WatTruyen.Top

BUNGA API

Bab 5

karyaseni2u

Matahari belum terik lagi tetapi kerja-kerja untuk pagi itu sudah pun siap. Najmi duduk melihat ayam-ayamnya makan. Dia mencari-cari kelibat Cik Pah.

"Weh, kau buat apa terhendap-hendap macam musang tu?" Munir datang menghampiri sambil membawa beberapa botol berisi air.

"Aku cari Cik Pah."

Munir pula memerhati ke dalam reban. Pandangannya sudah dalam mod mata helang.

"Haaa, tu dia. Dekat bahagian dalam tu."

Najmi menghampiri Munir dan melihat tempat yang ditunjukkan Munir. Cik Pah dilihatnya sedang duduk memerhatikan mereka dengan pandangan yang garang.

"Kenapa Cik Pah tak makan?"

"Dia dah bertelur kut."

Mereka berdua sama-sama tergelak. Memikirkan kemungkinan itu seolah-olah mereka mendapat berita gembira yang ada seorang wanita sedang hamil.

Cik Pah itu antara ayam betina yang mula-mula menghuni reban ayam tersebut. Sudah banyak kali Cik Pah menetaskan anak ayam. Kiranya, dialah yang paling senior di situ. Banyak ayam lain yang hormatkan dia.

Najmi dan Munir memulakan projek penternakan ayam kampung secara kecil-kecilan sejak setahun yang lalu di atas sebidang tanah yang disewa daripada Haji Jais. Mereka memilih untuk membuat reban terbuka yang dindingnya menggunakan dawai punai. Buat masa ini, reban itu dapat menempatkan sebanyak 50 ekor ayam kampung.

Mereka memulakan projek ternakan itu pun setelah Munir meminta nasihat daripada Pak Ayub. Pak Ayub memang dikenali sebagai penternak ayam kampung berjaya di daerah itu. Ladang ternakannya boleh memuatkan hingga 1000 ekor ayam kampung. Permintaan untuk ayam kampung memang tinggi terutamanya ketika musim perayaan. Pasaran ayam kampung bukan sahaja terhad kepada kawasan setempat tetapi juga hingga ke luar daerah.

Setahun yang lalu, apabila dia pulang ke kampung, Najmi mengalami sedikit kejutan. Walaupun dia dilahirkan di kampung itu, tapi sejak bersekolah sehingga akhirnya bekerja, dia sudah lama meninggalkan kampungnya. Pada hari kedua Najmi duduk di kampung, dia mula gelisah dan bimbang tentang masa depannya di kampung tersebut. Tengah hari itu, dia pergi menunaikan solat Jumaat di masjid kampung. Di situlah dia bertemu kembali dengan Munir, satu-satunya kawan baiknya di kampung yang telah lama dia lupakan. Munir dengan wajah polos masih menghargai kepulangannya dengan tangan terbuka. Dan sejak itu, hubungan ukhuwah yang terputus sebelum ini diperkuatkan kembali.

Munir bolehlah dikatakan sebagai kawan yang sama-sama menangis dan sama-sama sedih. Dia banyak bantu Najmi mengenal kembali Allah S.W.T. Kadang-kadang soalan Najmi yang entah apa-apa pun dia usaha juga jawab. Kalau dia sendiri tidak pasti, dia bertanya kepada orang yang arif dan jelaskan kembali pada Najmi.

Najmi memerhatikan Munir yang sedang mengisi air dalam bekas minuman di reban itu. Sambil mengisi air, mulutnya berceloteh seolah-olah ayam-ayam itu semua faham dengan kata-katanya. Selain Cik Pah, banyak lagi ayam yang Munir berikan nama. Cik Ton, Cik Merah, Tuan Juragan pun ada. Entah apa-apa Si Munir ini. Tapi tabiat Munir itu lama-lama lekat pada Najmi. Dia pun turut bersembang dengan ayam-ayam di reban mereka setiap kali mereka datang.

Ayam-ayam itu semuanya hanya tahu bertok-tok saja.

Usai mengisi air, Munir keluar semula dan mengunci reban. Dia melepas lelah di sebelah Najmi sambil mengelap peluh dengan tuala Good Morning yang tersangkut di bahunya.

"Munir, aku nak minta tolong sikit dengan kau ni."

"Tolong apa?" Munir meneguk air masak daripada botol.

"Esok aku nak melawat pak long dekat HKL. Dalam dua tiga hari ni kau tengok-tengoklah ayam-ayam ni."

"Pak long kau masuk hospital ke?"

Najmi angguk.

"Sakit apa?"

Najmi angkat bahu.

"Tapi macam teruk dengarnya."

"Tak apa. Aku okey aje nak jaga seorang. Tak payahlah risau sangat."

Petang semalam setelah berfikir-fikir, dia masih berat hati hendak datang melawat. Pak long bukan suka jumpa dengan dia dan dia pun tidak suka hendak mengadap pak long. Tapi dia tidak sampai hati hendak ingkar permintaan umi itu.

Keluarga sebelah ayah boleh dikatakan semuanya tidak suka dengannya. Atau semua orang pun memang tidak suka dengannya?

Dia hela nafas panjang. Munir di sebelah dikerling sekilas.

"Kau gembira ke kerja dengan aku?" soal Najmi mengisi kekosongan. Sengaja menebak.

Munir memandang Najmi pelik.

"Random betul ni, tiba-tiba tanya macam tu?"

Najmi sengih.

"Tanya aje. Kalau kau rasa tak gembira kerja dengan aku, aku rasa macam apa yang kita buat ni sia-sia aje."

"Eh, kau ni. Ada ke kerja bela ayam ni kau kata sia-sia? Ini rezeki tau. Aku happy dapat besarkan keluarga Cik Pah, Cik Ton, Tuan Juragan dengan Cik Merah ni. Tak kesahlah dengan siapa aku besarkan dia orang ni. Kalau kau tak nak join dengan aku dulu, aku buat dengan Pak Ayub."

"Bukan apa. Aku teringin juga nak tau sama ada kau betul-betul suka kerja dengan aku atau tak. Aku cuma terfikir, kau kan graduan universiti. Banyak peluang lain yang lebih baik berbanding kerja dekat kampung."

"Kau pun graduan juga tapi kau pun duduk sini."

"Aku lain. Aku ada situasi aku sendiri."

Munir lap peluh lagi.

"Ini kan rezeki," katanya.

"Rezeki ni Allah yang bagi. Apa saja yang Allah bagi semuanya anugerah. Tak kesahlah apa yang kau dapat tu buat kau gembira atau sedih. Ada orang suka dengan kerja dia orang, tapi bos pula zalim. Ada orang dapat bos baik tapi kerja tak bagus. Ada orang dapat semua yang dia nak dekat dunia ni, tapi dia tak bahagia. Ada orang pandai belajar tapi dia tak dapat kerja yang baik tapi kawan-kawan dia yang biasa-biasa jadi orang besar-besar. Allah tu Maha Adil. Dia letakkan rezeki dekat tempatnya yang betul. Kita aje yang tak tahu."

"Tapi kalau dapat yang bukan kita minta tu mestilah kita sedih. Kadang-kadang penat dah kita usaha tapi kenapa kita masih tak dapat apa yang kita nak?"

"Apa yang kita dapat, itulah yang terbaik untuk kita. Manusia ni sentiasa akan diuji sepanjang hidupnya. Kita akan terus mempersoalkan takdir selagi kita tak nampak apa hikmah di sebaliknya. Orang kata tepuk dada tanyalah iman. Kalau kau rasa banyak ujian yang kau kena hadap, kau kena ingat banyak nikmat yang kau dah dapat. Macam kau masih boleh bernafas sekarang ini pun adalah nikmat juga. Boleh cakap, boleh dengar, boleh kerja, boleh isi perut, boleh beribadah, duduk dekat negara merdeka..." Munir mengira-ngira dengan jarinya.

"Banyak lagi kalau nak kira ni. Tak terhitung, kan? Banyak sangat Tuhan dah bagi. Jadi, apa hak kau nak mempersoalkan kenapa kau tak dapat apa yang kau nak dekat Tuhan?"

Najmi terdiam.

Ya. Fikirkan dan kiralah lagi, Najmi. Sekarang ini banyak perkara yang kau persoalkan tapi macam yang Munir cakap, berbanding itu, lebih banyak yang kau telah ada. Rasa syukur, entah mana telah kau campakkan? Carilah dan kutiplah semula. Simpan baik-baik di sebelah iman.

Munir sentiasa ada jawapan. Nikmat orang beragama. Segala persoalan hidup di dunia pasti ada jawapannya kecuali perkara ghaib yang ilmunya hanya Allah SWT yang tahu.

"Kau marah ke?" soal Munir.

"Kenapa nak marah?"

"Dah kau diam aje?"

"Aku tengah hadam apa yang kau cakap dekat aku tadi."

Mereka diam lagi.

"Aku nak tanya lagi boleh?"

Munir pandang Najmi, menunggu.

"Sebenarnya aku tak ingat yang kita pernah berkawan semasa kita kecil dulu tapi kenapa kau masih buat baik dekat aku?"

"Sebab kau kawan aku."

"Orang lain mesti dah rasa janggal dengan sikap aku."

Munir kerut dahi.

"Macam no point soalan kau tu. Aku dan kau kan kawan. Aku cuma tunaikan hak kau sebagai kawan. Lagipun buat baik dekat sesiapa pun tak rugi. Malah, kita dapat doa dari orang yang kita tolong tu."

"Weh, seriuslah."

"Betullah. Serius aku cakap. Tapi aku nak tambah lagi."

"Apa dia?"

"Sebab budi."

"Budi? Budi apa?" Najmi kerut muka.

Munir senyum penuh rahsia.

Bạn đang đọc truyện trên: WatTruyen.Top