Bab 5
KEHENINGAN menyelubungi ruang makan. Sesekali hanya bunyi dentingan sudu garpu dan pinggan kedengaran. Selebihnya sepi.
"Isya tak reti guna bahasa isyarat?" Soalan pertama Ismail memecahkan kesepian.
Bersama senyuman tipis, Batrisya menggeleng.
"Isya memang selalu tulis atas kertas kalau Isya nak bercakap dengan Hadi?" soal Ismail lagi, sambil mengerling Hadi sekilas.
Kali ini Batrisya mengangguk. Sedikit teragak-agak, sebelum Batrisya pandang Hadi. Ismail tidak tahu apa yang disampaikan Batrisya melalui anak matanya tapi Ismail tebak, Batrisya tidak selesa apabila diaju soalan sebegitu.
"Papa tanya aje, Isya. Jangan salah faham. Kalau Isya tahu guna bahasa isyarat, papa ingat papa nak belajar dengan Isya," kata Ismail, sengaja dia maniskan senyum di hadapan Batrisya.
Secara tidak langsung, memberitahu Hadi bahawa itulah maksud sebenar dia. Bukannya Ismail nak hina Batrisya. Dari ekor mata, Ismail lihat muka keruh Hadi beransur hilang. Batrisya pula melebarkan senyum.
"Hadi dengan Isya dah rancang nak buat majlisnya bila? Dekat mana? Macam mana dengan keluarga Isya?"
Mulanya Batrisya terpanar bilamana Ismail tiba-tiba menukar hala perbualan tetapi beberapa detik kemudian, Batrisya menggeleng laju.
"Keluarga dia dah meninggal dunia, pa." Hadi menjawab lisan bagi pihak Batrisya.
"Kalau macam tu, kita buat majlis belah kita ajelah. Nanti Hadi survey mana-mana hotel. Pandai-pandailah Hadi dan Isya rancang, papa setuju aje," putus Ismail sebelum dia kembali menikmati juadah yang terhidang.
Sedar Hadi tetap membisu, kepala Ismail terangkat semula. Terus ditetapkan fokus pada Hadi yang pada hemat Ismail, sedang teragak-agak tentang sesuatu.
"Kenapa?"
"Pa... Hadi rasa, lebih baik Hadi kerja dulu kut. Seganlah pula kalau Hadi masih tak bekerja. Isya sendiri bekerja, ada duit simpanan. Takkanlah Hadi nak kahwin tapi tak kerja, kan?" Terus terang Hadi di hadapan Ismail.
Sewaktu melamar Batrisya, dia tak terfikirkan itu tetapi malam tadi, tiba-tiba saja soalan itu menghantui Hadi. Ego mencanak memikirkan dia yang tidak bekerja tapi sibuk-sibuk mahu menikahi Batrisya.
Entah apa yang menghiburkan hati Ismail, dia ketawa kecil.
"Itulah, papa suruh kerja dengan papa tapi Hadi tak nak."
"Pa, Hadi tak sukalah..."
"Tahulah. Papa main-main aje. Papa tak kesah sebenarnya, insya-Allah papa mampu aje tanggung kita sekeluarga. Tapi kalau Hadi nak berdikari dan ada inisiatif sendiri, lagi bagus. Barulah namanya anak jantan. Isya, kat kafe Isya tak ada kerja kosong?"
Terkebil-kebil Batrisya dibuatnya. Sejak tadi Ismail berborak dengan Hadi, alih-alih nama dia pula yang dipetik. Apabila Ismail dan Hadi memandangnya serentak, sepantas kilat Batrisya arahkan akalnya berfikir. Kemudian, dia angguk-angguk. Tangan bergerak, seakan-akan menunjuk dapur sebelum Batrisya gerakkan tangan, gaya orang menguli. Mulut bergerak menyebut...
"Buat kek?" Selepas membaca pergerakan mulut Batrisya, Ismail suarakan secara lisan. Anggukan laju Batrisya membuatkan kepala Ismail tertoleh kepada si anak, drastik. Ismail kulum senyum penuh makna.
"Hadi kata nak buka kafe, kan?"
Langsung, Hadi melongo. Seingatnya, dia pernah beritahu Elyana sahaja. Kalau sudah sampai ke pengetahuan Ismail, maksudnya... Elyana telah sampaikan pada Iskandar dan seterusnya, dipanjangkan kepada Ismail. Kepala Hadi menggeleng. Nampaknya, dia telah pun 'memberitahu' Ismail walaupun dia tidak memberitahu Ismail sendiri.
"Pergilah belajar dari bawah. Merasa jadi orang bawahan dulu, lepas tu baru buka kafe."
"Pa..." Cemberut terus muka Hadi. Detik ini, dia merasakan dirinya ialah salah satu karakter di dalam drama Melayu. Kononnya anak orang kaya yang terlampau merendah diri dan mahu bermula dari bawah, lalu dia bekerja sebagai tea lady atau budak despatch.
Ismail pula, tahu-tahu saja anaknya sedang membayangkan itu. Sengaja dia tayang muka selamba sambil mengangkat kedua-dua tangan.
"Apa? Betullah. Drama Melayu kan selalu macam tu. Jadi mat despatch sebelum jadi CEO tiba-tiba. Hadi pun samalah. Jadi baker dulu, baru boleh jadi pemilik kafe."
Bergegar bahu Batrisya, geli hati melihatkan si bapa seronok mengusik manakala si anak menayang muka masam.
Bạn đang đọc truyện trên: WatTruyen.Top