WatTruyen.Top

Liefde

Bab 4

karyaseni2u

Kota Damansara

"SEMUA okey ke?" Mama melontarkan persoalan pertamanya. Maklumlah, melepaskan seorang anak ke negara asing bukan sesuatu yang mudah.

"Alhamdulillah."

"Ingat pesan mama. WhatsApp foto bunga freesia banyak-banyak."

Afnan hanya tertawa kecil. Mama dengan bunga bagaikan irama dengan lagu yang tidak mungkin dapat dipisahkan. Freesia hanya akan menguntum pada penghujung November. Waktu itu kalau ikut jadual, Afnan sudah berada di Frankfurt.

"Oh, satu lagi..."

"Ya, mama."

"Dah call Pak Rendra?"

Afnan terus menjawab bahawa dia akan telefon lelaki itu sebentar lagi.

"Jangan lupa kirim salam pada Pak Rendra, ya?"

Rendra Mulyanto Budiwa. Satu nama yang sudah terukir di minda Afnan semenjak dulu. Sebuah sejarah yang tidak mungkin akan terpadam selagi hayat dikandung badan. Dan dia mengembara sejauh ini bagaikan serampang dua mata.

Pertama, untuk bertemu Pak Rendra. Kedua, untuk melunaskan keinginannya melancong. Di Amsterdam waktu itu pukul 8.00 pagi. Manakala di Kuala Lumpur pula 2.00 petang.

"Abah tak balik lunch hari ni. Mama pun tak tahu lagi nak makan apa."

"Jangan tak makan, nanti gastrik ..."

Mama cuma tertawa mendengar usikan anak lelakinya itu. Satu-satunya zuriat bersama Wan Ahmad, suami pertamanya.

Ketika Afnan berusia lima tahun, mereka sekeluarga telah pergi bercuti ke Singapura. Percutian yang menggembirakan berakhir dengan tragedi.

Di sebuah persimpangan berlampu isyarat, sebuah lori yang terbabas telah melanggar kereta yang dipandu oleh Wan Ahmad. Takdir Allah SWT tiada sesiapa yang mampu menjangkakan. Berikutan kecederaan yang parah, ayah Afnan bersemadi di alam abadi.

Manakala Afnan dan mama menerima rawatan di Mount Elizabeth Hospital. Wanita itu patah tangan kanan. Sementara Afnan cedera di kepala dan koma selama enam hari.

"Don't worry pasal mama. Abah ada, kan?" ujar wanita itu. "Jangan lupa WhatsApp selalu, tau?"

Kedua-dua beranak itu berbual lagi hal-hal Miela dan Ziela. Inilah kali pertama Afnan berjauhan dan jangka masa yang lama dengan keluarga tersayang. Pastilah mamanya agak risau.

"Eh, kejap. Ada orang di pintu pagar..."

Perbualan mama bersama Afnan terputus seketika. Sebentar kemudian, Afnan terdengar suara Viviana, bertanya khabar mamanya.

"Vivi bawa nasi dagang untuk mama, Nan," cerita mama dengan girang. "Qaisarah pun ada sekali ni."

Mama memang kenal mereka sebab dulu di universiti, dia adalah mentor mereka. Seorang pensyarah akan mempunyai beberapa puluh orang pelajar mentee yang tidak semestinya mereka ajar.

"Vivi, Qai... Ni, saya tengah cakap dengan Afnan," terang mama.

"Puan, kirim salam pada dia..." pesan Viviana. Suaranya cukup kuat untuk didengari oleh anak muda itu.

"Hantar gambar banyak-banyak." Qaisarah pula menyampuk.

Mama tergelak kecil. Terhibur dia dengan gelagat dua orang gadis itu. Viviana seorang akauntan. Manakala Qaisarah mengambil jurusan Islamic Banking. Sahabat sejati. Dua-dua masih single and available.

"Untung jadi Wan Afnan Wazif," seru Viviana.

Dia di antara rakan seofis yang cukup cemburu apabila Afnan telah mendapat bonus paling banyak. Sakanlah dia berbelanja sepanjang percutiannya di Eropah. Dah rezeki.

"Hah, dengar tu, Nan?" Mama bertanya.

"Dia jealous," balas lelaki itu.

"Acah-acah jealouslah, puan." Pantas Viviana membalas.

Risau juga Viviana kalau disalah anggap oleh wanita yang melahirkan arkitek tampan itu. Kena bersopan santun dan berhemah sentiasa.

"Puan, buatlah video call, kita nak tengok Amsterdam juga," pinta Viviana.

"Eh, jangan. I ni baru check-in." Suara cemas Afnan menggeletek hati mereka.

"Kamu bertuala aje agaknya," usik mama.

"Hei, you girls kena pergi Putrajaya, kan?" Sempat lagi lelaki itu bertanya.

"Dah beribu batu jauhnya, masih tak lupa nak ingatkan kami?" soal Viviana dalam nada bergurau. "Okey, Encik Afnan. Have a superb time there."

Seluruh ofis macam ribut apabila mendapat tahu bahawa dia akan bercuti lama. Ah, anak muda itu memang popular. Dia seorang arkitek yang berdedikasi. Sanggup bekerja sehingga larut malam untuk menyiapkan projek-projek klien.

"Jaga diri di tempat orang, Nan," pesan mama. "Eh, Vivi dengan Qai nak pesan apa?"

Kedua-dua gadis saling berpandangan. Macam happy sangat diberi peluang oleh Puan Faezah.

"Jangan main mata dengan gadis-gadis sana," usik Viviana.

"Jangan senang percayakan orang," sampuk Qaisarah pula.

"Terima kasih. Mama, nanti Nan call lagi."

Bạn đang đọc truyện trên: WatTruyen.Top