Bab 2
Abu Dhabi to Amsterdam
AFNAN sengaja lewat masuk ke perut pesawat. Pertama, kerusinya bernombor 11C. Bermakna dia duduk di laluan tengah. Kalau masuk awal, kenalah berdiri bila ada penumpang di tepi tingkap atau di tengah hendak duduk.
Ada tujuh jam lagi sebelum mendarat di Schipol International Airport. Afnan membuat nota mental untuk membaca buku dan majalah; menonton dokumentari dan filem; makan dan tidur.
Argh, semestinya mungkin, mengambil foto di dalam pesawat! Subhanallah. Ada sesuatu tentang warna horizon ketika matahari terbit atau terbenam tatkala kapal terbang berada 35,000 kaki dari paras bumi.
'Ada 5,196 kilometer sebelum aku menjejakkan kaki ke Netherlands atau Negara Belanda,' bisik Afnan dengan rasa penuh kesyukuran.
Dia sudah mengimpikan pengembaraan ini semenjak menggenggam Ijazah Sarjana Muda Seni Bina. Seni bina bangunan di serata Eropah sudah lama menggamit minatnya. Ada sebab kenapa destinasi pertama pilihannya adalah Netherlands. Pertama kerana...
"Wan Afnan Wazif bin Wan Ahmad."
Anak muda itu tersentak tatkala terdengar suara seorang wanita menyeru namanya. Dan wanita dalam lingkungan lewat 50-an itulah yang duduk di kerusi 11B di sebelahnya.
"Anak Faezah, isteri Dr. Zain, kan?" soal wanita itu pula. Matanya sedikit terbeliak.
Afnan angguk sambil mengenakan tali pinggang keselamatan.
"Dan puan...?"
Wanita itu tergelak kecil. "Cikgu Suria. Ni Cikgu Zabedah. Panggil cikgu, dah." Cikgu Suria memperkenalkan rakannya yang duduk di tepi tingkap. Cikgu Zabedah nampaknya asyik betul berswafoto.
"What a small world," ujar Cikgu Suria dengan senyuman lebar. "Cikgu ajar Bahasa Inggeris tingkatan empat dan lima tapi tak masuk kelas kamu. Cikgu ingat lagi... Kamu wakil sekolah main basketball. And the girls were crazy about you."
Anak muda itu tersenyum kecil. Weh, dia sebetulnya rasa sangat malu. Tu sejarah lama kut. Mujurlah ketika itu, pramugara membuat pengumuman meminta semua penumpang memberi tumpuan ke hadapan.
Tatkala pesawat sedia untuk berlepas, Afnan sempat menoleh ke sisi. Mata Cikgu Suria terpejam. Di sebelahnya, Cikgu Zabedah sibuk menghalakan kamera telefon bimbit ke tingkap.
Meskipun di luar cuma diselimuti kegelapan malam dan gugusan lampu-lampu runway, dia nampak teruja. Sebentar lagi apabila sudah di udara, pastilah akan kelihatan lampu-lampu yang bergemerlapan di kota Abu Dhabi.
Afnan menyalakan lampu di atas kepala. Dia membuka novel. Barangkali Cikgu Suria takkan mengganggu lagi dengan cerita zaman persekolahan.
Kisah yang lebih banyak pahit daripada manis. Kisah menerima puluhan surat layang daripada entah siapa yang ingin berkenalan.
Itu tidak termasuk betapa malunya menerima berjambak-jambak bunga semasa 'Flower Day' dan berbakul-bakul coklat semasa 'Chocolate Day'. Sudahnya yang happy makan coklat tak lain tak bukan, Miela dan Ziela.
"Afnan, are you married?"
Afnan terkedu bila tiba-tiba Cikgu Suria menyoal siasat secara terang-terangan. 'Tipikal wanita sebayanya,' getus Afnan dalam hati. Kalau tak dilayan, macam tak patut pula.
Afnan tidak dapat meneruskan bicara kerana pramugari sudah tiba untuk bertanyakan pilihan sajian, sama ada ikan atau ayam.
Selepas mereka makan, guru itu sibuk pula memandang skrin di hadapan Afnan. Lelaki itu sedang meneliti arah perjalanan dan ketinggian pesawat. Selain itu ada catatan suhu di luar dan cuaca di destinasi mereka.
Afnan sedar dia masih belum menjawab pertanyaan guru itu tadi. Yalah, pasal dah kahwin atau belum. Soalan yang amat sensitif untuk sesetengah orang yang belum ada pasangan.
"Cikgu rasa, kamu bujang lagi. Sebabnya, Faezah mesti jemput geng alumni kalau dia buat kenduri. Betul tak?"
Afnan cuma tersenyum kecil. Kemudian dia skrol skrin mencari laman berita. Paling penting bila travel, kena prihatin tentang apa yang sedang terjadi di seluruh dunia terutama di negara yang sedang ditujui.
Ya Allah, rahmatilah pemusafiran kami untuk melihat dunia ciptaan-Mu, doa Afnan.
Schipol International Airport
AFNAN meraba-raba di dalam kegelapan. Matanya dikerdip berulang kali. Seingatnya baru sebentar tadi dia terlelap ketika novel Stephen King itu masih di tangan.
"Nan... Nan!"
Suara itu bergema kuat. Afnan terpempan apabila bunyi kuat seperti guruh berdentum, diselangi bunyi haiwan liar bersahutan dari kejauhan.
Samar-samar di hadapan ada pergerakan dan cahaya silau memanah matanya. Afnan mengetap bibir apabila menyedari sepasang mata kuning keemasan itu memandangnya dengan tajam. Pelipisnya sudah basah dengan titisan peluh.
"Afnan!"
Lelaki itu membuka mata. Ya Allah! Pandangan mata Cikgu Suria dengan kerutan di dahi menyambutnya.
"Hah, bangun pun kamu. Kita dah sampai ni," sahutnya.
Afnan beristighfar perlahan-lahan. Mimpi yang sungguh real! Hatinya mendesis seraya mengusap wajahnya yang terasa begitu sejuk. Dia menggeleng kepala seraya bangun.
"Kamu jaga diri travel seorang tu, tau?" Cikgu Suria mengingatkan anak muda itu.
"Insya-Allah. Cikgu juga."
Suasana di dalam pesawat semakin gamat. Ah, barangkali mereka tidak sabar lagi hendak menjejakkan kaki ke negara yang juga dikenali sebagai 'Negara Kincir Angin'. Land Below The Sea. Negara yang unik di mana 26 peratus kawasannya berada di bawah paras laut.
"Jangan lupa call kalau dah balik KL," pesan guru itu lagi seraya tersenyum lebar.
"Insya-Allah, cikgu."
"Your phone number?"
Eh, takkan tak bagi, kan? Dia kenal mama dengan abah. Nanti dikatakan sombong pula. Anak muda itu terus menghulurkan kad nama.
"Eh, you arkitek? Nanti bolehlah cikgu minta tolong kalau nak renovate rumah."
Memanglah Afnan terhibur juga dapat mengenali guru sekolahnya. Sekadar itu sahaja. Dia yakin wanita itu akan melupakannya sebentar lagi.
Penumpang yang sejak tadi berdiri di lorong tengah mulai berengsot sedikit demi sedikit ke arah pintu. Ruang pesawat kian lengang.
"Nanti cikgu call, ya. Boleh datang rumah kenal-kenal dengan anak bongsu cikgu, baru grad, masih single lagi."
Alamak, apakah agenda Cikgu Suria? Nak kenenkan aku dengan anaknya? Baru grad? Budak hingusan lagi. 'Hesy, mungkin grad masters, apalah kau ni, Afnan.' Dia mengutuk dirinya sendiri.
Afnan cuma melemparkan senyuman kecil dengan harapan Cikgu Suria akan melupakan pelawaannya tadi. Minta-mintalah kad nama aku terjatuh di mana-mana, cetusan idea dari fikiran nakal Afnan. Malasnya kalau jumpa sesiapa yang nak kenenkan dengan si polan dan si polan. Hadoi, semak perut!
Bạn đang đọc truyện trên: WatTruyen.Top