WatTruyen.Top

RAID ARJUNA

Bab 15

karyaseni2u

SEJAK balik dari rumah Ummu Maziah, jiwa Raid bagai dilanda ribut. Dia tidak mampu menghapus fikiran tentang Asyanur dari benaknya. Beberapa kali dia nyaris terbabas ketika menunggang motor balik ke emper kerana tidak fokus. Hatinya sedang bergulat dengan rasa berdosa dan bersalah mengenangkan luahan Asyanur.

"Mak, abah dan abang saya meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya. Ramai orang kata, saya patut bersyukur sebab tak ikut mereka. Tapi orang lain takkan pernah faham, sejak pemergian mereka, saya hidup dengan hati patah..."

Dengan sepenuh perasaan, Raid melepaskan tumbukan ke samsak. Alat berukuran enam kaki tinggi, berdiameter 40 sentimeter yang beratnya berpuluh kilo itu terayun sedikit menerima impak pukulan Raid.

"Abang tu bersumpah nak jaga saya. Saya masih ingat abang tu datang jumpa saya, dia serahkan telefon bimbit abang... Dia kata dia dah baiki dan saya boleh tengok gambar-gambar keluarga saya dalam tu bila rindu. Itulah kali terakhir abang tu datang jumpa saya. Kadang-kadang saya rasa benci sebab dia mungkir janji... Tapi bila fikir dia selalu pengsan setiap kali jumpa saya... Saya rasa dah menyusahkan dia... Teringin nak beritahu dia... Tak perlulah bersumpah kalau rasa tak mampu tunaikan... Entahlah..."

Wajah berduka Asyanur yang menceritakan kenangan lamanya, semakin menghantui fikiran Raid.

"Arghhh!" teriak Raid, menyepak sekuat hati. Bertubi-tubi dengan harapan, rasa bersalah dalam hatinya dapat dinyahkan.

"Raid! Mana kau?!"

Suara kecoh Noah memanggil dari dalam emper tidak Raid hiraukan. Dia terus meninju dan menendang samsak. Tahu-tahu Noah sudah berdiri di hadapannya, memegang samsak dengan kedua-dua belah tangan. Tetap saja Raid melayangkan tinju sekuat hati.

"Tak cukup kuat ni. Lepaskan lagi," giat Noah setelah merasai momentum pukulan Raid yang mendarat pada samsak itu. Dia sengaja memprovokasi kerana bertinju merupakan antara cara terbaik buat Raid melepaskan amarah, kesal, mahupun mengatasi rasa bersalah. Kerana Raid punya jiwa sensitif dalam tubuh yang kuat.

"Ayuh, aku dah lama tak uji kau!" Noah menolak Raid ke tengah ruang. Dia sendiri bergerak ke sudut dinding mengambil alat bantuan latihan. Tangan kanannya meraih sebatang besi padu bulat, manakala tangan kirinya menggenggam erat seikat buluh raut.

Raid menelan ludah. Berbanding besi, dia lebih mencemaskan buluh raut. Sakitnya boleh kekal sampai keesokan hari. Tidak sempat mahu memprotes, Noah sudah menyerang dengan gaya brutal.

Terburu-buru Raid melangkah mundur beberapa tapak sebelum bingkas ke samping menepis ayunan besi. Tapi Noah lebih pantas melibas buluh raut ke perutnya. Menyeringai sekejap wajah Raid tapi dia tiada masa melayan rasa nyeri.

"Sakit ya? Sebab otak kau tak fokus. Otak kau ingat Asyanur. Olah balik pernafasan kau! Kejangkan otot! Tahan nafas di dada! Lepaskan di mulut!"

Noah benar-benar tidak memberi Raid peluang. Bersama serangan demi serangan, mulutnya kecoh memberi peringatan.

"Kau pun tahu, latihan keras ni dampaknya pada jiwa kau dan rasa percaya diri supaya kau mampu hadap tekanan dan berdaya kurangkan rasa sakit!"

Raid langsung tidak bersuara. Lebih sibuk menangkis serangan bersilang itu dengan kaki dan tangannya. Noah tersenyum puas melihat Raid berhasil menangkis setiap serangan tanpa ampunnya dengan wajah bersahaja, petanda kemampuan tubuh Raid meredam pukulan dan menahan kesakitan, sangat menakjubkan.

Setelah hampir 15 minit mengasak, sehingga besi jadi setengah bengkok dan buluh hampir lunyai, barulah Noah berhenti menyerang lalu melemparkan semua itu ke tepi ruang.

"Sakit?" tanya Noah agak khuatir melihat Raid mengernyit bersama nafas terengah, badan dibanjiri keringat.

Raid menyeringai. Memang ada rasa sakit terutamanya pada bahagian yang sempat terkena buluh. Dan dia perlu menghilangkan rasa sakit itu dengan mempraktikkan penyembuhan. Lalu dia duduk bersila tumpang kaki dengan kedua-dua belah tangan didepakan, sambil menarik nafas dalam-dalam dan melipatnya ke depan dada bersama mata dipejamkan.

Noah membiarkan Raid berkonsentrasi mengolah nafas menggunakan teknik nafas penyembuhan Geroda itu. Gerakannya tidak ubah seperti geroda mahu terbang, diulang berkali-kali. Tetapi teknik pernafasan itu sangat berhasil menenangkan tubuh dan menghilang rasa sakit serta memulihkan otot.

Mata Noah mengamati bahagian tubuh Raid yang dipukulnya tadi. Hanya ada kesan memerah. Badan lelaki itu memang liat dengan otot kenyal hasil latihan keras berbelas tahun. Kemudian mata Noah tertumpu ke dahi Raid yang bertampal dengan kain kasa. Kesan minyak gamat bercampur darah kering jelas kelihatan pada kain itu.

"Luka tu, nak jahit ke tak?" tanya Noah setelah Raid membuka mata dan mengubah posisi, duduk bertimpuh dengan kedua-dua belah tangan dicekak ke pinggang.

"Tak payah!"

"Kenapa? Takut hilang kesan tangan Asyanur?"

Raid diam, tidak menanggapi usikan Noah. Tentunya Gambit sudah membuat aduan. Dari awal lagi, Raid tahu mereka menyuruh pengawal lain mengintipnya sampai ke rumah Ummu Maziah. Melaporkan apa saja yang tidak kena kepada mereka.

Sekian lama Noah dan Gambit hilang kepercayaan membiarkan Raid berseorangan di luar tanpa pengawasan. Bahkan akses ke emper kediaman Raid di bumbung hotel itu pun hanya terhad kepada mereka berdua sahaja.

"Kenapa biarkan budak-budak tu tibai kepala kau dengan botol?"

"Saja..." balas Raid enteng.

"Saja? Konon-konon nak minta simpati dari Asyanur ke?" Noah giat mengenen.

Tapi wajah Raid tetap beku, seakan tidak terpengaruh dengan pertanyaan menjebak dari Noah.

Bila sudah begitu reaksinya, Noah tahu, fikiran Raid masih berkecamuk. Biasanya, luahan Raid akan keluar tanpa perlu ditanya setelah mendiamkan diri beberapa ketika. Lalu Noah pun tidak menyoal lagi.

Sejenak, keheningan menyeruak di antara mereka. Hanya desau angin malam dan bunyi kenderaan bergerak sayup-sayup di bawah sana mengisi pendengaran.

"Noah..." Raid tiba-tiba memanggil tapi tidak memandang Noah yang menoleh padanya.

"Kenapa kau tak beritahu aku yang Asyanur tahu bersilat?"

Sejenak Noah terkedu sebelum tersengih. "Sebab aku takut kau tak suka dan fikir dia jadi perempuan kasar kalau bersilat. Eh, tapi dia tak kasar, kan?"

Raid hanya menjawab pertanyaan itu dengan senyum kecil di bibir. Tak... Dia hanya nampak kasar bila bersilat tapi lembut bila rawat aku tadi, detiknya dalam hati.

"Kau kata, kalau aku jumpa sendiri dengan Asyanur, aku akan rasa lega bila tengok dia hidup baik-baik aje..."

Senyum kecil terlukis di bibir Noah. Tepat dugaannya, Raid akhirnya mahu buka cerita.

"Ya, selama ni dia memang hidup dengan baik."

Raid mengeluh kecil. "Tapi... Kenapa... Bila aku dah jumpa dia, aku makin rasa bersalah?" Dia memutar kepala ke arah Noah dengan kening terkerut-kerut.

Noah terdiam melihat Raid menebah dada, seolah-olah menahan sakit yang tidak terucap. Jangan kau buat lagi penyakit macam dulu! teriak hati kecilnya.

"Mungkin sebab... Kau belum memaafkan diri kau sendiri."

Nafas Raid terhela panjang mendengar telahan Noah. Memang benar, sampai sekarang, dia belum berupaya memaafkan diri sendiri di atas semua yang berlaku.

Raid mengusap muka sebelum berubah posisi lagi, menaikkan kedua-dua belah lututnya, menyangga lengan dengan jari-jemari saling bertaut.

"Dia masih ingat aku selalu jenguk dia masa kecil..."

"Eh? Serius?" Mata Noah membulat terkejut. "Wow! Kuatnya daya ingatan dia!" serunya kagum.

"Ya, aku sendiri pun kagum bila tahu memori dia kuat. Sampai dia boleh ceritakan semula dengan jelas. Dia masih ingat sumpah aku. Tapi sebenarnya, dia ingat aku yang dulu, yang kurus, yang sakit. Sekarang, dia tak cam aku, Noah. Siap dia kata, badan aku ni macam tentera elit dan buat andaian abang kurus tu dah meninggal."

Tak ayal, Noah ketawa geli hati seraya menepuk jidat. "Astaga! Polosnya dia!" serunya.

Raid terpaksa pasang muka reda.

"Sebenarnya, aku pun setuju, sesiapa saja yang dah lama tak jumpa kau, bila jumpa balik, memang tak dapat cam. Kalau tunjuk gambar kau dulu dengan sekarang, mesti ada yang akan kata, itu orang yang berbeza. Daripada seorang budak lelaki jambu bertukar jadi lelaki sasa. Air muka pun nampak kasar semedang. Kau betul-betul berubah bentuk."

Raid terkekeh mendengar pengakuan Noah. Tapi beberapa detik kemudian, dia tercenung lagi. "Dia tak macam yang aku bayangkan. Dia sangat tabah... Tak nampak susah hati," katanya dengan nada pasrah.

"Habis tu, kau mengharapkan dia hidup sebagai gadis yang lemah?" Noah menyelar.

"Bukan itu maksud aku..." Raid terdiam sejenak. "Kau pun tahu, kan? Dulu, aku selalu rasa sakit hati... Kecil hati dengan orang tua aku. Aku benci sebab mereka terlalu mengongkong kehidupan aku. Tapi bila papa dah tak ada, bonda sampai sekarang tak tahu di mana, rasa kehilangan tu sakit sampai ke lubuk hati... Buat jiwa aku rasa kosong." Raid memegang dada, sebelum tertunduk sedih.

Hati Noah tersentuh. Sejak dulu, rasa simpatinya terhadap Raid tidak pernah berkurang. "Semua orang pasti akan mengesali sesuatu dalam hidup. Tapi apa yang membezakan sikap seseorang dalam menerima takdir, adalah cara dia menanganinya. Reda atau terus menangisi nasib. Sepatutnya kau lega sebab dia masih mampu hidup normal walaupun dia kehilangan orang tua waktu masih kecil," ujarnya dalam nada menenangkan.

"Masalahnya, aku cuba pujuk diri, tempoh 15 tahun cukup lama dan aku mampu berdepan semula dengan dia bila tiba masanya. Tapi bila tengok dia depan mata, aduh... Aku makin rasa berdosa. Makin rasa bersalah sebab dia fikir keluarga dia meninggal sebab dah takdir!"

"Habis tu kau dah sedia nak berterus-terang?"

Raid sebaliknya menggelengkan kepala laju-laju.

"Tak sanggup!"

"Kenapa pula?" tanya Noah dengan ekspresi bingung.

"Sebab... Luaran aje Asyanur nampak tabah tapi sebenarnya dia masih sedih." Raid mengambangkan kata bila dalam fikirannya masih terbayang wajah sugul Asyanur.

"Cara dia bercerita pasal keluarga dia yang dah meninggal, sama macam dulu... Muka sayu. Buat aku rasa sebenarnya aku dan dia menanggung patah hati yang sama. Luka yang sama. Yang tak sanggup ditunjuk depan orang. Aku rasa nak mati bila tengok air mata dia meleleh." Raid mendesah panjang. Kerana air mata Asyanur itulah, dia terburu-buru meminta diri walaupun Ummu Maziah mempelawanya minum petang bersama. Dia takut kehilangan kendali.

"Raid, kau tak boleh terus salahkan diri kau. Betullah macam dia cakap, semua yang jadi itu takdir. Bukannya atas kehendak kau pun!"

Raid mendesah. "Dia cakap macam tu sebab tak tahu semuanya berpunca dari aku."

"Sekurang-kurangnya, kau berusaha betulkan keadaan!" sampuk Gambit yang tiba-tiba muncul di belakang mereka.

"Betul pada mata kau berdua, belum tentu betul pada mata dia." Raid berujar perlahan.

"Habis tu, pergilah minta ampun depan dia!" tingkah Gambit tidak sabar.

"Cakap memang senang. Tapi pernah tak kau fikirkan apa perasaan dia kalau tahu yang kemalangan tu dirancang? Kematian keluarga dia ada kaitan dengan keluarga aku!" tukas Raid dengan suara sarat nada kecewa.

Kali ini Noah pula menggeram tidak sabar. "Kejadian tu dah lama, Raid! Sejak kau pulih, kau kerja macam orang gila demi Asyanur, demi orang tua kau yang dah tak ada. Sampai kau dah lupa macam mana nak tersenyum dan hidup bahagia macam manusia normal!"

Raid terdiam.

"Daripada kau terus bergelut dengan rasa bersalah, aku rasa lebih baik kau berterus-terang dengan Asyanur bahawa kaulah abang yang pernah melawat waktu dia kecil dulu. Ceritakan hal sebenar. Mungkin dengan cara tu hati kau akan lega."

Saranan Gambit itu bagaimanapun disambut oleh gelengan kepala laju-laju oleh Raid.

"Dia kata aku yang dulu mungkir janji bila tak pernah datang lagi. Kalau aku mengaku akulah lelaki yang melawat dia dulu, aku yakin dia tak akan maafkan aku. Dan kalau aku ceritakan hal yang sebenar, tentu dia akan benci aku sampai bila-bila. Tolonglah faham, aku dah tak sanggup kehilangan lagi!"

Noah dan Gambit berpandangan sesama sendiri kerana merasakan ada gelojak aneh pada nada suara Raid.

"Sekejap! Maksudnya, kau suka Asyanur ke? Dalam erti kata lain, suka seorang lelaki kepada perempuan?" terjah Gambit, panasaran.

Mendadak Raid terdiam bersama ekspresi wajah sukar dibaca. Kombinasi antara riak kesal, malu, bingung dan entah apa lagi. Sehinggakan Noah dan Gambit merasa sulit untuk menerka apa yang ada dalam hati Raid.

"Ah, tak pentinglah!" rutuk Raid setengah kesal seraya bingkas bangun, berlalu keluar dari situ.

Noah dan Gambit sempat menangkap sebentuk kegelisahan pada air muka Raid, yang akhirnya menyumbang senyum di wajah mereka berdua.

Raid yang selama ini begitu sempurna membentengi hati sehingga berhasil mengabaikan rasa hancurnya, malah mampu menempuh jalan hidup terkejam. Saat tanggungjawab berat ditimpakan ke pundaknya, Raid berhenti jadi anak manja dan berubah menjadi lelaki berhati baja di hadapan khalayak. Seiring berjalannya waktu, Raid semakin bijak mengendalikan penderitaan, kebencian dan ketakutannya meski ingatan terhadap peristiwa-peristiwa ngeri itu tidak pernah mampu dipadamkan dari memorinya.

Selama 15 tahun, Raid memang membuktikan dia mampu bangkit memperlihatkan kecerdasan dan menunjukkan sikap tangguh dalam gelanggang korporat.

Tapi hari ini Noah dan Gambit baru benar-benar menyedari sesuatu... Fizikal luaran Raid mungkin kalis pukulan tapi ternyata sekeping hati Raid masih bisa menjadi rapuh hanya kerana Asyanur!

Bạn đang đọc truyện trên: WatTruyen.Top