelah. Tika itu, baru aku sedar kerusi di sebelahku sudah diduduki seseorang. Eid.

Buat beberapa saat, aku tergamam.

Dan berdebar.

Tapi kenapa aku nervous? Eid aje kut.

Aku cuba buat bodoh. Buat macam biasa. Aku lakarkan senyum nipis apabila mata kami saling bertemu. Common courtesy.

Sunyi. Sepi. Dia membisu.

Bibir aku ketap. Rambutku sebak ke belakang.

"Thanks untuk sandwich pagi tadi," ucapku, baru ada kesempatan untuk ucap terima kasih. Dalam masa yang sama, mencipta perbualan. Mematikan kesepian yang canggung.

Ucapan terima kasihku disambut sepi. Dan aku biarkan sepi itu berlarutan. Tanpa berbuat apa-apa. Membuka bicara yang baru, tidak. Membuka langkah pergi dari situ pun tidak.

"Betul ke kau anggap aku ni musuh kau?"

Soalan Eid yang tidak bermukadimah membuatkan lidahku kelu. Liur yang aku telan terasa kesat.

"Kau benci aku?"

Eid menyoal lagi.

Aku kehilangan kata. Kenapa tiba-tiba aku tak mampu membalas? Bukankah jawapannya sudah nyata?

Ya, dia musuh aku.

Ya, aku benci dia.

Tapi kenapa lidahku tak mampu berkata-kata? Kenapa lidahku kelu?

Aku dengar Eid hela nafas berat.

"Aku tak tahu."

Jeda.

"Aku tak tahu itu yang kau anggap tentang aku. Musuh. Benci," tutur Eid dengan nada yang lemah.

Aku lirikkan pandangan ke arah Eid. Lelaki itu menundukkan kepalanya ke bawah. Namun, senyum sinis di hujung bibirnya masih mampu aku lihat. Senyum yang seakan-akan mentertawakan dirinya. Ini yang aku dapat tafsirkan.

Tiba-tiba Eid angkat kepala dan pandangan mata kami bersabung.

"Boleh aku tahu kenapa?"

"Kenapa kau benci aku? Kenapa kau anggap aku musuh?"

Oh Tuhan! Awkwardnya. Sangat-sangat awkward. Pipi aku dah terasa panas ni. Peluh pun dah merenik di dahi.

Kenapa dia tanya aku macam ni? Kenapa dia buat macam aku ni yang jahat, yang salah dalam hal ni? Kenapa?

Aku gali nafas dalam-dalam dan hembus sepuasnya. Bagai melepaskan segala tekanan perasaan yang sedang menghimpit.

"Perlu ke kau tanya? Jawapannya dah cukup jelas."

"Tapi aku tak pernah anggap kau musuh aku. Aku tak pernah benci kau."

"Habis tu, kenapa kau selalu cari pasal dengan aku? Kenapa kau selalu annoying bila dengan aku? Kau nak aku listkan satu per satu apa yang kau dah buat dekat aku since kita empat belas tahun ke?"

Eid diam. Membisu. Lama.

"Aku minta maaf."

Wow! Again? Dia minta maaf lagi dengan aku? Ini sudah kali kedua.

"Aku tak berniat nak buat kau benci aku. Atau rasa annoy dengan aku. Aku betul-betul minta maaf."

Kali ketiga.

Eid pandang aku. Tepat ke anak mata aku.

"Boleh tak kalau kita berdamai? Berbaik-baik... Boleh tak kalau kau buang rasa benci tu?"

Aku gugup. Suara Lyn serta-merta terngiang-ngiang di telinga.

Kalau abang aku nak berbaik dengan kau, kau akan berbaik dengan dia tak?

"Benci sangat ke kau pada aku sampai susah kau nak buang perasaan tu?"

Eid menyoal bila aku lama mendiam.

"Tak. Bukannya sebab susah. Tapi kenapa kau buat aku rasa macam aku yang salah? Kau yang cari pasal dengan aku dulu. Kau yang mulakan semuanya. Cuba kau ingat balik hari pertama kau tinggal dengan famili kau... Kau ingat balik macam mana kau treat aku... Aku bukannya saja-saja nak benci kau tau. Bukannya tiba-tiba nak benci. Semuanya ada sebab, okey."

Eid mengangguk-angguk perlahan.

"Ya, aku faham. Aku tahu. Sebab tu aku minta maaf. Aku tahu aku yang buat kau benci aku. Walaupun aku tak berniat."

Aku diam.

"So... Boleh tak kalau kita berdamai?" soalnya dengan nada yang kedengaran mesra di telingaku. Keningnya dijongketkan dua kali bersama senyuman manis tersungging di bibir.

Bibirku ikut senyum. Namun, hanya buat sesaat. Aku cepat-cepat cebikkan bibir dan angkat bahu.

"Depends on your performance. Kalau kau sakitkan hati aku lagi, jangan harap aku nak maafkan kau, nak berbaik dengan kau."

Eid terus angkat kelima-lima jarinya tanda bersumpah.

"Aku janji aku tak akan cari pasal dengan kau lagi. Aku janji takkan sakitkan hati kau."

Aku jeling.

"Hmmm... Yalah tu..."

"Errr... Tapi kalau usik sikit-sikit boleh, kan?"

"No! Usikan kau tu la yang buat aku annoy sangat."

"Usik nak gurau-gurau manja pun tak boleh ke?"

"Tak boleh," tegasku.

"Tapi aku suka usik kau..."

"Ha, sebab tulah... Itu yang buat aku benci kau. Kalau kau nak aku terus benci kau, silalah usik aku lagi. Hari-hari pun tak apa. Tapi jangan nanti kau tanya kenapa aku benci kau, kenapa aku anggap kau musuh aku... Jangan tanya!" tekanku di hujung bicara.

Eid tergelak. Buat kali pertama, aku tak rasa jengkel dengan gelak dia. Gelak yang mendamaikan di cuping telingaku. 

Bạn đang đọc truyện trên: WatTruyen.Top