WatTruyen.Top

RAID ARJUNA

Bab 4

karyaseni2u

"DIA dah sedar."

Perkhabaran daripada Noah itu sungguh menyenangkan suasana hati Raid.

"Kau dah tahu siapa dia?"

"Nama dia Asyari. 21 tahun. Masih belajar di College of Built Environments, University of Washington. Bidang Urban Planning, Real Estate. Sebenarnya, pada malam kejadian, ibu bapa dia baru jemput dia dari KLIA."

Cerdik orangnya! cetus hati Raid saat mendengar info ringkas itu.

"Bila aku boleh jumpa dia?" tanya Raid begitu berharap.

Tidak menjawab pertanyaan Raid, Noah duduk dengan wajah keruh.

"Noah... Kenapa?" tanya Raid, segera mengesan ada hal buruk sedang berlaku.

"Keluarga dia nak saman kau, sebab mereka kata kau cuai sehingga menyebabkan kematian ibu bapa Asyari."

Raid panar memandang Noah. "Tapi, bukan aku..."

"Tak guna, Raid." Noah memintas. "Tak ada bukti, tak ada saksi hidup, makanya mereka anggap cerita kau hanyalah alasan untuk menyelamatkan diri."

Raid memandang Noah dengan sedih. Hilang kata.

"Kau jangan bimbang. Orang tua kau baru serahkan pampasan kepada bapa saudara dia. Dan bapa saudara dia dah gugurkan dakwaan ke atas kau."

Raid menghela nafas panjang. Tentulah semuanya dapat diselesaikan dengan wang ringgit kerana papa adalah taikun yang sangat berpengaruh dengan harta melimpah-ruah. Tidak akan luak kalau setakat membayar pampasan kepada sebuah keluarga.

"Kau kata dia dah sedar, mustahil dia tak cakap apa-apa? Dia tahu dan nampak aku dah cuba bantu..."

Noah menghembus nafas panjang. Rupa-rupanya hal itu yang lebih mengganggu fikiran Raid.

"Aku sendiri tak tahu kenapa tapi dia ada sebut nak jumpa kau. Tapi bila bapa saudara dia tahu pasal tu, dia terus tak cakap apa-apa lagi."

"Takkan tak ada peluang langsung untuk aku jumpa dia?"

"Aku dah janji nak bawa kau jumpa dia bila sedar. Sabar. Tunggu sampai ayah saudara dia balik. Aku tak mahu kau menghadap kemarahan orang tua tu."

Raid manggut-manggut. Patuh.

LEWAT petang itu, Raid dikejutkan Noah dari tidurnya yang tidak begitu lena. Dilihatnya Noah sudah menyediakan sebuah kerusi roda.

"Kita pergi jumpa Asyari sekarang." Noah menghulurkan tangan, membantu Raid bangun perlahan-lahan. Noah menggunakan kekuatannya mengangkat Raid dari katil.

Berkerut-kerut dahi Raid menahan rasa nyeri di bahagian rusuk ketika Noah cuba mendudukkannya.

"Tahan sikit," pesan Noah apabila mendengar Raid mengerang berpanjangan. Kaki kanan Raid yang bersimen dari pergelangan kaki sampai pangkal paha diluruskan ke depan.

"Okey?" tanya Noah, prihatin.

Mahu tak mahu Raid memaksa diri mengangguk walau rasa sakit dan tidak selesa bila terpaksa duduk di atas kerusi roda. Keinginan mahu bersemuka dengan Asyari, mengatasi segala rasa sakitnya.

Dengan penuh hati-hati, Noah menolak kerusi roda Raid menuju bilik wad yang menempatkan Asyari. Sampai di muka pintu wad, debaran menggila menghantuk dada Raid, berbaur rasa sakit di rusuknya.

"Kau dah sedia?" Noah menanya dengan sebelah tangan menolak daun pintu.

Walau hati rasa tidak kuat, Raid tetap mengangguk. Sebaik sahaja Noah melapangkan pintu, Raid tertelan liur melihat pemandangan di hadapan sana. Kalau boleh, dia mahu berundur, tidak mahu masuk tapi Noah sudah menolaknya ke dalam.

Semakin dekat, semakin kuat rasa bersalah menganjal dalam hati Raid. Dia takut melihat keadaan Asyari. Berkali-kali dia mengerjapkan mata, cuba menafikan apa yang sedang dilihatnya.

Katil yang menempatkan Asyari condong 20 darjah ke depan. Asyari bernafas dengan bantuan ventilator mekanikal. Monitor atas kepala katil menunjukkan graf pernafasannya yang amat lemah. Wayar-wayar infus terpasang pada tubuhnya yang hanya ditutup dengan kain putih pada bahagian alat sulit. Terlalu banyak luka pada tubuhnya.

Dan saat Noah memberhentikan kerusi roda di tepi katil Asyari, Raid mengerang menahan rasa nyeri. Matanya tidak menipu. Dia berdepan dengan realiti paling pahit.

Kedua-dua belah kaki Asyari telah kudung paras lutut! Darah masih basah pada perban yang membungkusnya.

Nafas Raid mula tersengal-sengal. Tangannya mencengkam lengan Noah menumpang kekuatan. Cuba bertahan agar dia tidak semaput di situ.

"Kudung dan lumpuh paras pinggang," jelas Noah tanpa menunggu pertanyaan dari Raid.

Rasa terkejut bukan kepalang menggempur hati Raid.

Mungkin kerana terdengar suara Noah, mata Asyari terbuka perlahan. Menggigil tubuh Raid, takut-takut memandang Asyari. Anehnya, pada bibir pemuda itu tergaris sebuah senyum tidak berdaya.

"Raid... Arjuna?" tanyanya dalam kepayahan.

Raid menelan gugup sebelum mengangguk kecil. Noah segera mengiringkan kerusi roda bagi memudahkan Raid berkomunikasi dengan Asyari secara bertentang mata.

"Aku nak minta ampun." Tercetus permohonan itu dari mulut Raid, langsung tersengguk hiba.

"Tak apa..."

Kepala Raid langsung terangkat seperti disentak sesuatu dari belakang lalu dia menatap Asyari dengan pandangan tidak percaya. Tertanya-tanya. Dia... Tak marah?

Senyum Asyari masih tidak luput dari bibir, biarpun lemah tapi tulusnya terasa ke hati mereka yang memandang. Bertambah rengsa jiwa Raid dibuatnya.

"Kau... Dah cuba... Aku tahu... Nampak," kata Asyari lagi.

"Aku tak sangka jadi macam ni..." Suara Raid serak dan tersekat-sekat. Cukup merasa terbeban dengan rasa berdosa menghempas pundaknya.

"Takdir..." Nafas Asyari terhela kasar bersama dada tiba-tiba bergelombang kencang. Rasa sakit menyerang lagi.

"Asyari, kau rehat dulu. Jangan paksa diri." Noah menegur bila melihat kepayahan lelaki itu.

Namun Asyari menggeleng degil. "Aku..." Asyari menarik nafas dalam-dalam, cuba meredakan rasa sengkak di dada, sebelum menyambung, "tak punya banyak... Masa lagi. Raid Arjuna... Kena dengar apa yang aku... Nak cakap..."

Tangan Asyari meraba-raba bawah bantal. Dalam ketarnya, Asyari menghulur kertas berlipat berserta sebuah telefon bimbit retak skrin kepada Raid.

Biarpun kehairanan, Raid tetap menyambutnya. Telefon bimbit diserahkan ke tangan Noah sementara dia membuka lipatan kertas itu. Ada tulisan tangan tidak teratur tapi masih boleh dibaca. Rupa-rupanya Asyari telah bersusah payah menuliskan sesuatu untuknya dan itu membuat rasa berdosa kian menghantui jiwa Raid. Tangannya memekap mulut, menahan keinginan untuk berteriak sekuat hati. Sedang telinganya terus mendengar bicara sebutir-butir dari Asyari.

Hujungnya, Raid longlai atas kerusi roda dan kertas itu terlepas dari tangannya. Noah bingkas mengutip.

"Noah... Lebih baik aku mati!" seru Raid di luar kesedaran. Tidak sanggup menatap Asyari yang terus memandangnya dengan linangan air mata.

"Kau harus... Terus hidup, Raid. Kau kena hidup... Barulah... Aku maafkan... Kau..."

Tidak sempat Raid membuka mulut lagi, pintu wad tiba-tiba dibuka dengan kasar. Terpacul wajah seorang lelaki lingkungan usia 40-an. Demi terpandangkan Noah dan Raid, air mukanya semerta berubah tegang.

Merenung lama Raid, lelaki itu mara mendekati dengan dahi berlipat kerut. Tiba-tiba dia meluru, mencekak leher Raid.

"Hei! Apa ni?!" sergah Noah, segera mendepani lelaki itu seraya menolak lelaki itu menjauhi Raid.

"Siapa benarkan kau datang ke sini?!" makinya, tidak lepas memandang Raid.

"Kau siapa?" tanya Raid.

"Aku Osman, pak cik budak ni!"

Raid terkesima. Patutlah lelaki itu mengamuk tiba-tiba. "Pak cik... Saya datang sebab nak minta maaf..." Dengan penuh rasa rendah diri, Raid memohon.

Senyum sinis terbias pada wajah Osman.

"Maaf? Kau ingat cukup dengan cuma minta maaf?"

"Hei! Orang tua dia dah beri pampasan. Apa lagi yang kau tak puas hati?" sampuk Noah, tidak puas hati melihat sikap angkuh Osman.

"Memang mereka bagi aku duit sekepuk! Tapi kau fikir cukup ke nak tanggung biawak hidup tu?" Telunjuk Osman terhala ke arah katil, pada Asyari.

Biawak hidup? Baik Noah mahupun Raid, sama-sama terngadah mendengar ungkapan itu. Spontan, Raid menoleh. Dilihatnya Asyari sedang memejamkan mata rapat-rapat. Sedangkan Raid sendiri berasa seperti ditampar mendengarnya, tentulah Asyari lebih patah hati.

"Jangan mengarut! Duit yang orang tua Raid beri lebih daripada cukup untuk menanggung Asyari seumur hidup." Noah tampil membela bagi pihak keluarga Raid.

"Heh? Kau ingat besar sangat duit tu? Sedangkan bukit pun boleh susut ditarah, inikan pula duit! Bukan kamu semua yang menanggung budak tu! Tapi aku!" Osman menepuk-nepuk dada bersama muka merah padam, menggambarkan kemarahannya yang bukan kepalang.

"Ampunkan saya... Pak cik..." Rayu Raid sungguh-sungguh bersama air mata melembak.

"Kau jangan minta ampunlah!" jerkah Osman, sempat tangannya menunjal kepala Raid. Menyenggeng Raid dibuatnya. Nyaris tersungkur jatuh.

"Hoi!" bentak Noah sakit hati melihat sikap kasar Osman.

Tidak menghiraukan Noah, Osman terus menghadap Raid.

"Kau ingat, kalau aku ampunkan kau, kaki dia boleh tumbuh balik? Mak bapak dia boleh hidup semula ke hah?! Bapak dia satu-satunya adik yang aku ada. Mentang-mentang motor kau berkuasa tinggi, kau tunggang macam di litar! Kau dah bunuh mak bapak dia! Kau dah buat anak orang jadi yatim piatu!"

Raid merasakan kesakitan luar biasa saat mendengar kata-kata itu. Tidak menduga berawal dari tindakannya melarikan diri daripada menikahi Faiznur, telah menghancurkan sebuah keluarga lain yang tidak ada kena-mengena langsung dengan hidup matinya.

Dia dituduh pembunuh!

Betapa hasrat Fairel mahu dia rasa bersalah seumur hidup, termakbul sudah. Sungguh, sekarang ini, Raid merasa tidak terampun lagi.

"Kau!" Osman menuding Noah. "Lebih baik kau bawa budak tak guna ni pergi! Jangan ingat lepas mak bapak dia beri aku duit, aku boleh ampunkan dia! Pergi!"

Ikutkan hati Noah, mahu sahaja dia terajang muka Osman biar bersepai mulutnya. Asyari yang menanggung kesakitan pun masih mampu membuka pintu kemaafan buat Raid. Tapi Osman pula melebih-lebih menghamburkan kebencian.

"Tunggu apa lagi?" Osman cekak pinggang. "Berambus! Jangan berani-berani tunjuk muka kau depan aku lagi!" Melengking-lengking suara Osman.

Tidak sanggup melihat Raid terus dicemuh, Noah segera menarik kerusi roda dan membawa Raid pergi dari situ.

Sampai ke bilik, Raid masih terpekur kaget. Noah bertinggung menghadap Raid. Anak muda itu terkulai tidak berdaya.

"Sekarang, kau faham kan, kenapa aku selalu marah bila kau tak dengar cakap aku, bila kau bolos daripada kawalan aku dan yang lain?" Noah menatap Raid dengan wajah kesal.

Raid membalas tatapan itu bersama mata berkaca-kaca. "Ya... Aku salah, Noah. Aku bodoh... Sebab degil dan tak dengar cakap kau..." Raid mengongoi macam anak kecil.

Noah mengusap kepala Raid dan dalam nada memujuk, dia berkata, "sudahlah. Tak guna kau menangis. Benda dah jadi. Lebih baik fikirkan cara, macam mana nak tebus kesalahan kau pada Asyari."

Raid mengangkat wajah, memandang Noah bersama air mata berlinangan.

"Boleh ke aku tebus semuanya?"

"Aku akan tolong kau." Noah memberi janji sebelum mengangkat Raid dari kerusi roda.

Seorang jururawat masuk bersama troli makanan ketika Noah membaringkan semula Raid di atas katil.

"Waktu makan. Ubat tu tolong habiskan, ya." Jururawat itu memperingatkan bersama senyuman manis. Dia menarik meja mudah alih dari hujung katil. Nampan berisi sebotol air mineral, ubat-ubatan dan makanan diletakkan di situ.

Apabila jururawat itu pergi, Noah mengambil bekas makanan. Seperti biasa, menjadi tugasnya menyuap makan ke mulut Raid. Tapi baru beberapa suap, Raid menggeleng enggan.

"Makanlah sikit lagi." Noah cuba menyua suapan lagi. Tapi Raid tetap menggeleng.

"Kepala aku sakit. Nak tidur."

Noah mengeluh seraya mengambil bekas kecil berisi pil-pil yang disediakan oleh jururawat.

"Makan ubat dulu sebelum tidur."

Satu per satu pil bermacam warna Noah hulurkan kepada Raid. Berselang-seli dengan menyedut air dari botol mineral. Habis semuanya, Noah bangun, membetulkan sandaran katil. Setelah memastikan Raid selesa, Noah berlalu ke bilik air.

Baru beberapa saat Noah pergi, Raid merasakan kepalanya makin sakit. Pandangan berpusing-pusing. Tidak lama kemudian, dia melihat seorang doktor masuk diikuti seorang petugas bersama troli pesakit.

"Doktor... Kenapa aku rasa pening sangat ni?" tanya Raid bersama mata mengerdip berkali-kali.

Rasa pelik bila tidak mendengar doktor itu menyahut, memaksa Raid menoleh. Anehnya, dia melihat wajah doktor yang memakai topeng mulut itu tiba-tiba menjadi dua, tiga bertindih-tindih dan berputar-putar.

Tidak menghiraukan keadaan Raid yang sedang berperang dengan rasa mabuk, doktor dan petugas itu bertindak mengalihkan Raid dari katil ke troli.

"Ke... napa... Ni? Doktor... Nak bawa... Aku ke mana?" Raid cuba menghulur tangan, mahu memegang tangan doktor itu tapi seluruh tubuhnya terasa kebas.

Noah beredar ke singki mencuci tangan dan mengeringkannya dengan tisu. Bila dia menarik tombol pintu, jantung Noah berdetak keras. Berkali-kali Noah cuba memulas. Ternyata, pintu telah dikunci dari luar. Noah terkurung di dalam bilik air. Mendadak, nalurinya mengesan ada bahaya sedang menimpa Raid.

"Hoi! Buka pintu ni!" Noah berteriak lantang sambil, menggedor-gedor pintu itu.

"Raid!"

Raid menoleh ke arah bilik air. Walaupun semakin mamai, telinganya masih mampu mendengar Noah terus-terusan memanggil namanya dengan suara panik.

"No... ah... Tolong!" seru Raid saat trolinya ditolak keluar dari bilik.

Dalam bilik air, Noah bertindak menendang pintu. Memusatkan seluruh tenaga pada satu titik, yakni bahagian tengah daun pintu. Beberapa kali menendang, akhirnya daun pintu terkopak. Tanpa buang-buang waktu, Noah melompat seraya melepaskan tendangan sisi yang cukup padu.

Prakkk!!! Daun pintu langsung pecah berkecai.

Noah pantas menyusup keluar. Dan dia terngadah apabila mendapati Raid sudah tiada di atas katil.

Tepat pada masa yang sama, doktor yang merawat Raid muncul bersama seorang jururawat. Mereka sama-sama terkesima memandang Noah.

"Apa yang dah jadi? Mana Raid?" tanya sang doktor dengan wajah cemas.

"Dia dah diculik! Suruh pengawal tutup semua jalan keluar dari bangunan ni!" Noah memberi arahan sebelum bergegas keluar, menjejaki laluan yang mungkin digunakan oleh penculik.

Pandangan Raid berbalam-balam di hujung kesedaran. Terasa melayang-layang saat dia melihat ada kelibat manusia di sisinya. Sesekali terasa goncangan. Ketika itu Raid tahu bahawa dia berada dalam sebuah kenderaan yang sedang melaju.

Dia cuba bersuara, malang sekali, mulutnya tidak boleh dibuka. Pita pelekat memekapnya. Ingin meronta tapi sekujur tubuhnya terasa kebas. Pengaruh ubat masih kuat menguasai dirinya.

"Papa... Bonda... Noah..." Raid menyeru dalam hati dengan doa serta harapan agar Tuhan menggerakkan mereka supaya segera mencarinya.

Tapi macam mana kalau mereka tak berjaya menemui aku? Macam mana kalau aku dibunuh? Tiba-tiba fikiran Raid dihantui ketakutan.

Raid menangis, tidak dapat menahannya.

Bạn đang đọc truyện trên: WatTruyen.Top