WatTruyen.Top

CAGARAN CINTA

Bab 13

karyaseni2u

SUFI terbaring lesu di dalam rumah kontenanya. Tubuhnya terasa menggigil akibat direndam di dalam air sungai yang sejuk. Sufi terbatuk kecil. Sakit dan pedih itu masih lagi terasa namun dia masih lagi kuat. Kuat dalam mempertahankan dirinya.

Tika ini dia terbayangkan Hamsyari. Kerana lelaki itu dia berada di sini. Kerana kasihnya kepada seorang adik, dia berada di sini. Adakah ini ujian atau takdir yang Allah sediakan untuknya? Sufi tiada jawapan. Dia memejamkan mata. Kenangan ketika bersama Hamsyari terlayar ke ruang fikiran.

"Ramainya orang hari ni. Tak menang tangan Sufi nak masak," ujar Sufi sambil menyeka peluh yang merembes di dahi.

Walaupun bekerja sebagai pembantu tukang masak tetapi pada saat pelanggan ramai, dia terpaksa menolong Abang Mie untuk memasak.

"Biasalah Sufi, hari ni kan hari gaji. Orang pun makan besarlah," jawab Abang Mie sambil anak matanya masih fokus pada Nasi Goreng USA yang berada di dalam kuali.

"Alhamdulillah, Abang Mie. Rezeki Abang Mie," ucap Sufi bersama senyuman. Dia meneruskan kerjanya. Minyak yang digunakan untuk menggoreng ayam diangkat lalu diletakkan di dalam periuk kecil.

"Sufi, nasi goreng ayam satu. Ni oder yang last setakat ni," pinta Hamsyari yang muncul dari ruang hadapan.

Sufi mendongak seketika sebelum dia menganggukkan kepala.

"Baik. Bagi saya lima saat, saya nak simpan minyak panas ni kat sana dulu," ujar Sufi sambil menunjukkan ke arah kabinet yang tidak jauh daripada mereka.

Hamsyari hanya mengangguk dan tersenyum. Dia hanya melihat langkah Sufi sebelum anak matanya jatuh pada lantai. Ada tompokan minyak yang melekat di lantai tersebut dan tompokan minyak itu betul-betul berada di laluan Sufi. Saat ini, kaki Sufi semakin menghampiri tompokan minyak tersebut.

"Sufi!" panggil Hamsyari lalu berlari-lari anak bagi mendapatkan gadis itu. Lengan Sufi ditarik sebelum kaki Sufi memijak tompokan minyak tersebut.

Disebabkan tindakannya yang spontan, lengan Hamsyari terkena periuk yang berisi minyak panas. Minyak panas itu terpercik dan terkena pada lengannya yang terdedah.

"Aduh!" jerit Hamsyari sambil menekup lengannya.

"Allah!" Giliran Sufi pula yang terkejut. Terbuntang matanya melihat Hamsyari yang mengaduh kesakitan. Nasib baik minyak yang terpercik itu tidak sebanyak mana.

"Maaf, Am. Awak tak apa-apa?" soal Sufi sambil mendapatkan Hamsyari setelah periuk yang berisi minyak panas itu diletakkan di atas singki yang berhampiran.

"Saya okey. Sakit sikit aje ni. Awak tak apa-apa ke? Tadi saya nampak awak macam nak terpijak minyak kat lantai tu. Sebab tu saya cuba halang. Kalau awak jatuh lagi teruk," ujar Hamsyari dengan riak wajah yang berkerut menahan rasa pedih di lengannya. Dia cuba untuk tersenyum.

Sufi terharu. Tersentuh hatinya dengan keprihatinan Hamsyari.

"Terima kasih, Am. Saya tak sangka jadi macam ni. Saya tak perasan pun ada minyak kat lantai," ucap Sufi dengan mata yang berkaca.

"Kau ni Am, lain kali jangan buat macam ni lagi. Boleh gugur jantung abang ni, tahu tak? Kau cakap tangan kau tak teruk, tengok dah melecur lengan kau tu. Ambil duit ni pergi klinik. Sufi, tolong temankan Am pergi klinik sebelah tu," arah Abang Mie lantas menghulurkan sekeping not lima puluh kepada Sufi.

Hamsyari tersengih. Dia menggelengkan kepala.

"Am okeylah, Abang Mie. Melecur sikit aje ni. Tak payahlah susah-susah pergi klinik. Nanti Abang Mie potong gaji saya pula sebab curi tulang," ujar Hamsyari dengan nada bergurau.

"Tak ada maknanya abang nak potong gaji kau. Dah, kau berdua pergi sekarang. Sementara pelanggan tak ramai ni," arah Abang Mie tegas.

"Betul tu, Am. Jomlah saya temankan awak pergi klinik. Nanti melarat pula," ujar Sufi sambil memandang wajah Hamsyari yang keberatan.

"Kalau awak dah cakap macam tu, saya ikut ajelah," balas Hamsyari sambil tersengih. Sufi hanya menggelengkan kepala lantas tersenyum manis.

Sufi tersedar apabila dia merasakan ada air mata yang menitis di lengannya. Kenangan lama lenyap daripada fikiran. Sufi meraup wajahnya yang lesu.

"Maafkan saya, Am. Saya tak sangka semuanya akan jadi seperti ini. Awak kehilangan diri awak disebabkan cinta, tapi saya terpaksa hadapi abang awak disebabkan kasih saya pada adik saya sendiri. Kenapa semua ni terjadi, Am? Adakah ini balasan untuk saya?" ucap Sufi sendirian. Dia menggenggam jari-jemarinya sendiri. Cuba mencari secebis kekuatan yang masih bersisa.

TOK-TOK! Bunyi ketukan di pintu bersama salam yang dihulurkan mengejutkan Sufi yang sedang melayan perasaan. Dengan pantas, dia bingkas bangun. Anak matanya melingas memandang ke kiri dan ke kanan. Siapa agaknya? Takkan Hail datang ke sini untuk menyeksanya lagi? detik hati Sufi dengan dada yang berdebar-debar.

"Assalamualaikum!" Bunyi suara halus itu membuatkan dahi Sufi berkerut. Takkan suara Hail atau Baim lembut begitu? Lantas, Sufi bingkas bangun dan menghampiri pintu.

"Bunyi macam suara perempuan," desisnya. Dengan laju Sufi membuka pintu.

Ternyata telahannya benar. Seorang wanita berbaju kurung sedang berdiri di hadapan pintu rumah kontenanya. Wajah yang sangat asing di mata Sufi. Terkebil-kebil dia membalas pandangan wanita itu.

"Waalaikumussalam," jawab Sufi.

"Ni Sufi, kan?" soal wanita tadi ramah dengan senyuman.

Sufi hanya menganggukkan kepala dengan dahi yang berkerut.

"Nama akak, Syahida. Sufi boleh panggil Kak Ida aje. Akak ni isteri Baim. Dia minta akak hantarkan baju untuk Sufi. Katanya Sufi jatuh dalam sungai tadi, kan? Ini ada ubat dan makanan sikit. Ambillah," ujar Syahida lantas menghulurkan beg plastik berisi baju dan ubat serta makanan kepada Sufi.

Sufi melepaskan nafas kecil. Dia terduduk di muka pintu.

"Akak kerja dekat ladang ni juga?" soal Sufi ingin tahu.

"Akak kerja dekat rumah Tuan Hail," jawab Syahida sambil memerhatikan figura Sufi yang kelihatan pucat.

"Akak tengok Sufi ni pucat aje. Tak sihat ke?" soalnya lagi.

Sufi hanya menggelengkan kepala.

"Saya sihat aje, kak. Jemputlah masuk," ajak Sufi dengan senyuman nipis tersungging di bibir.

"Eh, tak mengapalah, Sufi. Akak tak boleh lama-lama, Abang Baim dah pesan lepas hantar barang-barang ni kat Sufi, akak kena balik. Nanti tahu dek Tuan Hail mengamuk pula dia," jawab Syahida dengan riak yang resah tergambar di wajahnya.

Sufi menundukkan wajah. Dia tahu pasti Syahida turut menganggap dia jahat seperti Baim dan Hail. Tapi bagaimana lagi ingin dia jelaskan sedangkan tiada sesiapa yang sudi untuk mendengar penjelasannya?

"Tentu Encik Baim dah ceritakan pada akak siapa saya yang sebenarnya, kan? Sebab saya berada di sini. Menjadi tawanan Tuan Hail. Tentu akak pun anggap saya ni jahat sama seperti Encik Baim dan Tuan Hail, kan?" Sufi cuba memberanikan diri untuk bersuara.

Syahida kelihatan gelisah. Sejujurnya sewaktu Baim mengatakan bahawa Hail berjaya membawa wanita yang menghancurkan hidup Hamsyari, dia merasakan perbuatan itu adalah paling tepat. Biar gadis itu merasakan apa yang Hamsyari rasakan. Namun, sebaik saja dia terpandang wajah gadis yang berada di hadapannya sekarang ini, dia bagaikan tidak percaya. Takkan gadis selembut ini sanggup menghancurkan sekeping hati milik Hamsyari sehingga memaksa lelaki itu menamatkan hidupnya sendiri?

"Akak tak pernah masuk campur dalam urusan Tuan Hail. Akak cuma ikut arahan dia sebagai majikan akak," jawab Syahida tegas. Wajahnya bertukar serius.

Sufi mengeluh. Kenapalah orang-orang di sini begitu taat pada Hail? Bagus sangat ke lelaki yang panas baran macam tu? benak hatinya tertanya-tanya.

"Akak tolong lepaskan saya boleh? Saya dah tak tahan hidup dalam penjara ciptaan tuan akak tu. Saya tak bersalah. Banyak kali saya cuba terangkan pada dia, tapi dia tak nak dengar." Suara Sufi kedengaran merayu. Dadanya sebak mengenangkan seksaan yang terpaksa dia hadapi kelak.

"Tuan Hail takkan buat sesuatu perkara tanpa bersebab. Dia seorang yang adil."

"Adil? Tak, dia tak pernah adil pada saya!" bantah Sufi.

"Mungkin sebab awak yang cari masalah. Apa pun masalah awak dengan Tuan Hail, selesaikan cara baik. Tuan Hail bukan seperti yang awak sangka. Dia seorang lelaki yang baik. Kalau awak tak bersalah, awak kena buktikan. Akak balik dulu," ujar Syahida mematikan perbualan mereka.

Sufi tidak berpuas hati. Dia kecewa lagi. Ternyata pengaruh Hail begitu kuat di tempatnya. Jika dia mengatakan bahawa lelaki itu memaksa dia untuk bekerja di sini pasti tiada sesiapa yang percaya. Silap-silap dia yang dibelasah.

"Tapi akak, akak kena tolong saya. Lepaskan saya dari sini..." Suara Sufi kuat apabila langkah Syahida semakin menjauh.

Syahida menghentikan langkah. Kata-kata Sufi dibiarkan sepi. Dia menoleh sedikit ke belakang.

"Pukul lapan Tuan Hail tunggu awak dekat rumah. Jangan lambat walaupun satu saat," ucap Syahida lalu menyambung langkah meninggalkan Sufi yang terpinga-pinga.

"Kenapa dia tunggu saya? Dia nak bawa saya ke mana?"

"KAU dah beri ubat pada perempuan tu?" soal Hail sambil menyandarkan belakang badannya di kereta. Baim yang berdiri di hadapannya dipandang sekilas sebelum anak matanya mengerling jam yang melingkar di tangan. Lima minit lagi pukul lapan dan dia masih lagi menanti Sufi.

"Dah, tuan. Saya minta Ida yang berikan pada Sufi sekali dengan pakaian," jawab Baim.

Hail hanya menganggukkan kepala.

"Baguslah, aku tak nak dia mati sebelum Am sembuh. Aku bawa dia ke sini pun sebab aku nak dia jaga Am sampai Am sihat sepenuhnya. Lepas Am sembuh, aku nak dia kahwin dengan Am. Aku tak pernah tengok Am jadi macam tu. Dia bukan seperti Am yang kita kenal sebelum ni. Sekarang dia asyik termenung. Bercakap pun tak nak. Aku tak tahu nak buat apa lagi," keluh Hail sambil menggelengkan kepalanya.

"Saya pun tak pernah terfikir semua ini akan jadi, tuan. Tuan Am tu ceria orangnya. Bila dia balik kampung, mesti mulut dia akan becok bercerita itu dan ini. Saya betul-betul rindu Tuan Am yang dulu. Tuan tak rasa kita memaksa Sufi ke? Dia dah tinggalkan Am. Kalau kita biarkan dia kahwin dengan Am, mungkin dia akan sakitkan hati Am lepas mereka kahwin. Am lebih terseksa. Mungkin dia akan balas dendam pada Tuan Am pula," ujar Baim cuba mengajak Hail berfikir secara logik.

Hail mengeluh kecil. Wajahnya diraup. Kepalanya cukup berserabut memikirkan perihal Hamsyari dan Sufi. Dia tahu hati adiknya terluka dan satu-satunya ubat adalah dengan menyatukan Hamsyari dengan cinta hatinya. Saat ini Hamsyari hanya mahukan Sufi. Jadi, tidak dapat tidak Sufi harus berkahwin dengan Hamsyari.

"Aku pun tak pasti, Baim. Sekarang ni aku cuma mahukan Am kembali seperti dulu. Aku nak dia sihat. Selagi dia tak sihat sepenuhnya, selagi itulah perempuan tu kena tanggung akibatnya. Kau tu kena ingat sikit, jangan baik sangat dengan perempuan tu. Perempuan macam tu banyak muslihat," balas Hail.

"Baik, tuan. Tapi saya tengok dia tu macam perempuan..."

"Assalamualaikum..." Kedengaran suara lembut memberi salam menghentikan perbualan antara Baim dan Hail. Mereka mendongak.

Kelihatan Sufi sedang melangkah ke arah mereka dengan memakai baju kurung berwarna biru laut dan bertudung putih. Wajah gadis itu tampak segar. Tidak seperti petang tadi. Wajah yang tadinya pucat kini kelihatan lebih bermaya.

"Waalaikumussalam," jawab Baim dan Hail serentak. Dengan pantas, Hail mengalihkan pandangan ke tempat lain. Enggan memandang wajah Sufi.

"Dah pukul berapa ni? Kau ingat kau tu anak raja sampaikan aku nak kena tunggu kau," omel Hail.

"Maaf, saya tak tahu pukul berapa. Saya tak ada jam," jawab Sufi lantas menundukkan kepala.

Hail dan Baim berpandangan. Dia terdiam. Silapnya juga kerana tidak menyediakan jam untuk Sufi.

"Tak payah nak bagi alasanlah. Muak aku dengar. Masuk dalam kereta sekarang!" arah Hail tanpa mengulas panjang.

"Kita nak pergi mana ni?" soal Sufi mulai cuak.

"Pergi hospital..." jawab Baim pendek.

"Hospital? Buat apa pergi hospital?" soal Sufi dengan mata yang membulat. Dia memandang Hail dan Baim silih berganti.

"Haah, memang aku nak bawa kau ke hospital pun. Memandangkan diri kau tu tak ada nilai, jadi organ-organ kau tu aku nak jual dekat hospital. Bolehlah aku bayar rawatan Am dengan duit tu," balas Hail sekadar menggertak.

Mata Sufi terbuntang. Dia nak jual organ aku? Oh, tidak! Aku nak hidup lagi. Apa aku nak buat ni? soal hati Sufi. Mulai resah.

"Mana boleh! Tuan tak boleh jual organ saya sembarangan. Saya tak nak ikut tuan! Saya tak nak!" jerit Sufi tiba-tiba. Dia cuba mengintai peluang untuk melarikan diri.

Hail bertukar pandangan dengan Baim. Jelas pembantunya itu menahan tawa melihat tingkah Sufi yang kelam-kabut.

"Dalam kontrak kau dah setuju untuk ikut semua perintah aku. Kali ini kau tak boleh larikan diri," jawab Hail masih ingin mengusik.

Sufi menggelengkan kepalanya dengan pantas. Tidak dapat dibayangkan bagaimana perutnya dibedah, buah pinggangnya dikeluarkan dan jantungnya dibelah. Ngeri! Sufi mula menggigil.

"Jangan! Saya tak nak! Saya janji saya ikut cakap tuan. Kalau tuan nak saya cangkul seratus batas sekalipun saya sanggup tapi jangan ambil organ saya. Saya tak kahwin lagi. Saya tak ada keturunan lagi ni!" ucap Sufi kelam-kabut. Dahinya sudah berpeluh.

Baim menekup mulut menahan ketawa. Riak Sufi yang kerisauan menggeletek hatinya. Sekilas dia memandang ke arah Hail. Kelihatan lelaki itu cuba menyembunyikan senyum dengan telatah Sufi.

"Betul kau akan ikut cakap aku?" soal Hail dengan suara yang serius.

Sufi mengangguk laju. Dia mengangkat telapak tangannya seolah-olah berikrar.

"Bagus! Masuk dalam kereta sekarang," arah Hail lantas dia menolak tubuh Sufi supaya memasuki kereta.

Sufi tercengang. Dia menepis tangan Hail tetapi lelaki itu terlebih dahulu menolak tubuhnya sehingga dia terdorong ke dalam kereta. Dia ingin keluar tetapi Hail dengan pantas mencengkam lengannya yang beralas baju.

"Kita nak ke mana ni? Janganlah buat saya risau. Saya nak balik. Saya tak nak ikut," rayu Sufi apabila tiada jawapan yang pasti daripada Hail mahu pun Baim.

"Boleh tak kau duduk diam? Nasib kau baik aku tak jual kau. Kau nak aku tampar muka kau dulu baru kau nak diam?" soal Hail garang. Berhadapan dengan Sufi memang akan mencabar kesabarannya. Entah di mana silapnya, semua yang berkaitan dengan Sufi amat menyakitkan hatinya.

"Saya takkan diam selagi tuan tak cakap tuan nak bawa saya ke mana. Saya berhak untuk tahu sekurang-kurangnya kalau tuan nak buat benda tak baik pada saya, saya boleh terjun daripada kereta ni," balas Sufi tidak mahu mengalah.

"Hesy... Kau ni kan memang suka sangat melawan. Sekali aku..." Hail mengangkat tangan seakan-akan ingin menampar wajah Sufi.

"Kita nak pergi jemput Tuan Am dekat hospital, Sufi. Tuan Am dah boleh discharged." Baim mencelah apabila dirasakan suasana di antara Hail dan Sufi semakin hangat. Dia tidak mahu Hail mengulangi perbuatannya seperti di sungai petang tadi.

Perbuatan Hail terhenti. Begitu juga Sufi. Dia terdiam apabila nama Hamsyari disebut.

"Am dah boleh discharged? Macam mana dia boleh berada di hospital dekat sini? Dia dah sihat ke?" soalnya ingin tahu.

"Tuan Hail dah pindahkan Tuan Am dekat hospital berdekatan. Dia belum sembuh sepenuhnya tapi doktor dah benarkan dia balik. Mungkin bila dia berada di rumah, fikiran dia lebih tenang," terang Baim. Sufi hanya menganggukkan kepala tanda faham.

Lantas, anak matanya memandang tangan sasa milik Hail yang masih melekat di lengannya. Sufi mendengus geram. Suka-suka hati dia aje pegang tangan aku. Nasib baik berlapik, dengus hati Sufi.

"Tuan, saya takkan terjun daripada kereta ni. Saya tahu hargai nyawa saya sendiri, jadi tolong lepaskan tangan saya ni. Tangan saya ni haram untuk tuan," ujar Sufi sambil menjeling benci. Dia menarik tangannya dengan kuat. Pegangan terurai.

Hail tersentak. Menyedari kesilapannya lalu dia mencebik.

"Aku pun tak ingin pegang tangan kau!" balas Hail lantas memalingkan wajahnya ke luar tingkap.

Bạn đang đọc truyện trên: WatTruyen.Top