Bab 11
15 tahun kemudian... (Sekarang)
DI LOBI sebuah bangunan perindustrian.
"Aku nak jumpa Raid Arjuna!"
"Nama encik?"
"Saiful Anas!"
"Sebentar ya, encik." Gadis itu memeriksa senarai dalam komputer.
Sekejap kemudian, gadis itu mengangkat kembali wajahnya. "Maaf, encik... Tapi saya tak jumpa nama encik dalam senarai janji temu dengan Tuan Raid Arjuna hari ni. Encik nak saya tetapkan janji temu pada hari lain?"
"Dia Yang Dipertuan Agong ke sampai aku nak kena buat janji temu jumpa dia?!" Anas menghentak permukaan kaunter pertanyaan, membayangkan ketidaksabarannya.
Biarpun terkejut, gadis penyambut tetamu itu tetap menjelaskan dengan sopan. "Mmm... Maaf, encik. Tuan Raid tak akan berjumpa dengan orang yang tak buat janji temu."
"Bangsat! Dia fikir dia berdaulat sangat ke?!" maki Anas, tak mampu bersabar lagi lalu beredar dari kaunter.
"Encik! Encik tak boleh redah masuk macam tu saja. Tempat ni ada prosedur!" Si gadis cuba menegah bila melihat Anas berjalan laju menuju lif.
"Aku peduli apa dengan prosedur kamu semua? Sekarang ni, aku nak jumpa bos kau yang kurang ajar sangat tu!" herdik Anas tanpa menoleh.
"Pengawal! Tolong halang dia!" teriak gadis itu kepada lelaki berbadan sasa yang berdiri bagai tugu di tepi lif.
Baru Anas menghulur tangan mahu menekan butang, tangan keras macam batu pengawal itu lebih tangkas menangkis. Terus dia beranjak ke depan pintu lif, menghadang laluan Anas.
"Kalau tak ada urusan, lebih baik kau pergi dari sini," tegasnya penuh amaran.
"Kau tak ada kena-mengena dengan aku. Ke tepi!"
"Cubalah ketepikan aku," sindir pengawal itu bersama senyum jemawa.
Merasa tercabar, Anas cuba menolak tubuh pengawal yang besar bak beruang itu. Sayangnya, langsung tidak berganjak.
"Kau jangan cuba halang aku!!!" tempik Anas sakit hati.
Saat itu terdengar dentingan dari arah lif dan detik berikutnya pintu lif melebar. Kelihatan beberapa orang lelaki bersedia untuk keluar.
Melihat peluang keemasan, Anas cuba mengalicau dari pengawal itu. Namun pengawal itu lebih sigap mencengkam kerah baju Anas, sekaligus mengheretnya menjauhi pintu lif.
"Lepaskan aku! Aku nak jumpa Raid Arjuna yang tak guna tu!" rengus Anas.
"Ada apa ni?" tanya lelaki bertampang keras yang mendahului keluar dari lif.
"Dia nak jumpa Tuan Raid."
"Kalau tak ada janji temu, sila keluar!" perintah lelaki itu.
"Hei! Aku tak perlu janji temu! Aku nak jumpa orang yang dah buat keluarga aku jatuh miskin! Mana dia? Aku nak bersemuka dengan dia!" Anas menunjukkan kedegilannya.
"Jadi, kau mahu apa dari aku?" Suara berat dan dalam tapi terdengar sedikit serak itu berasal dari ambang pintu lif.
Anas pantas menoleh. Semua lelaki segera menyisih, memberi ruang kepada empunya suara. Anas mengerutkan kening bila melihat seorang lelaki yang dia kira berusia sekitar awal 30-an itu.
Cara dia berdiri begitu menyebarkan aura keyakinan yang tinggi. Bertubuh bongsor sekitar 1.8 meter. Sekaligus memberi kesan bahawa dia seorang lelaki yang kuat dan tangkas. Rambutnya pendek kemas, berwarna coklat gelap. Warna matanya biru gelap kehijauan bak air tasik tenang, tapi tatapannya begitu dingin. Roman aristokrat begitu menyolok pada wajah tampannya yang dihiasi kumis nipis dan janggut yang baru tumbuh.
"Raid Arjuna?" Anas menanya, ragu-ragu. Soalnya tidak yakin bahawa yang bernama Raid Arjuna itu masih muda orangnya.
"Ya, aku orang yang kau cari," sahut Raid mantap dengan mata masih sedingin ais.
Anas tertelan liur gugup. Selama ini, mati-mati dia sangka 'Raid Arjuna' sebaya ayah.
"Ayah kau dari perusahaan mana?" Raid menyelidik.
"Anas Food Industries!"
"Oh, AFI!" Raid tiba-tiba tersenyum jemawa. "Dinamakan sempena nama satu-satunya anak lelaki yang dia ada, Saiful Anas. Tapi ironinya, anak itu lebih senang bekerja sebagai seorang arkitek. Anak-anak perempuan dia pula tak boleh diharap!"
Anas panar seketika bila sekilas fakta tentang dirinya diungkap oleh orang yang tidak dikenali.
"Kau dah rampas hak keluarga aku!" Anas menyelar.
Bibir Raid menjongketkan senyum tapi sinar matanya tidak bersahabat sama sekali. "Aku tak rampas, aku cuma mengambil alih pengurusan lemah dari tangan ayah kau."
"Penipu! Kau tu kaki belit! Kau rampas syarikat keluarga aku macam penyamun!" tuduh Anas, makin tajam.
Masih bersikap tenang, Raid membalas, "kau sepatutnya bersyukur, aku cuma beli 70 peratus saham daripada syarikat yang sedang sakit. Aku dah beri peringatan kepada semua ahli lembaga pengarah syarikat ayah kau tu supaya buat kerja baik-baik. Tapi nampaknya mereka tak mahu dengar cakap."
Geram sungguh Anas melihat wajah datar Raid yang cuma dihiasi senyum sinis, bagaikan mengejeknya.
"Pokoknya, kau dah rampas business ayah aku! Kau dah buat dia terlantar di hospital sebab terlalu kecewa dengan penipuan kau!!!"
"Oh, dia sakit? Takziah dari aku..." Raid berpaling ke arah pengawal di sebelah kirinya. "Fad, nanti kirimkan buah-buahan dan bunga untuk ayah dia ni, ya? Kalau dapat bunga kemboja, lagi bagus!" pesan Raid, begitu bersahaja.
Masing-masing mengulum senyum tahan gelak mendengar arahan Raid. Sedangkan Anas bengang tidak terkira. Bunga kemboja, bukankah dekat dengan kubur?
"Kurang ajar! Kau memang sengaja nak ayah aku mati, kan?" Merasa terhina, Anas meluru, cuba merenggut jas Raid. Namun ketangkasan para pengawal peribadi Raid telah menghalang sebelum Anas dapat menyentuhnya.
Raid tersenyum nipis tapi matanya tetap terlihat dingin bagai tasik beku tidak beriak.
"Kau marah-marah aku pun tak guna, Encik Saiful Anas. Keputusannya tetap satu-kosong." Raid mara mendekati Anas.
"Dah terlambat kalau baru sekarang kau nak berjuang untuk ayah kau. Sepatutnya dari awal lagi kau berjuang naikkan balik syarikat ayah kau yang hidup segan mati tak mahu tu. Dan sepatutnya, kau bersyukur, aku sanggup beli syarikat ayah kau yang asyik rugi tu. Sekurang-kurangnya, ayah kau masih boleh dapat jatah bulanan daripada aku. Tidaklah kau sekeluarga hidup merempat!" Raid dengan selamba, menepuk-nepuk bahu Anas.
"Sialll!!!" tempik Anas sakit hati dan merasa diperlekehkan.
"Salam untuk ayah kau. Semoga cepat sembuh." Selepas berkata demikian, Raid terus berlalu.
"Raid Arjuna! Kalau ayah aku mati, aku bunuh kau!!!" teriak Anas meronta-ronta cuba melepaskan diri.
Raid langsung tidak menanggapi, sebaliknya terus melangkah menuju ke kereta yang sedia menunggu di luar bangunan.
"Siapa tu?" tanya Noah sebaik sahaja Raid masuk, duduk di sebelahnya.
"Biasalah... Anak yang tak dapat terima hakikat bahawa ayah mereka dah jatuh miskin!"
"Hmmm..." Noah tersenyum mendengarnya. Kemudian, dia bertanya, "kau nak ke mana lepas ni?"
"Balik."
Noah mengangguk lalu mengarahkan pemandu supaya beredar dari situ.
Raid menyandarkan diri. Sempat menjeling ke luar, melihat Anas yang sudah terlepas daripada pegangan pengawal, berlari dan cuba mengejarnya. Raid tertawa kecil.
"Dia dah balik ke sini," kata Noah tiba-tiba, mendapatkan semula perhatian Raid.
"Siapa?" Raid buat-buat bertanya.
Disambut oleh senyum jail Noah. "Bukalah e-mel kau."
Sedikit panasaran, Raid segera mengeluarkan telefon bimbit dari saku jas. Kotak e-mel dibuka dengan perasaan debar.
"Itu gambar terkini dia."
Raid terpegun menatap beberapa keping gambar dalam e-melnya itu. Seorang gadis bertudung bawal. Matanya besar dengan bulu mata lentik. Bibir mungil. Gigi siungnya terserlah bila dia ketawa. Air mukanya tidak banyak berubah, masih sama comel seperti yang ada dalam ingatan Raid. Tapi entah mengapa, bila menatap gambar versi dewasa, Raid merasakan getaran aneh dalam dadanya.
"Dia makin cantik, kan?" Noah sengaja memancing reaksi Raid yang terdiam lama.
"Kenapa kalau dia cantik?" Raid menjeling.
"Tak nak pergi jumpa dia depan-depan?" Noah mengenen.
"Belum masanya!" sahut Raid tegas lalu memasukkan semula telefon bimbit ke dalam saku jas.
"Kau nak tunggu sampai bila?"
"Sampai mental aku sedia!" balas Raid dan terus membuang pandang ke luar.
SEJAK tiba di emper, penginapannya yang dibina di atas bumbung hotel, Raid tidak senang duduk. Katanya kepada Noah, dia mahu tidur, tapi dia langsung tidak dapat memicingkan mata.
Telefon bimbit diraih, membuka kembali kotak e-melnya. Wajah gadis dalam gambar itu ditatap. Makin direnung, makin kuat pula debaran dalam hatinya. Raid menghela nafas panjang lalu melempar semula telefon bimbit ke atas katil.
Berkali-kali dia mengusap muka, mendekati dinding kaca, membuang pandang ke luar. Hamparan pemandangan kota di bawah sana langsung tidak menarik perhatiannya.
Otak Raid ligat memikirkan dia. Dua tahun setengah dia berada di Sabah, belajar di UiTM Kota Kinabalu. Sekarang dia sudah kembali.
Bila nak jumpa dia?
Hati Raid tertanya sendiri. Kalau ikutkan mental, sampai bila-bila pun dia tidak bersedia. Takut memikirkan kemungkinan gadis itu tidak akan memaafkannya seumur hidup.
Tapi kalau tak jumpa, rasa bersalah akan terus menghantui sepanjang hidup aku...
Bạn đang đọc truyện trên: WatTruyen.Top