Bab 11
KAKI Ammara laju menapak. Dia tak nak tersangkut dalam kesesakan lalu lintas hingga menyebabkan dia lambat menjemput Amaris. Lagipun, dah kerap sangat minggu ni dia jemput Amaris lewat. Memanglah Kak Mas tak kesah, tapi dia yang nak luangkan masa lebih dengan Amaris.
Biasanya, bila balik ke rumah, sebelum jam sembilan malam, Amaris sudah lena. Masanya dengan Amaris benar-benar suntuk andai nak dikira. Amaris banyak duduk dengan guru taskanya.
Sedang dia membayar tiket parking setelah selesai membeli barang dapur, tumpuan Ammara ditarik oleh seseorang. Cepat-cepat dia masukkan duit dan meluru ke arah seorang wanita yang dia kira sebaya uminya.
Plastiknya jatuh di kaki dan pecah. Barang dapur yang dibeli terburai keluar. Mujurlah orang tak ramai. Kalau tidak, tentu ada yang terpijak.
"Biar saya tolong, mak cik..." pelawa Ammara.
Wanita tua itu memandang pada seorang wanita muda yang sedang melutut dan mengutip barang dapur yang dibeli.
"Terima kasih. Tapi, plastik ni pecah. Letak dalam sini ajelah..." Satu beg plastik recycle dihulur oleh wanita tua itu.
Beg plastik mesra alam ni memanglah lembut untuk memudahkan proses pelupusan. Tapi, tengok... Semua dah terselerak. Dia sendiri pernah kena masa pergi tengok wayang dengan Ina. Habis tergolek meatballnya.
"Oh, tak apa. Saya ada yang ini..." Ammara tarik beg kitar semula IKEA yang ada di dalam beg tangannya.
"Saya letak dalam ni, ya?" ujar Ammara dan semua sayur itu diletak cermat.
"Eh, tak payahlah. Beg elok tu..."
"Tak apa. Saya ikhlas tolong. Lagipun, saya tengok mak cik sorang ni. Memang mak cik sorang ke?" Rasa ragu-ragu pun ada nak ditanya.
Macam penyibuk pun, ya? Tapi, memang nampak bersendiri. Mana anak-anak?
"Memang mak cik sorang. Mak cik tinggal tak jauh. Anak-anak kerja. Malam ni dah janji dengan anak-anak nak masak sedap-sedap. Saja buat makan-makan, sebab anak bongsu mak cik yang baru habis belajar tu, dah dapat kerja..."
Ammara sengih. Hai... Hati seorang ibu sentiasa teruja bila bercerita tentang anak sendiri. Apatah lagi anak itu telah menempa kejayaan. Rasa segala penat lelah itu telah berbayar.
"Ini kiranya keluar sorang-soranglah, ya?" Ammara sengaja mengusik.
Wanita yang berusia lebih setengah abad itu ketawa kecil. Mereka sama-sama bangkit bila Ammara siap mengisi semua ke dalam beg kitar semula miliknya.
"Mak cik datang ni memandu sendiri ke?" Kalau betul, dia memang kagum ni. Memang nampak berusia tapi mak cik ini nampak sihat sangat. Macam umi juga.
"Eh, mana ada. Mak cik tak larat nak bawa kereta dah. Tua-tua dah ni. Mak cik naik teksi aje..."
"Oh... Lega saya dengar..."
"Kenapa lega?"
"Yalah. Tak adalah mak cik drive sendiri. Nak-nak sekarang, peak-hour. Semua orang berkejar nak balik. Risau juga saya..."
Mak cik itu lebarkan senyum. Jarang sangat wanita seusia ini begitu bertimbang rasa. Malahan, risaukannya biarpun baru saja jumpa. Tak usah diceritakan tentang kata, wajah itu juga sudah begitu jelas berbicara.
"Errr... Nama siapa, ya?"
"Saya Ammara. Mak cik boleh panggil saya Ara."
"Ohhh... Sedap nama," pujinya.
"Sedap, kan?" Ammara turut sama ketawa.
Beg berisi banyak barang dapur itu terasa berat. Yang dia punya pun berat juga tapi dia dah gantung ke bahu. Yang mak cik ni punya, macam mana pula dia bawa tadi? Patutlah jatuh. Berat.
"Mak cik nak tunggu teksi dekat mana? Saya tolong bawa barang-barang ni..."
"Eh, tak payahlah. Bagi mak cik bawa sendiri..."
"Berat ni, mak cik. Nanti tangan mak cik berbirat..."
"Habis tu, tangan Ara tak berbirat ke?"
Ara lepaskan sebelah tangan dan tunjukkan telapak tangannya. Dia senyum.
"Saya muda sikit daripada mak cik. Kira tenaga saya lebih sikitlah. Jadi, saya boleh aje bawa," ujarnya bergurau.
Wanita tua itu ketawa. Kelakar betul budak ni. Manis pun, ya. Nampak sopan aje berbaju kurung. Baru balik kerja gamaknya.
"Ara balik mana?"
"Batu Caves..."
"Oh, jauh juga tu..."
"Tak jauh mana sebab hari-hari dah berulang-alik. Kira dah biasa. Cuma trafik ajelah sesak sikit..."
"Kalau macam tu, bolehlah singgah rumah mak cik kejap."
Dahi Ammara berkerut. Biar betul mak cik ni?
"Errr... Mak cik nak saya tolong hantar mak cik balik, kan?" Saja dia mengusik.
"Eh, nampak sangat ke?"
Tawa mereka sama-sama berpadu. Ammara angguk. Apa salahnya? Dia boleh aje hantarkan. Lagipun, mak cik ni nampak baik aje. Tak mungkinlah wanita seusia ini berniat jahat. Patutnya wanita ini lebih takutkan dia.
"Kalau gitu, saya tolong hantar, ya? Yang ni biar saya bawalah..." Lantas Ammara mengajak wanita itu berjalan seiringan. Terpaksalah dia jemput Amaris lewat lagi hari ni.
"Nama mak cik, Safiah. Boleh panggil Auntie Piah. Glamor sikit..."
Tidak dapat menyembunyikan rasa geli hati, Ammara ketawa. Kali ini sedikit kuat dan telah membuatkan Auntie Safiah terpaut.
MENDENGARKAN cerita tentang anak-anak Auntie Safiah, Ammara dapat rasakan keluarga ini adalah sebuah keluarga yang bahagia dan harmoni. Tidak seperti keluarganya suatu waktu dulu. Berantakan. Namun, syukurlah dia dan abang longnya pandai membawa diri meniti keretakan itu. Luka di kaki memang agak parah, tapi dia masih berjaya menyeberang dan merawat luka tersebut.
Abang long terus berjaya. Cuma dia, akhirnya tersilap langkah sendiri. Tersadung lantas tersungkur. Wajah dan seluruh tubuhnya penuh luka. Dia kesakitan. Dia menangis dan menjerit. Namun, tiada tangan yang mampu dia gapai hingga membuatkan dia tekad untuk bangun dan memulakan semula perjalanannya, biarpun bersendiri.
Sesekali dia melilau ke seluruh rumah banglo ini. Sekeping gambar keluarga pun tiada. Kata Auntie Safiah, ini rumah peninggalan. Kiranya, keluarga ini bukan keluarga biasa sepertinya. Keluarga ini keluarga yang kaya.
"Semua anak-anak tinggal dengan auntie ke?" soal Ammara sewaktu Auntie Safiah menghidangkannya air.
"Dululah. Lepas tu, anak sulung auntie kahwin... Dia tinggal dengan keluarga mentua dia. Cuma, bila suami dia kerja, dia adalah balik sini. Kira macam gilir-gilir. Lepas tu, anak bongsu auntie pergi sambung belajar ke luar negara. Tinggal anak lelaki yang nombor dua. Sekarang ni, semua dah balik... Kira dah kembali macam dulu baliklah."
"Sebab tu saya nampak auntie bahagia. Hati seorang ibu ni... Rasa bahagia kalau dapat lihat anak-anak depan mata. Kan, auntie?" Ammara terus menyisip air.
Tiba-tiba rasa rindu pada umi. Dah agak lama dia tak balik. Jangan kata balik, abang long yang berada berdekatan pun agak jarang dia jumpa setelah perkara dulu. Bukan salah sesiapa tapi salah diri sendiri yang banyak mengelak.
Alasan biasa... Dia sibuk. Tapi kenyataannya... Dia tak mahu umi dan abang long kecewa dengannya. Dia masih mampu tanggung sendiri semua perkara. Dia tak mahu abang long dan umi terus risaukan dia. Dan paling penting, dia masih tak mampu berterus-terang tentang apa yang telah terjadi. Bukan sekali dia menangis di depan umi dan setiap kali umi menyoal, dia tak mampu berikan jawapan.
Ammara angkat wajah. Memandang pada Auntie Safiah yang tiba-tiba mati senyumannya. Seperti terkejut akan sesuatu. Atau boleh jadi...
"Auntie mesti tertanya yang saya ni dah jadi ibu ke? Betul tak?"
Auntie Safiah senyum. Sudah cukup memberi jawapan pada persoalan Ammara. Dia letakkan cawan yang dipegang ke atas piring dengan penuh cermat. Hingga langsung tak mengeluarkan bunyi. Risau cawan mahal itu rosak nanti.
"Jujurnya, saya ni ibu tunggal. Saya ada seorang anak perempuan," akuinya. Tak perlu untuk dia berselindung.
Dia bangga menjadi ibu pada Amaris. Anak itu comel dan baik.
"Auntie terkejut?" soalnya apabila Auntie Safiah diam tak berkutik.
Tidak dapat tidak, Auntie Safiah angguk. Agak kecewa sebenarnya. Dia baru merancang yang indah-indah untuk anak keduanya. Anak yang terlalu sibuk dengan kerja hingga langsung tak fikir untuk berumah tangga sedangkan umur sudah masuk tiga puluh enam tahun.
"Auntie terkejut juga sikit. Sebab nampak Ara tak macam dah kahwin. Umur berapa ni?"
"Tiga puluh tiga dah tahun ni..."
"Anaknya?"
"Empat tahun..."
"Kalau auntie tanya pasal suami..." Bicara Auntie Safiah mati di situ. Bimbang andai isu itu adalah sesuatu yang sensitif pada Ammara.
"Oh... Pasal ayah pada anak saya tu, ya?" Ammara senyum. Ikhlas. Pada dia, tiada apa yang dia nak disorok.
"Dah dua tahun tak ada..."
"Innalillah... Auntie minta maaf. Sakit? Atau kemalangan?"
"Kemalangan. Meninggal di tempat kejadian." Ammara berhenti berbicara. Matanya mula terasa basah. Kata-kata dan amanah arwah masih segar di dalam kepala.
"Sekali lagi, auntie minta maaf, Ara..."
"Tak ada apalah, auntie. Benda dah ditakdirkan. Saya tak pernah persoalkan. Saya terima segalanya dengan hati yang reda dan tabah," jawabnya cuba menghalau rasa bersalah yang jelas meniti pada wajah tua Auntie Safiah.
"Auntie ingat nak ajak Ara makan malam dulu dekat sini sebelum balik..."
"Oh, terima kasih, auntie. Tapi saya ni pun dah agak lewat nak jemput Aris..."
"Aris? Nama anak?"
Ammara angguk dan senyum.
"Hurmmm... Nama mama dia cantik, nama anak pun cantik. Mesti anak ikut muka Ara, kan?"
"Rasanya, dia banyak ikut muka ayahnya..."
"Anak ayah..." pujuk Auntie Safiah.
Ammara hanya terus tersenyum.
Ya, ada jahitan pada lukanya sedikit meretas dengan soalan Auntie Safiah tapi Auntie Safiah tak tahu. Kerana itu, dia senyum. Ini juga adalah sebahagian daripada kesan kebodohannya.
Dia paksa bibirnya senyum.
Dia pujuk dirinya terima.
Bạn đang đọc truyện trên: WatTruyen.Top