WatTruyen.Top

THE REASON

Bab 6

karyaseni2u

SETIAP kali memandang Iced Caramel Macchiato ini, Ammara akan senyum. Kenangan lalu sering kali mengusik tenangnya. Kenangan antara dia dan Afina. Kenangan yang paling membahagiakan setelah dia lalui kehidupan yang begitu perit sejak zaman kanak-kanaknya.

Membesar dalam keluarga yang porak-peranda bukanlah sesuatu yang boleh dia sebut dengan bangga. Cuma sekarang, semuanya telah berlalu. Dia sekarang hanya ada seorang mak dan abang. Bahagia bertiga bila semua hati telah reda dengan ujian yang melanda.

Tapi, di antara keindahan yang dia bina bertahun-tahun bersama Ina dan air ini, terselit juga kisah duka yang menjerut hati dan nafasnya. Dia tak sepatutnya lakukan kesilapan itu dan dia tak patutnya buat Ina terus risaukan dia.

Namun, seperti kata Ina...

"Semua itu telah terjadi, Ammara. Tiada apa yang kau dapat lakukan melainkan terima. Reda. Sabar dan terus tabah."

"Kak, air dah siap..."

"Hah?" Ammara tolak jauh kisah lalu daripada kepalanya. Kejap lagi dia ada mesyuarat penting dan benar-benar perlukan kafein.

"Awal hari ni minum kopi, kak?" tanya adik barista yang nampak segak itu.

"Awal, kan?" Ammara senyum dan mengambil airnya.

"Saya ada mesyuarat penting pagi ni. Sebelum kena marah dengan bos, saya minum dulu bagi ada energy." Betullah awal. Biasanya dia akan ke sini paling tidak tengah hari. Ini jam baru menginjak ke angka sepuluh pagi.

"Patutnya akak oder air panas sebab pagi lagi ni..."

"Oh, tak boleh. Saya tengah panas hati ni. Kena minum air sejuk," seloroh Ammara. Dia senyum dan terus berlalu.

Saat mahu melintas jalan untuk pulang ke pejabat, Ammara mendongak ke langit seketika. Beberapa hari ni, langit juga mendung tapi tidak juga turun hujan. Seperti mengerti akan rawan dalam hatinya yang kian menjadi-jadi.

Kenapa setelah lima tahun berlalu, rasa sakit itu kembali menjadi-jadi?

Hingga buatkan dia tertanya sendiri. Perlukah dia menangis seperti dulu?

Perlukah dia merayu dan meletakkan air mukanya di tapak kaki seorang lelaki demi sebuah jawapan yang begitu menyakitkan?

Tuhan... Ammara pejam mata.

Hamba tahu, hamba telah berbuat dosa besar kepada-Mu dah telah menzalimi diri sendiri. Andai ini adalah secebis hukuman buat hamba, maka hamba reda menerimanya, Tuhan. Sebelum hamba terus dihitung dan diazab oleh-Mu di akhirat kelak.

Cuma, pinta hamba... Berikan hamba sedikit ketabahan. Kekuatan. Hamba memerlukannya. Demi Amaris. Demi amanah dia dan amanah-Mu.

Ammara buka mata dan mula melangkah bila lampu hijau lintasan pejalan kaki menyala. Tenang. Kawasan sekitar Sogo agak lengang pada awal pagi. Air dipegang kemas tapi entah di mana silap, air itu jatuh ke kaki. Seseorang telah melanggar lengannya dari belakang.

Matanya memandang pada air yang sudah tumpah. Mengalir ke tepi jalan. Dia tak minum walaupun seteguk lagi. Kasut dan kainnya basah. Ammara tunduk mengutip gelas plastik yang masih tersisa dengan ais sebelum ada tangan menahannya daripada mencangkung.

"Air tu dah kotor. Tak payah kutip..."

Waktu ini, Ammara mendongak. Wajah lelaki itu agak dekat dengan matanya. Putih bersih dengan kening lebat yang berkerut menahan rasa bersalah. Boleh jadi risau dia marah.

"Sorry, saya terlanggar. Saya nak cepat. Saya ada miting sepuluh setengah tapi tak sempat nak setting lagi. Itu yang kelam-kabut. Air awak tu, boleh saya ganti nanti. Lepas saya habis miting..."

Mata Ammara terkebil-kebil. Langsung tak sempat nak bersuara bila mulut lelaki ini lebih laju berbicara.

"Mula-mula sekali, saya maafkan. Awak kata tak sengaja. Keduanya, saya bukan nak kutip untuk minum. Tapi nak buang dalam tong sampah. Ketiganya, saya boleh beli sendiri. Tak perlu ganti. Keempatnya, sekarang dah dekat sepuluh setengah," beritahu Ammara tenang.

Lelaki tampan itu mengerling jam di tangan.

"Oh, boy... Dah lewat sangat ni..." Semalam dia benar-benar lupa dengan fail yang dia nak bentangkan hari ni. Terpaksalah dia ke ofis dulu memandangkan tiada siapa yang boleh tolong dia dapatkan fail tu. Lepas tu, nak kena masuk KL. Faham-faham ajelah dia punya sesak macam mana.

Padahal, rumah dia kat sini aje. Sudahnya, dia tinggalkan kereta dekat Stesen LRT Bandar Tasik Selatan dan naik LRT Star ke sini. Dia berlari tanpa henti sejak keluar dari stesen dan sekarang, terlanggar orang pula.

Mujurlah perempuan ni tak mengamuk. Tapi wajah tanpa perasaan dan pandangan dingin itu sedikit mengganggu. Kutlah sedang menyumpah dia dalam hati.

"Betul awak okey?" soalnya sekali lagi. Mencari kepastian.

"Ya," jawab Ammara sepatah. Malas nak panjangkan hal.

Dia sendiri pun ada mesyuarat jam sepuluh setengah juga. Petang nantilah dia datang minum kopi. Tak pun tengah hari selepas habis mesyuarat.

"Kalau gitu, saya gerak dulu..." Lelaki itu berlalu dan sempat dia menoleh semula ke belakang.

"Again... Sorry..."

Biarpun sekadar gerakan bibir, Ammara dapat membaca gerak bibir lelaki itu dan dia hanya kerdipkan matanya sekali. Tubuh ditegakkan. Hai... Sehari dua ni, semua benda bagai tak menjadi.

Itu tak kena, ini tak kena.

Tapi dia tetap akan senyum. Dia telah lalui perkara yang lebih dahsyat daripada ini. Dan dia berjaya biarpun luka itu masih terasa. Setidak-tidaknya, dia masih punyai nafas untuk teruskan kehidupan.

DIA ketap bibir dengar bos membebel. Bos ni la hai... Sejak nak bersara ni, kuat betul membebel.

"I memang dah tak ada hati nak kerja..." bisik Hajah Najihah.

"Kenapa, bos?" Ammara di sisi, setia membantu sejak tiga belas tahun dulu.

"Yalah. You tengok. I pengerusi. I pengarah projek. Tapi dia orang bergaduh sesama sendiri. Orang ajak miting sebab nak bincang. Bukan nak bergaduh."

"Biasalah tu, bos..." balas Ammara, cukup perlahan.

Yalah. Mengumpat pasal kontraktor dan klien dalam mesyuarat. Tapi memang pun. Sejak tadi asyik bertekak. Pada mulanya Hajah Najihah masih cuba tenangkan tapi kini dibiarkan saja.

"Makin kuat ni, bos..." beritahu Ammara bila suara pengarah projek 2 kian meninggi memarahi kontraktor.

"Itulah dia. I nak biar aje. Tengok sampai bila. Biar dia orang gaduh. Kita tak payah bentang CPM hari ni..." Hajah Najihah angkat cawan dan menghirup saki-baki air yang ada.

"Betullah kata you, Ara... I rasa I ni memang dah kena sindrom pra persaraan. Tengok pun dah jadi malas..."

Tidak dapat tidak, Ammara ketawa kecil. Geli hati sungguh.

"So, macam mana, puan hajah?" Encik Mansor bersuara tiba-tiba.

"Apa yang macam mana?"

"Nak bayar ke tak?"

"Kalau kontraktor dah buat semua kerja, dan orang you sendiri dah hantar repot kata semuanya seperti dalam kontrak... Bayar ajelah. You sign, nanti I pun akan sign. Tak perlu nak sekat bayaran orang kalau semuanya dah selesai. You nak tahan kenapa lagi?!" tempelak Hajah Najihah sambil membelek laporan yang baru saja Ammara letak di depannya.

"Haaa... Ni repot ni ada sign you dah ni. Yang you berkeras tak nak proceed bayaran tu kenapa? You boleh bagi tahu I kenapa? Supaya senang I nak bagi justifikasi sebab kita tak luluskan bayaran kontraktor?"

"Errr... Saya ada pergi sendiri lepas tengok repot tu. Ada yang masih tak siap. Dalam sepuluh peratus..." jawab Encik Mansor sedikit gugup.

Hajah Najihah angguk tanda faham. Dia pandang pula wajah kontraktor. Apa nama pun dah lupa dah.

"Bila you boleh siapkan baki ten percents tu?"

"Dia orang tengah buat. Semalam, engineer saya dah check. Hampir siap. Sebab malam tadi pun, dia orang buat juga. Rasanya dah siap tu. Engineer saya tengah siapkan laporan bergambar sebab staf dekat site baru aje e-mel. Dia akan bentang sekali dengan CPM kejap lagi."

"Okey." Hajah Najihah tepuk tangan sekali. Cuba menarik perhatian yang lain.

"Encik Mansor, you pun dah dengar. Kita tengok laporan terkini dulu dan you juga check dengan budak you dekat site. Tally atau tak laporan mereka dengan laporan kita. Lepas presentation ni, kalau kata semua dah selesai, you proceed pasal bayaran dan kita teruskan dengan pembentangan CPM untuk projek dekat Sepang tu. You boleh panggil budak you sekarang. Jangan buang masa..." suruh Hajah Najihah tegas.

"Errr... Cik boleh tolong panggil dia tak sekejap? Dekat luar. Nama dia Eqwan..."

"Oh, boleh." Ammara bangkit sopan setelah Hajah Najihah memberi izin. Apatah lagi tugasnya di dalam bilik mesyuarat ini telah selesai. Dia tidak terlibat dengan pembentangan CPM. Luar bidang kerja dia.

Pintu bilik mesyuarat dibuka perlahan. Dia dekati satu susuk tubuh yang masih bekerja dengan notebook di atas riba.

"Errr... Encik Eqwan. Bos encik panggil masuk..."

"Oh, okey." Notebook ditutup dan lelaki itu berdiri.

Kala ini, Ammara kerutkan dahi. Wajah ni... Dia terus mendongak pada lelaki yang jauh lebih tinggi daripada dia.

"Air?" soal lelaki itu terlebih dahulu.

Ammara sengih senget. Kenapalah dunia ni terlalu sempit rasanya?

"Bos encik panggil untuk presentation. Sekarang."

"Oh, yalah..." Lelaki itu berlalu dan belum sempat masuk ke bilik mesyuarat, dia toleh sekali lagi pada perempuan itu.

"Nak saya ganti tak air tu?"

Ammara geleng. Menolak sopan.

Nampak lelaki itu tersenyum kecewa tapi dia sendiri pernah melalui kekecewaan yang bukan sedikit. Rasa kecewa itu masih ada hingga kini. Masih menyengat.

Bạn đang đọc truyện trên: WatTruyen.Top