WatTruyen.Top

Ursula

Bab 10

karyaseni2u

TAK kiralah berapa kali Dean menghalang, Asyfa tetap keras kepala. Tipulah kalau dia kata badannya elok-elok saja. Sengal, nyilu dan sakit masih jelas terasa.

Kepalanya sendiri asyik berdenyut-denyut sejak tadi dan masih terasa pening namun untuk saat ini, Asyfa abaikan semuanya. Ini bukan masa yang sesuai untuk dia jadi wanita lembik dan merengek mahukan layanan bak puteri. Ini ialah masanya dia membuat perhitungan dengan seseorang.

Tiba saja di destinasi, Asyfa meluru keluar dari kereta. Menonong dia berjalan memasuki gudang itu dan menuju ke aras atas tanpa mempedulikan mata-mata yang memandang. Walau Asyfa tidak menoleh, dia tahu Dean setia mengekori di belakang.

Di depan mata Asyfa kini ada belasan lelaki. Ada yang sedang duduk di atas lantai, ada yang duduk mengelilingi meja empat segi, tak kurang juga yang berdiri sahaja. Berbeza posisi duduk tetapi fokus mereka, sama. Semua mata sedang tertumpu pada Asyfa dan Dean bersilih ganti.

"Siapa yang buat macam tu?" Tiada basa-basi, tiada selok-belok. Asyfa terus bertanya. Tak perlu dia perincikan soalan tersebut kerana Asyfa yakin sangat, ada di antara mereka yang memahami maksud soalannya.

"Jawablah! Siapa yang buat macam tu?! Kau? Kau? Atau kau?" Rawak jari Asyfa menuding.

Ada yang saling berpandangan, ada yang menggeleng tetapi ada juga yang... Senyum sinis. Tahulah Asyfa siapa yang sedang dicarinya. Asyfa tak dapat tahan dirinya dari senyum sinis juga.

Betullah. Siapa lagi yang akan melakukan itu kalau bukan dia?

Asyfa bawa diri mendekati seorang lelaki di meja empat segi. Ada tatu dicacah pada buku jemari dan lengan. Di bahagian muka pula, ada beberapa kesan parut. Imej yang pastinya akan membuatkan mana-mana wanita kecut perut dan ketakutan, namun bukan Asyfa.

"Kau, Ricky?" soal Asyfa sebaik dia berdiri tepat di sebelah Ricky.

Ricky menyeringai. Dia berdiri tepat di hadapan Asyfa lalu dengan muka tidak berdosa, dia mengangguk. Mengakui perbuatan keji yang dia lakukan tadi tanpa rasa bersalah walaupun hakikatnya, tindakannya itu telah memperjudikan beberapa nyawa. Asyfa sendiri nyaris menyandang gelaran 'arwah' sebentar tadi!

"Kenapa?" Sengaja pula Ricky bertanya kepada Asyfa walhal dari air muka Asyfa saja, Ricky tahu Asyfa tidak berpuas hati.

Tajam mata Asyfa menikam Ricky. Lelaki yang pernah membesar dengannya telah tergamak melakukan perkara kejam sebegitu? Ah, bila difikirkan semula, bila masa sahaja mereka tidak berlaku kejam? Saban hari, saban waktu, kekejaman sudah begitu sebati dengan mereka. Sudah menjadi darah daging mereka!

Kau nak berlagak suci di depan siapa, Asyfa?

Berdesing telinga Asyfa apabila akal mengejek dirinya sebegitu rupa. Tetapi Asyfa tetap bekukan diri. Mimik muka sengaja dia keraskan, sama seperti tadi. Tak endahkan kata akal, Asyfa mempertikaikan perbuatan Ricky.

"Aku rasa aku dah pernah cakap. Jangan sentuh Hadi. Jangan ganggu Hadi. Apa yang kau tak faham?" soal Asyfa namun ditukas Ricky kurang sesaat.

"Aku cuma ikut arahan. Kalau kau tak puas hati, kau jumpalah dia sendiri."

Usai menjawab selamba, sekarang jari Ricky menuding-nuding bahu Asyfa. Berkerut dahi Asyfa apabila Ricky mencucuk tempat yang sakit tapi sedaya mungkin, Asyfa tayang muka bersahaja. Ada kemungkinan Ricky akan lebih teruja untuk menyakitinya kalau dia tahu kesakitan Asyfa.

"Kau dah lama tinggalkan daddy sebab kau nak ikut jantan tu. Kalau kau muncul semula semata-mata untuk Hadi, lebih baik kau tak payah muncul langsung!" marah Ricky, sempat mengerling Dean.

Ketara sangat rasa tak puas hati Ricky pada lelaki tersebut, yang dia gelar 'jantan' sahaja. Sebal dengan Dean, sebal lagi dengan Hadi. Ini bukan kali pertama Asyfa mengganggu rancangan mereka.

Jika dikira, sudah tak terhitung dek jari berapa kali Hadi menjadi sasaran dan nyawanya sewajarnya melayang tetapi setiap kali juga, Asyfa akan muncul dan menggagalkan segala-galanya! Entah apa yang ada pada kedua-dua lelaki tersebut hinggakan Asyfa asyik cari pasal dengan daddy!

Terkedu Asyfa sewaktu Ricky menyebut daddy tapi cepat-cepat, dia kawal air muka. Diteguk liur sekali untuk membasahkan tekak sebelum dia melempar kata.

"Ini amaran aku, Ricky. Jangan ganggu Hadi."

"Sebab?" Pantas, Ricky membalas semula.

"Let's just say... Dia milik aku. Nyawa dia milik aku," jawab Asyfa spontan.

Semakin kuat desahan nafas Ricky. Muka sudah bertukar merah dalam kadar terpantas. Ricky kepal buku limanya. Mata kini memancar garang.

"Ini pula amaran aku, Asy. Tak kira apa yang kita orang buat, kau jangan masuk campur. Aku akan tetap teruskan dan selagi Hadi tak mampus, selagi tu aku kejar dia."

Asyfa ketap giginya geram. Berapi saja matanya memandang Ricky tetapi lelaki itu tak pula membuang pandang ke tempat lain.

Saat ini, Asyfa sedar sesuatu. Amaran lisan saja tak memadai buat Ricky.

Lalu Asyfa mara ke arah lelaki itu sambil tangan kanan memanjang, menarik sesuatu dari kawasan betisnya. Tangan kiri pula pantas menggenggam pergelangan tangan Ricky. Dengan kadar laju, Asyfa hempas tangan lelaki itu ke atas meja lalu...

"Arghhh!" Kuat Ricky melolong. Pandang kiri, tubuh menggigil lebih kuat daripada tadi tatkala melihat telapak tangannya dicucuk satu objek tajam. Ricky cuba gerakkan tangannya tapi ia bagaikan terpahat di atas meja, sebagaimana kertas yang telah tertampal di papan notis dek dicucuk push pin. Malangnya saat ini bukan push pin yang mencucuk tangan Ricky. Sebaliknya sebilah pisau belati.

"Arghhh!" Sekali lagi Ricky menjerit kesakitan sewaktu Asyfa tarik semula pisau tersebut. Serentak, tubuh Ricky jatuh melorot ke atas lantai. Menggeletar hebat tangan kanannya sewaktu menggenggam telapak kiri.

Asyfa ukir senyum. Pisau yang baru menusuk telapak kiri Ricky sebentar tadi, kini sudah dicemari lelehan darah jejaka itu. Kain yang ada di atas meja menarik perhatian Asyfa lalu dengan selamba dia capai. Darah di bilah pisau dikesat menggunakan kain tersebut. Tak endahkan kesemua lelaki yang sudah berdiri dengan muka tak sabar-sabar mahu menerkam Asyfa.

"Kau..." Seorang lelaki mara ke arah Asyfa. Niatnya ingin menerpa Asyfa namun terbantut. Kini dia berdiri tegak bagai boneka, dengan mulut separa ternganga sambil mata terkebil-kebil.

"Cubalah. Kalau kau nak pisau aku ratah leher kau pula," kata Asyfa separa mengugut. Tika ini tangannya lurus melunjur manakala pisau di tangan diacu tepat ke leher lelaki itu. Satu saja pergerakan dan Asyfa jamin, pisaunya akan menemui mangsa seterusnya.

"Jangan, Bad..." Dalam kepayahan, Ricky bersuara untuk menghalang rakannya meneruskan niat. Juga menghalang Asyfa melukakan Bad pula. Dalam kesakitan dan seluruh anggota badan dibasahi peluh, Ricky menengadah. Sungguh, dia tak sangka Asyfa tergamak melakukan itu.

Bertahun-tahun mereka hidup bersama dan tidak sekali pun Asyfa dan Ricky menyakiti satu sama lain tetapi sekarang... Kerana Hadi... Asyfa tega menikam telapak tangannya!

"Kenapa kau buat macam ni, Asy? Kau tak takutkan dia? Kau fikir dia akan biarkan kau? Biarkan aku aje, lepas aku gagal ikutkan plan dia?!"

"Beritahu aje daddy, kau tak sempat buat apa-apa sebab aku dah halang kau. Itulah buktinya," balas Asyfa sambil bibir memuncung pada tangan berdarah Ricky.

"Tapi dia takkan mengalah!" Ricky membidas.

"Aku juga takkan berhenti," kata Asyfa, tenang.

"YOU'RE insane, aren't you?"

Itu ayat diungkap Dean, memecahkan segala keheningan yang sedari tadi menyelubungi dia dan Asyfa.

"Kau buat kerja gila bila kau sengaja biarkan Hadi rempuh kau. Kau buat kerja gila kedua, bila kau tikam tangan Ricky. Apa masalah kau?!" Dean membentak. Akhirnya, dapat juga Dean lepaskan perasaannya. Mata masih tertumpu pada jalan raya tetapi itu tidak menghalang mulutnya daripada terus mencicip.

"Kalau aku tak datang tadi, kau fikir apa jadi pada kau? Nasib baik kereta tu bukan kereta murah. Tingkap, cermin, semuanya tak pecah. Sekadar retak aje. Kau bayangkan kalau kau sekadar bawa Perodua Kancil? Atau kereta biasa lain? Kalau tak kereta terbalik, badan kau dah berdarah-darah sekarang. Entah-entah, patah riuk!"

Di tempat duduk penumpang, Asyfa betulkan duduknya. Dia menyendeng ke kiri, menghadap luar. Secara tidak langsung tubuhnya kini membelakangi Dean.

"Great. Aku cakap sikit, terus merajuk," selar Dean.

Asyfa tersenyum sendiri. Macam mana kalau dia berterus terang dan beritahu, dia bukannya merajuk dengan Dean tetapi badan kanannya terasa sakit dan bisa?

"Sorry pasal kereta kau. Bukan sekadar Ferrari aje. Porsche yang kau guna untuk kejar aku pun, jahanam juga." Kendur suara Asyfa meminta maaf. Julatnya juga perlahan namun Asyfa yakin Dean dapat mendengarnya.

Kejadian tadi berulang tayang di dalam kepala Asyfa. Dia yang nekad mahu menghalang kereta Hadi daripada terus-terusan memecut, telah bertindak gila membiarkan kereta yang dia pandu menjadi penghadang.

Namun disebabkan tahap kelajuan Hadi agak tinggi, jadi kereta Asyfa terseret dek ditolak kereta Hadi. Kemudian tiba-tiba Dean muncul dengan kereta Porsche. Dia memintas kedua-dua kereta tersebut dan segera membuat pusingan.

Sebagaimana Asyfa, Dean tahu dia juga harus meletak noktah pada babak itu. Lalu dari arah bertentangan, Dean pandu kereta. Dekat saja dengan Ferrari, Dean tak fikir panjang. Dia terus hentam sisi kiri Ferrari. Rancangannya berjaya. Disebabkan tindakan Dean, akhirnya kedua-dua kereta itu berhenti mendadak.

"For God's sake, this is not about the cars. Kau sepatutnya bersyukur tak ada apa-apa jadi pada kita semua. Kau fikir aku tak takut bila aku hentam kau? Aku risaukan kau tapi aku tak ada pilihan lain!"

Asyfa mengangguk sendiri. Sememangnya, dia sangat bersyukur dengan tindakan Dean. Jika Dean tak muncul, tiada siapa yang tahu apa yang akan terjadi kepada Asyfa dan Hadi.

"Tak pasal-pasal highway dah jadi litar lumba. Nasib baik juga tak ada orang lain yang terbabit," tambah Dean, lebih kepada menggumam sendiri manakala Asyfa sekadar diam. Dean tahu Asyfa tak mampu cipta sebarang alasan untuk membela dirinya. Dan mungkin juga Asyfa fikir, Dean akan membebel dengan lebih teruk kalau Asyfa menjawab.

Mata Dean mengerling ke kiri. Memandang Asyfa dengan perasaan berbolak-balik, sebelum dia melepaskan satu keluhan berat.

"Nak ke hospital?" soal Dean, berjulat rendah. Tak ada lagi niat untuk Dean marah-marah. Sekarang dia benar-benar rawan dan kerisauan. Senyatanya, tengkuk Dean sendiri terasa sengal dan berdenyut-denyut. Entah bagaimana pula dengan Asyfa, yang keretanya dihentam kanan dan kiri.

"Tak apa, aku okey. Nanti lepas tidur, eloklah," jawab Asyfa. Sehabis ayat itu, Asyfa berkerunyut dahi. Tiba-tiba terasa lebih nyilu di bahagian tengkuk. Sepertinya anggota itu marahkan Asyfa kerana berbohong.

"Kita ke hospital atau kau bayar kerosakan Ferrari aku dan Porsche orang tu. You choose."

Spontan Asyfa menoleh dengan dahi berkerut hinggakan kening hampir bercantum. Gila apa Dean nak suruh dia bayar ganti rugi? Dari mana dia nak dapatkan duit?! Sekurang-kurangnya dengan Dean, bolehlah dia berkompromi tapi kalau dengan pemilik Porsche itu?

Kalau sudah menginap di hotel mahal sebegitu dan memandu kereta berjenama mahal, kemudian senang-senang saja biarkan Dean meminjam keretanya... Bukankah itu bermaksud orang tersebut memang kaya-raya?!

"To hospital we are," kata Dean dengan senyuman penuh bermakna.

"Tapi ganti rugi Porsche tu?" Cepat-cepat Asyfa menyoal semula.

Dean menjongket bahu dengan mimik muka bangga dan Asyfa faham benar maksudnya itu. Semestinya Dean yang akan bayarkan. Dalam pada terharu dan rasa bersalah menyerbu diri, Asyfa merasa geram dengan ekspresi wajah Dean. Mulalah Asyfa mencebir. Dia menjeling Dean lalu tubuhnya dipalingkan daripada lelaki itu. Namun sebaik pandangan ditala ke luar, Asyfa ukir senyum. Hati pula berbisik...

Terima kasih, Dean. Kau dah selamatkan dia.

Bạn đang đọc truyện trên: WatTruyen.Top