WatTruyen.Top

Ursula

Bab 2

karyaseni2u

SELEPAS komputer riba, fokusnya tertumpu pada satu dokumen pula. Kemudian satu dokumen lain. Dan dokumen seterusnya. Tangan tak duduk diam. Sekejap jemari berlari-lari di atas papan kekunci komputer riba, sekejap dia tulis sesuatu di dalam organizer.

Setelah beberapa ketika menjadi penonton, sudahnya Hadi lepaskan rengusan kuat untuk menarik perhatian wanita di hadapannya itu.

Berjaya. Kini wanita itu menyengih bagai kerang busuk. Sambil bersuara, tangannya mengemas satu per satu dokumen yang berselerak di atas meja.

"Sorry. Kau minta aku temankan kau tapi aku pula sibuk dengan kerja-kerja aku," katanya.

Hadi mencemik tetapi bantuan dihulurkan untuk memudahkan dan mempercepatkan kerja si wanita. Selang beberapa saat, pandangan Hadi lapang dari segala kertas dan dokumen. Semuanya sudah tersusun kemas di tepi meja.

"Janganlah kerja keras sangat, El. Aku yang tengok pun dah penat, apa lagi badan kau. Jangan paksa diri. Pak long mesti tak suka tengok kau kerja keras macam ni," kata Hadi kepada satu-satunya sepupunya. Merekah senyuman manis di bibir Elyana.

"Tak bolehlah. Aku pula kesiankan papa nak urus semuanya sorang-sorang. Kau dah oder air? Makan? Kau ada oderkan untuk aku juga?"

Segera Hadi menggeleng. Macam mana nak oder? Tak berkesempatan langsung! Tiba saja di sini, Elyana terus memulakan kerjanya. Hadi di depan mata pun macam tak wujud saja. Sudah setengah jam berlalu, barulah Elyana berjaya pulang ke alam realiti.

Sekali lagi Elyana menyengih.

"Aku nak hot chocolate dengan kek red velvet. Mintakan sky juice juga. Thanks," pinta Elyana kepada Hadi yang sudah pun berdiri. Tak banyak kata, Hadi bawa diri ke kaunter untuk memberi pesanan.

Elyana memerhatikan dari jauh saja. Dia bukannya jenis wanita yang mengada-ada dan mengharapkan layanan istimewa daripada kaum lelaki. Andai saja Elyana mampu, dia sendiri yang akan berjalan ke kaunter dan pesan apa yang dikehendaki.

Tetapi... Mata Elyana jatuh pada kerusi roda automatik yang didudukinya dan perasaannya mulai berkecamuk. Kemalangan di US menyebabkan dia lumpuh dari bahagian pinggang hingga ke kaki. Sekilap, sejuta perasaan menyerbu Elyana. Mengingati sejarah hidupnya, kekhilafannya, hidup malangnya...

Nyaring telefon pintarnya berbunyi, terus menarik Elyana keluar daripada lamunan. Ya Allah, baru Elyana sedar dia menangis. Cepat-cepat Elyana seka mutiara jernihnya.

Kering saja pipi, Elyana memanjangkan tangan untuk menggapai tas tangan yang terletak di atas komputer riba. Jarak yang memisahkan menyukarkan Elyana. Cuba mengangkat punggung agar dia boleh mencapai tas tangan namun tetap tidak berhasil.

Tiada lagi nada dering kedengaran. Apabila ia berbunyi lagi, akhirnya Elyana putuskan untuk menggerakkan kerusi roda. Namun baru saja Elyana menyentuh joystick, seseorang berdiri di kirinya. Elyana beralih pandang dan tahu-tahu saja tas tangannya sudah ada di depan mata. Dia mendongak pula.

Kelihatan seorang wanita berambut bob pendek sedang memegang tali tas tangan Elyana.

"Nah." Cuma itu yang diungkap wanita tersebut.

"Terima ka..." Tak sempat Elyana sudahkan ayat, telefon pintar berbunyi lagi.

"Jawablah," kata wanita berambut bob pendek itu. Tiada senyuman menghiasi wajahnya saat dia melangkah pergi. Muncul bagai angin, pergi juga bagaikan angin. Maka tinggallah Elyana di tempatnya, kebingungan seorang diri.

"HADI. Kau tak nak kerja dengan pak su? Kau tak kesiankan pak su uruskan semuanya sorang-sorang?" Elyana bertanya sebaik saja pinggan kosongnya diangkat si pelayan kafe. Senyuman dihadiahkan kepada insan itu, tak lain tak bukan Batrisya, buah hati Hadi.

"Tak naklah. Kau pun tahu kan, aku memang tak suka hal-hal syarikat."

"Habis tu, kau tak nak bekerja? Kau nak terus jadi penganggur kehormat, terima duit daripada pak su. Macam tu?"

Hadi kemam bibir mendengarkan soalan-soalan Elyana. Segan menerpa bilamana Elyana menegur sebegitu. Nak menjawab, Hadi sedar dia tak layak. Kata-kata Elyana ada benarnya.

Kalau ya pun Hadi tak suka terbabit dengan segala urusan syarikat, berjumpa board of directors dan mencari kenalan perniagaan, itu tak bermaksud Hadi boleh santai-santai saja. Kalau Hadi memang ingin bekerja, dia boleh cuba di mana-mana mengikut kehendak hatinya. Sementelah, Ismail tak pernah menghalang Hadi sama sekali.

"Tak adalah macam tu..." jawab Hadi dalam nada meleret. Dia pandang sepupunya, berkira-kira sama ada mahu berterus terang atau tidak.

"Cakap ajelah," kata Elyana pula.

Kedua-dua tangan dibawa ke atas meja lalu Hadi genggam jemarinya.

"Apa pendapat kau kalau aku kata, aku nak buka kafe?"

Mata Elyana membulat. Kemudian dia kelip-kelipkan mata. Telinganya tak salah dengar, kan?

"Kafe?" Elyana mengulangi perkataan itu dengan polos. Bertentangannya, Hadi angguk-angguk. Ada warna merah di pipi Hadi, barangkali malu. Dia jangkakan bunyi tawa atau cemikan atau ejekan Elyana tetapi semuanya meleset.

"Baguslah! Beritahu aje pak su, mesti dia setuju."

Hadi pamer riak bingung. Sungguh, dia tak sangka inilah reaksi Elyana. Fikirnya, Elyana akan menempelaknya kerana menyimpan angan-angan sebegitu. Seorang lelaki berbadan tegap sepertinya, ada hati nak buka kafe? Kalau orang lain di tempat Elyana, gamaknya Hadi dah jadi bahan gelak. Namun Elyana pula tunjukkan sokongannya.

"Aku tak kesahlah kau nak buka kafe, kedai jahit baju atau kedai kasut... Kau yang kena uruskan, mestilah kau tahu apa yang kau minat dan apa yang kau nak buat. Tak payah peduli pasal orang lain," ujar Elyana yang dapat membaca fikiran Hadi.

Tahu sangat perasaan sepupunya tika ini. Membesar bersama dan kemudian hidup jauh di US beberapa tahun bersama Hadi, membuatkan hubungan mereka lebih akrab. Hinggakan segala kisah kelam di antara mereka berjaya dikuburkan begitu sahaja.

Tak ada lain yang mampu Hadi lakukan selain melemparkan senyuman ikhlas. Tanda mengucapkan terima kasih kepada Elyana kerana menyokongnya.

"Jom balik. Aku jumpa Isya sekejap," kata Hadi seraya mengangkat punggung. Sempat pula dia capai komputer riba dan dokumen-dokumen milik Elyana lalu diletakkan tepat di hadapan sepupunya sebelum Hadi berlalu pergi mendekati Batrisya.

Elyana pindahkan item-item miliknya ke atas riba. Kemudian dia gerakkan kerusi roda tanpa menunggu Hadi. Satu senyuman dihadiahkan kepada Batrisya sebelum Elyana keluar dari kafe Brew and Sip itu.

Malas nak tunggu Hadi lama-lama di dalam. Lebih baik dia tunggu di luar kafe. Dapat udara segar, dapat juga bagi isyarat pada Hadi agar cepat sikit. Hadi kalau dah jumpa Batrisya, susah benar nak berenggang!

Di luar kafe, perhatian Elyana tertumpu pada telefon pintarnya. Elyana menghantar WhatsApp kepada bapanya, Tengku Iskandar tentang keberadaannya. Seminit kemudian, Elyana menerima mesej balas. Dia mengukir senyum kelat usai membaca mesej kiriman Iskandar.

Papa baru aje lepas lunch dengan Hans dan Kak Aina. El jaga diri.

Hans... Nama itu diseru Elyana dalam hati. Jika sebelum ini Hadi menaruh hati pada Aina, Elyana pula pernah sukakan Arhan, atau nama panggilannya Hans. Jika dikenangkan semula, dahulu dia pernah wujud di antara Aina dan Arhan, Elyana segan sendiri!

Bunyi derapan langkah kedengaran sekali gus menendang keluar nama Arhan dan Aina. Elyana angkat muka tatkala debarannya mulai menggila. Hati mula merasakan yang tidak enak. Ternyata, firasatnya benar. Tiba-tiba muncul seorang lelaki meragut beg tangan Elyana manakala tangan kiri pula cekap menarik komputer riba.

"Ahhh!" Elyana menjerit. Hilang saja rasa terkejut, Elyana mula menjerit meminta pertolongan pula.

"Tolong! Pencuri! Tolong!!!" Kepala Elyana sudah terteleng ke kiri dan ke kanan. Ya Tuhan, saat-saat sebeginilah dia semakin benci dengan keadaan diri sendiri. Kalaulah dia tidak lumpuh, Elyana yakin sangat dia mampu mengejar si peragut. Silap-silap peragut itu akan dikerjakannya separuh mati! Tapi...

Vrooommm!

Satu motosikal berkuasa tinggi tiba-tiba menarik perhatian Elyana. Sekelip mata, Ducati hitam itu menghilang sebaik dia membelok ke kanan.

"El! Kenapa?" Hadi bertanya gabra. Cuak apabila mendengar jeritan Elyana dari dalam kafe.

"Handbag. Laptop." Dua patah perkataan saja mampu disebut Elyana. Selebihnya hanya jari telunjuk menegak, mengunjuk ke mana perginya peragut itu. Elyana menoleh bilamana bahunya terasa disentuh. Rupa-rupanya Batrisya sudah berdiri di sebelah Elyana, menenangkannya dengan cara itu.

"Awak jagakan El sekejap." Itu saja yang dikata Hadi sebelum langkah dibuka seribu untuk mengejar si peragut.

Sekarang Hadi sudah tiba di lorong kecil belakang barisan kedai. Ada seseorang berpapasan dengan Hadi tetapi insan itu tidak menarik perhatiannya kerana saat ini, Hadi sudah terpinga-pinga.

Langkah Hadi beransur perlahan. Daripada berlari, dia mulai berjalan. Matanya terkelip-kelip sendiri sebaik saja dia berhenti menapak. Di hadapannya, seorang lelaki sedang terkulai lemah. Di sisinya ada tas tangan dan komputer riba yang cukup dikenali Hadi.

"Siapa yang..." Tak sempat sudahkan kata, bunyi enjin menyapa pendengaran Hadi. Dia berpaling ke belakang. Hadi lihat seseorang sedang membonceng motosikal berkuasa tinggi. Barulah sekarang Hadi teringat. Sebentar tadi, dia berselisih jalan dengan insan itu.

Sepantas kilat akal membuat konklusi. Pastinya insan itu yang telah mengerjakan si peragut sebegini rupa!

Ringan saja kaki Hadi menapak, ingin mendekati insan itu. Niat Hadi, nak ucapkan terima kasih. Cuba mencari sepasang matanya tetapi gagal. Topi keledar full face menghalang Hadi melihat hatta seinci kulit wajahnya.

"Teri..."

Vrooom!

Tergantung di situ bicara Hadi apabila Ducati hitam itu tiba-tiba bergerak dan sekilap, sudah jauh darinya.

Hadi diam sesaat dua sebelum dia menggeleng sendiri. Mungkin bukan orang itu yang membantu Elyana sekali gus mengerjakan si peragut sehingga lembik sebegitu. Mungkin kebetulan saja dia ada di sini.

Bila difikirkan semula... Ya, Hadi bertambah yakin insan itu cuma ada di sini secara kebetulan. Walaupun dia memakai full face helmet hitam matte, jaket kulit coklat, jean skinny hitam dan kasut but hitam, Hadi dapat tebak jantinanya. Seorang wanita.

Mungkin dia jenis yang lasak dan menunggang motosikal berkuasa tinggi tapi tak semestinya dia juga tahu berlawan, kan? Seumur hidup Hadi, dia hanya pernah berjumpa dua wanita yang tahu mempertahankan diri. Aina dan Elyana, sebelum Elyana lumpuh.

Hadi angguk-angguk pula. Semakin yakin dengan telahannya.

Komputer riba dan tas tangan Elyana diambil. Hadi biarkan saja si peragut mengerekot. Tak ada niat langsung nak tolong dia, jauh sekali seret dia ke balai polis. Moga-moga dia serik dan takkan mengulanginya. Kemudian Hadi berpatah balik ke kafe. Dari jauh, terpampang muka cuak Elyana dan Batrisya, sebelum berganti riak kelegaan.

"Nah," kata Hadi seraya menyerahkan kedua-dua item itu kepada Elyana.

"Mana orang tu? Dapat kejar dia? Apa jadi pada dia? Kau okey tak?"

"Aku okey," jawab Hadi pendek.

"Peragut tu?" Segera Elyana lemparkan soalan seterusnya. Hadi jongket bahu.

"Sampai aje sana, dia dah terbaring. Lembik. Ada orang lebih cepat daripada aku."

Terentang kerutan di dahi Elyana. Ada orang lebih pantas daripada Hadi? Elyana melopong saat wajah seseorang terbayang di layar mata. Adakah...

"Kita balik sekarang. Aku terus hantar kau ke ofis pak long. Mesti pak long risau kalau dia tahu," kata Hadi yang sudah pun menolak kerusi roda Elyana. Dia mengucapkan selamat tinggal kepada Batrisya dengan senyuman manis.

Tiba di kereta, Hadi mencempung tubuh Elyana masuk ke dalam. Selepas kerusi roda disimpan, Hadi cepat-cepat mengambil tempat pemandu. Beberapa minit perjalanan, Hadi sedar kebisuan Elyana. Mulalah Hadi dijentik kerisauan.

"Kau okey tak, El?"

"Hah? Haaa. Okey."

"Kenapa diam aje?"

"Tadi kau kata ada orang kerjakan si peragut, kan? Kau nampak tak siapa orangnya?" Soalan berbalas soalan. Elyana sudah tetapkan fokus pada Hadi dengan air muka keruh.

"Tak. Aku cuma nampak ada sorang perempuan dengan motor dia. Tapi aku rasa bukan dia kut yang kerjakan peragut tu."

"Kenapa kau rasa bukan dia?" Cepat-cepat Elyana bertanya lagi.

"Macam mustahil. Lagipun, takkanlah sekejap aje dia boleh kerjakan peragut tu?" Terbayang-bayang di mata Hadi, darah di tepi bibir dan pipi si peragut. Tangannya pula asyik melekap pada perut, menunjukkan kesakitan yang tidak terhingga di bahagian itu.

Elyana menyepi sebelum melontarkan soalan lain pula.

"Hadi, kau ada kenal sorang perempuan tak? Rambut dia pendek, sampai bawah telinga. Badan dia lebih kurang macam aku tapi orangnya tinggi. Mungkin paras telinga kau kut. Muka dia nampak garang sebab dia tak senyum."

Hadi tak perlukan masa yang lama untuk menggeleng. Memang seingatnya, dia tak ada kenalan seperti yang digambarkan Elyana.

"Kenapa?"

"Tak ada apa-apa," jawab Elyana lemah bersama hembusan nafas yang agak panjang. Elyana membuang pandang ke luar tingkap.

Satu wajah kembali terpampang di kornea mata Elyana. Wajah wanita yang telah membantu mengambil tas tangan Elyana di kafe. Elyana yakin, wanita itu jugalah yang membonceng Ducati tersebut.

Sebelum Hadi kembali, Elyana lihat wanita tersebut di jalan raya bertentangan kafe. Dia memakai full face helmet tetapi disebabkan dia membuka face shield, sepasang matanya menjadi perhatian Elyana dari kejauhan. Lama mereka berbalas renungan sebelum face shield ditarik semula menutupi muka dan dia beredar.

Siapa kau? Kenapa kau tolong aku dan Hadi? Soalan itu diaju Elyana dalam hati. Tetapi itu bukanlah persoalan utamanya. Andai Elyana diberi peluang untuk bersemuka dengan wanita misteri itu sekali lagi, dia akan bertanya...

Kenapa kau selalu ikut aku dan Hadi?

Bạn đang đọc truyện trên: WatTruyen.Top