Bab 13
RAID baru mendaratkan punggung di jok belakang ketika terdengar pintu di sebelahnya berdentum, seiring dengan satu suara berseru galak.
"Jangan bergerak!"
Raid kaku merasakan muncung pistol melekat di tepi dahinya. Matanya melirik sekilas ke depan.
"Tuan!" Isfan yang duduk di jok pemandu, kelihatan tergamam memandang Raid melalui cermin pandang belakang. Dengan cekatan, dia menarik keluar pistol dari sisipan di pinggangnya dan memutar tubuh lalu mengacukan senjatanya kepada orang yang menyelinap masuk itu.
Sejenak, Isfan terkesima menatap wajah cantik di sebelah Raid. Namun demi Raid, dia mengeraskan cengkeraman pada pistol yang diacukan tepat ke hidung mancung gadis itu.
"Simpan pistol kau! Atau aku letupkan kepala tuan kau ni! Jalan cepat!" Sebelah kaki panjangnya menendang jok Isfan sementara tangannya makin menekan dalam-dalam pistol ke kepala Raid. Sampai sendeng tubuh Raid ke pintu.
Suasana kereta lengang tapi terasa menegangkan dek keberanian yang dipamerkan oleh gadis itu. Nafas Isfan menderu cemas. Bola matanya bolak-balik ke arah Raid, meminta arahan. Dalam masa yang sama, rasa hairan melihat majikannya masih mampu bersikap tenang dalam keadaan genting begitu.
"Jalan," desis Raid perlahan.
Isfan mematung seketika sebelum mendengus setengah putus asa dan berbalik tubuh. Baru beberapa detik Isfan memandu kereta keluar dari kawasan parkir, Raid merasakan tangan gadis itu merayap ke kakinya, menarik kerambit yang disisipkan ke dalam stoking. Kemudian telinganya mendengar suara halus ketawa mengekeh.
"Weh, anak buah beria bawa pistol, tapi tuannya? Bawa kerambit aje? Raid... Raid... Zaman dah moden, kau masih bawa benda macam ni... Ck... Ck... Ck..."
Isfan kebingungan mendengarnya.
Ocehan si gadis itu terpenggal bila Raid dengan gesit menyambar pistolnya. Spontan, gadis itu mendesitkan lidah, tidak puas hati. Sedangkan Raid menarik senyum sinis.
"Kau masih lemah dalam pertarungan tangan kosong, sayangku Yasmin. Jadi, tolong pastikan kau selalu beringat dan hindarkan diri daripada terpancing mendekati musuh, walaupun pistol ada di tangan kau. Fokus dan jangan mudah memperkecilkan musuh!" Spontan telunjuk Raid menunjal dahi gadis bernama Yasmin.
Bersama wajah cemberut, Yasmin merampas pistolnya dari tangan Raid dan menyisipkan semula ke pinggang. Kemudian, tanpa disuruh, dia menunduk, menyimpan semula kerambit ke dalam stoking Raid.
"Berlagaklah kau ni!" getus Yasmin seraya melipat tangan ke dada.
Isfan yang terpinga-pinga mendengar dialog itu segera menyampuk hairan. "Eh, tuan? Tadi macam nak berbunuh, kenapa sekarang macam kawan baik? Siapa dia ni?"
"Dia ni?" Raid menjeling Yasmin dengan kening terjongket sebelah. "Perempuan gila!"
"Kaulah yang gila!" Yasmin menonjok bahu Raid. "Zaman orang berpistol, kau masih ke hulu ke hilir dengan kerambit. Kau perasan kebal macam pendekar jawa Taming Sari, eh?" Telunjuknya mencucuk-cucuk lengan Raid yang terasa keras bagai balok. Silap hari bulan, jarinya yang boleh patah!
"Budak baru ke?" Yasmin memuncungkan mulut ke arah Isfan.
"Ya, Isfan namanya. Abaikan dia. Terus-terang, kenapa kau sanggup intip aku sampai ke sini? Dah rindu sangat ke?" Raid meleretkan senyum.
"Rindu? Loya!" cemuh Yasmin pura-pura jelirkan lidah tanda jengkel.
Raid tertawa perlahan. "Jaga sopan santun kau sebagai perempuan, barulah Ziyad berani mulakan langkah."
"Apa tiba-tiba masuk pasal Ziyad? Langkah apa? Mayat aku? Berani dia?"
Raid geleng kepala. Yasmin tetaplah Yasmin. Cantik tapi menggemaskan.
"Okey, kau nak apa sebenarnya?" Raid bertanya, seraya menoleh dan menatap Yasmin dengan saksama.
"Syed Badrul. Dia baru beli jet peribadi berharga 160 juta duit kita..."
Belum pun sempat Yasmin menghabiskan ayatnya, "jadi kau syak dia pun ada kaitan dengan 1 Infinity Mega Vision?"
Tanpa berselindung lagi, Yasmin mengangguk. Tapi Raid pantas membalas dengan gelengan diiringi keluhan panjang.
"Aku tak rasa dia ada kaitan dengan 1IMV. Tapi..." Raid menggantung kalimat, seketika meluruskan pandangan ke hadapan.
"Tapi apa?" desak Yasmin tidak sabar.
"Menilai cara dia ugut aku, rasanya dia mungkin terlibat dalam membekalkan pembunuh upahan kepada musuh-musuh politik atau sesiapa sahaja yang berkuasa dan berduit. Atau mungkin dia sendiri pembunuhnya, siapa syak, kan? Anak menteri... Kebal undang-undang."
"Aduh! Susahlah macam ni!"
Tiba-tiba Raid membuka tali pinggangnya.
"Eh? Jangan cakap kau nak tanggal seluar depan aku?" Yasmin pura-pura terjerit.
"Jangan macam-macam, Raid. Tak pasal-pasal ada orang curi rakam kita nanti." Dia mengerling genit ke arah Isfan. Anak muda itu kelihatan kerap kali mencuri pandang ke arah mereka. Resah sangat gayanya.
Raid menyeringai dan dengan gemas, menarik pucuk hidung Yasmin. "Kau, jangan perasan! Aku sengaja pakai ni untuk cari bukti kes keluarga aku."
Yasmin tergelak seraya menyambut tali pinggang yang dilemparkan oleh Raid. Lelaki itu menarik tali pinggang lain dari kotak aksesori di bawah jok pemandu.
"Nampaknya tak ada apa-apa yang boleh bantu aku. Tapi mungkin boleh bantu kau."
"Resolusi tinggi ke ni? Jelas?" tanya Yasmin seraya membelek kepala tali pinggang berbentuk segi empat itu. Kalau dilihat sekali lalu, tiada siapa menduga pada logam hitam bertekstur timbul itu, tersembunyi sebuah kamera mikro berteknologi tinggi.
Raid mengangguk sambil mengenakan tali pinggang baru.
"Errr... Tapi... Kau ada masuk tandas tak sebelum jumpa dia tadi? Rasa macam seriau aje nak buka video ni."
Pergerakan Raid terhenti lalu dia menoleh. Bila melihat senyum jail di bibir Yasmin, Raid menggeram.
"Kau kalau tak mengarut, hidup tak girang ya? Video tu bersih dari sebarang aksi lucah!"
Yasmin langsung ketawa lepas. Sehinggakan Isfan ikut terbahak mendengar gurauan mesum mereka.
"Okey! Okey, sekarang aku yakin!" Yasmin angkat sebelah tangan mengalah bila melihat Raid merenungnya tanpa senyum. Tali pinggang yang sudah digulung, segera disimpan ke dalam beg pinggangnya.
"Kau tengoklah sendiri video tu nanti. Sekilas pandang aku tadi, revolver dia tak ada nombor siri. Manalah tahu dia ada kaitan dengan pembunuhan aktivis korporat yang buat laporan kepada SPRM tentang korupsi dalam Bank Saudi Malaysia."
"Ini yang buat aku makin sayang kau!" seru Yasmin.
Raid mencebik seketika tapi kemudiannya tersenyum nipis. "Apa pun Yasmin, jangan terburu-buru, okey? Perkara ni bukan main-main. Siapa pun dan apa pun gelaran mereka, pokoknya mereka ada di luar sana. Mereka boleh bunuh orang sesuka hati dan tak ada sesiapa berani melakukan apa pun untuk menghentikan mereka."
"Masalahnya kau syak Syed Badrul yang bunuh papa dan hilangkan bonda kau." Yasmin membulatkan mata.
"Setakat ni, naluri aku kata, dia tak terlibat. Cuma dia ambil kesempatan provok aku dengan kisah-kisah lama papa dan bonda. Jadi, lepas ni, aku dan dia dah tak ada urusan lagi."
Yasmin diam. Tidak tahu mahu membalas apa. Soal orang tua Raid adalah isu sensitif baginya juga. Ada juga dia cuba membantu Raid dengan berkongsi maklumat. Tapi dengan kehilangan Engku Marsitah tanpa jejak, sesiapa pun boleh jadi suspek dan mana-mana suspek pun boleh bertukar jadi bukan suspek.
"Kau tak nak goda Ziyad? Jadikan dia serampang dua mata. Boleh dapat maklumat tentang D.A, dalam masa yang sama jadi calon suami?"
"Heiii!" Yasmin menyikut perut Raid. "Kau tak ada cadangan bijak laksana sikit ke? Balaci macam Ziyad tu kau suruh aku goda? Euwww! Aku lebih rela pejam mata goda kau!"
"Sayangnya aku takkan tergoda dengan kau walaupun aku pejam mata waktu kau goda." Raid menyeringai.
"Kau kejam!" Yasmin pura-pura tarik muka masam. Memutar tubuh ke arah tingkap.
"Ziyad tu sepadan dengan kau. Sama-sama keras kepala. Barulah meriah hidup kau ada geng bertekak seumur hidup."
"Hih! Benci betullah cakap dengan dia ni!"
Sungutan Jasmin, Raid sambut dengan ketawa senang.
"Adik, mana boleh menang dengan abang."
Bạn đang đọc truyện trên: WatTruyen.Top