WatTruyen.Top

THE REASON

Bab 7

karyaseni2u

SEJAK tadi, Afina pandang Ammara yang seperti biasa, duduk di sudut itu; memandang keluar dinding kaca, tanpa apa-apa perasaan. Dia tahu dah kenapa makin kerap Ammara ajak dia jumpa dekat sini. Namun sayang... Sang putera tiada. Wajah Ammara tergambar kecewa. Yang tak pernah dia nampak pada wajah itu sebelum ini. Lebih-lebih lagi pasal seorang lelaki. Memang langsung tak masuk akal.

Ammara benar-benar dah jatuh cinta gamaknya.

Setelah pesanan siap, Ina kembali ke meja. Tersenyum.

"Guess what?"

"Apa?"

"Aku tanya kawan dia... Dia ke mana?"

"Laaa... Kau tanya kenapa?"

"Hei, relakslah. Aku tanya sambil lalu aje. Dia cakap Eqram ke Masjid Jamek..."

"Serius?"

Ina angguk.

"Kat situ ada satu outlet yang baru buka. Bawah stesen LRT tu."

"Ada ke?"

"Adalah. Kau memang tak tahu sebab kau tak guna pengangkutan awam. Aku yang selalu guna ni, aku tahulah. Tapi jangan cakap dekat aku kau nak pergi sana pula. Situ kios aje. Tak ada tempat duduk. Kau jangan buat gila." Pandangannya penuh syak.

Ammara ni, bukan boleh kira. Kalau dah tekad, memang akan buat.

"Kalau aku pergi?" Ammara sengih. Lebar.

"Jangan jadi gilalah. Jangan over sangat. Dah macam bukan kau dah aku tengok." Ina mencebik. Tahap kritikal dah Ammara punya angau ni!

Wajah Ammara manis tersenyum. Nampak lega.

"Aku ingat dia dah berhenti. Sebab hari tu aku ada stalk IG dia. Dia hantar surat resign..."

"Seriously, Ammara? Kau jadi stalker? Bukan orang aje ke stalk kau?" Selain menjadi seorang setiausaha kepada bos yang sangat baik, Ammara sebenarnya ada kerjaya kedua. Yang tak ramai orang tahu.

"Atau kau hanya nak cari idea untuk kau terus buat kerja kau tu? Kau saja cari sumber inspirasi? Atau sesuatu yang boleh trigger kau tulis cerita baru?" tanya Ina jujur. Bukan apa... Sebagai kawan rapat, dia tahu macam mana Ammara berpenglipur lara. Ceritanya dekat dalam jiwa kerana Ammara menjadikan sekeliling sebagai bahan rujukan.

Rasa nyata. Hidup.

Ammara sentiasa menulis sesuatu yang dekat dengan hati. Yang dialami oleh sesiapa saja. Yang berlaku setiap hari. Kerana itu, Ammara sering kali nampak diam. Memang diam memerhati. Orang kata, diam-diam ubi berisi.

"Aku tak tahu kenapa... Tapi boleh jadi juga. Pandang wajah dia... Aku rasa tenang. Aku rasa nak senyum aje sepanjang masa."

"Tapi aku tak nampak pun kau senyum pada dia masa dia ada dekat sini?" Ina rasa nak muntah pun ada. Rasanya, kalau check CCTV, mahu muka dia dengan Ammara aje yang menjadi pengunjung setia Putra Mall.

"Aku malas nak senyum sebenarnya," jawab Ammara tanpa rasa bersalah.

"Gilanya kawan aku sorang ni. Gila bayang. Dengan budak-budak pula tu," kutuk Ina tanpa berlapik.

Dia memang tak berapa suka. Rasa tak sesuai sangat dengan karakter Ammara. Beza langit dengan bumi biarpun dia tak kenal langsung budak barista tu.

"Tapi kan, Ara..."

Ammara memandang Ina yang nampak teragak-agak untuk bersuara. Dia diam. Menanti dengan penuh sabar setiap ayat yang mahu Ina tuturkan.

"Kalau niat kau nak jadikan dia sumber inspirasi, aku tak kesah. Kau dah biasa macam tu. Kau banyak memerhati. Daripada situ kau trigger sesuatu. Tapi kalau kau nak serius... Aku kurang setuju..." Wajah Ina serius. Dia benar-benar maksudkan apa yang sedang dikatakan.

Lama-lama Ammara angguk. Tanda faham keresahan seorang kawan.

"Jangan risau, Ina. Aku dah cukup dewasa dan kau tahu, aku sangat sayangkan diri aku. Aku tak akan lukakan diri sendiri biarpun orang lain tak boleh nak jaga hati aku," luah Ammara.

Sejak dulu, dia benar-benar menghargai diri sendiri. Setelah puas disakiti, tidak dihargai oleh setiap orang yang dia sayang... Dia pilih untuk jaga hati sendiri. Tak mengapalah orang tak sayang, dia masih ada Tuhan yang sayangkannya. Dia juga masih ada hati yang hidup untuk sayangi diri sendiri. Kerana dengan itu, barulah rasa dia layak menghargai orang lain.

MALAMNYA, Ammara beranikan diri menyapa Eqram di media sosial. Entah dilayan atau tidak. Mencuba tanpa berharap apa-apa itu lebih baik daripada menggantung tinggi harapan.

+ Dah tukar tempat kerja? - Nur.Amaris

Seketika, Eqram membalas.

++ Siapa, ya? - Eqram

+ Oh, bukan sesiapa. Saja nak tau, dah tukar tempat kerja ke? - Nur.Amaris

++ Tak tukar. Sesekali, saya syif dekat Masjid Jamek. - Eqram

+ Bila balik Putra? - Nur.Amaris

Seminit.

Sejam.

Sehari.

Langsung tiada balasan.

Kecewa menyapa hati. Namun, untuk bersedih bukanlah dia.

Hampir dua minggu telah berlalu saat pertama kali dia menegur lelaki yang kian mendapat tempat dalam hatinya. Dan kali ini, memang rezeki berpihak padanya. Wajah itu ada di kaunter pesanan.

"Kali ni, kau pergi oder pula. Setiap kali pun aku kena beratur. Kau seronok aje duduk renung dinding. Lepas tu, air kau aku juga yang kena kacau..." Sengaja Ina ungkit.

Wajah Ammara menyeringai.

"Gila kau. Buatnya dia kenal aku, macam mana? Kau tahu kan dia tak layan aku sangat masa aku mesej dia..." Haih... Kalau lelaki itu cam, jenuhlah. Mana nak sorok rupa?

"Eleh... Macamlah kau punya IG tu ada gambar. Kau tak letak gambar kau pun. Nama pun kau guna nama pena. Bukan nama betul kau pun. Tak adanya dia cam. Dah, pergilah. Profesional la sikit. Dia kan kerja. Tak mungkinlah dia nak tanya lebih-lebih kalau kata dia cam pun..." Ina tolak Ammara untuk bangkit. Dia dah dahaga sangat ni.

Dengan berat hati, Ammara dekati kaunter. Masih ada dua orang beratur di depan dan bila tiba gilirannya, Eqram senyum. Segak berkemeja biru cair, dibutangkan rapat ke leher.

"Order?" Sebelah kening lebat Eqram terjongket.

Dada Ammara bagai nak pecah. Dia cuba bertenang. Sengaja dia buat muka kelat. Agar tak ketara rasa canggungnya saat ini. Bila dia toleh pada Ina, sahabat baiknya itu sedang jongketkan kening dan ketawa sendiri.

"Bagi saya Iced Caramel Macchiato dua." Dua batang jari Ammara tegak.

"Less less sweet..."

Eqram senyum.

"Less less sweet tu, macam mana? Berapa pump?"

"Pump? Apa yang pump?" Kening Ammara berkerut tiba-tiba. Tak faham.

"Vanilla syrup. Nak berapa pump? Kalau biasa kita akan letak empat. Nak less less sweet tu, kita letak tiga. Boleh?"

Ammara angguk. Malas nak fikir. Bukan bidang kerjanya. Jadi, serahkan aje pada yang pakar.

"Nama?"

"Ammara..."

"Dua-dua pun nama sama?"

"Ya..." sahut Ammara ringkas.

Setelah membuat bayaran, dia kembali duduk di depan Ina namun mata terus memandang Eqram dan bila lelaki itu turut memandangnya, dia cepat-cepat menoleh ke lain.

"Hei... Kawal sikit, Ara..." tegur Ina. Nampak sangat budak Ammara ni sukakan budak tu. Haih.

Hatinya keresahan. Dia mahu pujuk hati sendiri. Ammara tidak serius. Tak mungkin sahabat yang dia kenal sedekad ini, boleh jatuh suka pada lelaki seusia itu.

"Tak tahu kenapa, Ara... Sesekali aku suka tengok kau macam ni. Sebab aku tahu kau pun ada rasa nak bahagia. Dah lupakan semua yang dah jadi dulu-dulu. Tapi dalam pada tu juga aku sangat risau..."

"Hei... Jangan risaulah. Aku tahu jaga diri dan hati aku," balas Ammara. Faham dengan kerisauan Ina.

"Soal hati ni, Ara... Bila Tuhan nak terbalikkan..." Ina berhenti di situ. Tahu yang Ammara lebih daripada faham apa yang dia mahu sampaikan. Kerana Ammara adalah seorang yang sangat hebat dalam mencipta analogi tentang kehidupan.

"Aku okey. Jangan risau," ulang Ammara. Cuba dihalau kerisauan Ina padanya.

Dan, dia sendiri tertanya. Adakah sekadar suka, atau dia sebenarnya sedang diuji dengan rasa cinta pada lelaki seusia itu?

Hari minggu itu, dia menerima mesej daripada Eqram. Jantungnya berdegup kencang. Seperti mimpi. Setelah sekian lama, lelaki itu membalas.

+ Now I know... Siapa you. - Eqram

Dahi Ammara berkerut. Betul ke budak ni cam aku?

++ Really? - Nur.Amaris

+ Yes. You yang selalu tengok I. Hari tu I ada ambil order you. - Eqram

Ammara gamam. Susah nak percaya. Daripada mana Eqram cam dia?

++ Betul ke? Tak salah orang? - Nur.Amaris.

+ No. I yakin you orangnya. I recognize your gaze even you put your mask on. - Eqram.

Akhirnya, Ammara senyum. Dia tak perlu susah-susah lagi nak kenalkan diri.

++ Am I distracting you? I tak patut pandang you macam tu, kan? - Nur.Amaris

+Yes, I am distracted. You shouldn't look at me like that. Tapi, bukan you aje yang buat macam tu dekat I. Ramai lagi. In fact ada yang bagi coklat, bunga, ajak tengok movie, ajak makan. Why should I refuse? - Eqram

Playboy! Ammara mencebik lebar.

++ Yes. You shouldn't. Lain kali I pergi sana, I tak akan order kalau you ada. I minta kawan I order dan I akan pandang dinding dan tak akan pandang you lagi. - Nur.Amaris

Eqram hantar emoji ketawa.

+ Dan-dan ya... I juga akan pandang dinding. - Eqram

Perbualan itu mati di situ. Seseorang yang begitu hebat menyusun aksara sepertinya menjadi buntu kala ini, agak pelik. Sudahnya, dia biarkan saja. Cuma sesekali dia terfikir. Perlukah dia sekali lagi mahu terlibat dalam permainan hati? Andai kalah, sakitnya tak tertanggung. Andai menang, sehingga bila? Sampai suatu hari nanti, akan ada antara dua pemain itu mengalah dan pergi. Yang tinggal, akan menangis tak terseka.

Dia... Pernah lalui semua itu.

Bạn đang đọc truyện trên: WatTruyen.Top