WatTruyen.Top

Bayang

Bab 7

karyaseni2u

TUMPUAN Yusra langsung tidak berganjak daripada memandang ke dada jalan raya. Dia menarik nafas lega apabila akhirnya dia mendapat tugasan baharu. Tugasan yang dirasakan lebih mencabar daripada tugasan sebelum ini. Menjaga seorang artis terkenal. Sungguh, perkara itu tidak pernah terlintas dalam fikiran Yusra.

Walaupun majikan baharunya seorang artis yang terkenal, namun sejujurnya Yusra langsung tidak mengenali lelaki tersebut. Memandangkan jadual kerjanya yang sentiasa padat, ditambah lagi dengan masalah hidupnya, Yusra tiada masa untuk mengenali artis-artis tanah air mahupun untuk berseronok. Nampaknya, aku kena ambil tahu dunia artis lepas ni, bisik hati Yusra.

"Akademik tertinggi yang awak ada cuma SPM. Tengok pada sijil awak ni, keputusan awak cantik. Kenapa tak sambung belajar?" Suara Syadi memecah kesunyian di antara mereka bertiga sekali gus mengembalikan Yusra ke dunia nyata.

Syadi yang berada di tempat duduk belakang mencuri pandang ke arah Yusra yang sedang tenang memandu. Kertas yang tertera maklumat peribadi milik Yusra diteliti dengan penuh minat.

"Ada masalah keluarga, tuan. Jadi, saya terpaksa lupakan hasrat saya untuk sambung belajar," jawab Yusra ringkas.

"Jadi, kenapa awak tak kerja dengan kerja yang bersesuaian dengan awak? Maksud saya, kerja yang bersesuaian dengan perempuan," sampuk Rafi.

Dia cuba mengambil kesempatan untuk mengenali Yusra. Sebenarnya, banyak perkara yang ingin ditanyakan kepada Yusra kerana hingga ke saat ini, pelbagai tanda tanya berlegar-legar di ruang fikirannya tentang Yusra. Dia tidak berpuas hati selagi tidak mengetahui sebab sebenar mengapa Syadi beria-ia inginkan gadis ini sebagai pengawal peribadinya sedangkan masih ramai pengawal peribadi lelaki yang jauh lebih hebat dan kuat berbanding Yusra.

Yusra tenang mendengar soalan yang dilontarkan oleh Rafi. Dia hanya mampu menayang sengih.

"Saya rasa kerja inilah yang paling sesuai dengan saya, encik. Sejak sekolah, saya memang suka kerja yang lasak, lagipun peluang pekerjaan untuk perempuan dalam bidang ni makin mendapat sambutan, jadi tak salah rasanya kalau saya pilih bidang ni sebagai kerjaya," jawab Yusra ringkas dan padat.

Tanpa sedar jawapan yang diberikan Yusra membuahkan senyuman di bibir Syadi. Senyuman sinis.

"Memang sesuai sangatlah," ucap Syadi tiba-tiba. Syadi kaget sendiri. Dia menepuk mulutnya sendiri. Aduh, tersasul pula!

Rafi yang sempat menangkap butir bicara Syadi hanya mampu terpinga-pinga. Laju saja kepalanya dipaling ke belakang. Manakala, Yusra hanya mendiamkan diri.

"Kau cakap apa, Syad?" soal Rafi dengan riak wajah yang pelik.

"Cakap? Cakap apa? Bila aku cakap? Aku tak cakap apa-apa pun," nafi Syadi. Dia mengawal riak wajahnya agar tidak ketara dia berbohong. Dia menggelengkan kepala beberapa kali. Sekadar untuk menutup rasa jangal.

"Aku dengar kau cakap tadi." Rafi tidak mahu mengalah.

"Tak. Aku tak cakap apa-apa pun. Kau salah dengar ni," dalih Syadi lagi masih tetap dengan pendiriannya. Sedangkan saat ini anak matanya meliar ke luar kereta. Seboleh mungkin dia cuba menghindar daripada bertentangan mata dengan Rafi. Dia tidak mahu tertangkap.

Rafi melepaskan nafas pendek. Mengalah. Dia kembali membetulkan duduk. Pandangannya kembali beralih kepada Yusra.

"Awak dah baca kontrak yang saya berikan tadi?" soal Rafi serius.

Yusra mengangguk laju.

"Dah, encik."

"Awak faham tak apa tugas awak sepanjang awak jadi pengawal peribadi Adi Arsyad?" soal Rafi lagi.

Yusra mengangguk dengan penuh keyakinan.

"Menjaga dan melindungi Encik Adi Arsyad daripada segala bahaya yang dijangka atau tidak dijangka. Menjaga segala rahsia Encik Adi daripada diketahui oleh pihak luar terutama pihak media sehinggalah kes ini selesai," jawab Yusra dengan lancar.

Rafi mengulum senyum. Puas hati dengan respons yang diberikan oleh Yusra.

"Bagus. Saya harap awak bersedia setiap masa sebab sehingga sekarang, kami belum tahu siapa suspek utama dalam kes ni. Kalau Adi terus diganggu dan diancam, ia akan mengganggu kelancaran karier dia. Disebabkan kes ni saja, banyak event yang penting terpaksa ditangguhkan," terang Rafi tanpa dipinta.

Yusra mengangguk lagi. Dia tidak menyangka kehidupan seorang artis bukan seindah yang disangka. Menjadi orang yang terkenal bukan satu kejayaan bagi Yusra kerana semakin terkenal seseorang itu, semakin terdedah kepada bahaya, fikir Yusra.

"Saya faham, encik. Memang tugas saya sebagai bodyguard untuk siap siaga setiap saat dan setiap minit. Bukan setakat bersedia dengan segala bahaya, tapi saya perlu bersedia untuk gadaikan nyawa saya untuk lindungi majikan saya," jawab Yusra.

"Kalau apa-apa terjadi kepada saya, awak akan bertanggungjawab sepenuhnya?" soal Syadi dari arah belakang.

Yusra terdiam seketika. Sebaik saja dia ingin membuka mulut, Rafi terlebih dahulu mencelah.

"Takkan ada apa-apa terjadi kepada kau, Syad. Aku akan pastikan tak apa-apa terjadi kepada kau," tegas Rafi. Ayat terakhirnya kedengaran perlahan.

"Insya-Allah, tuan. Itu dah jadi tanggungjawab saya. Ikrar saya sebagai seorang bodyguard," jawab Yusra.

Sekilas, dia memandang cermin pandang belakang dan kelihatan Syadi sedang merenungnya. Sebaik saja Yusra membalas pandangan lelaki itu, sepantas kilat Syadi melarikan pandangan ke tempat lain. Yusra pelik, namun perasaan itu dibiarkan berlalu begitu sahaja.

"Tapi saya pelik, kenapa syarikat awak tetapkan syarat yang semua bodyguard tidak dibenarkan menjalinkan sebarang hubungan peribadi dengan majikan? Maksud saya, semua bodyguard tidak dibenarkan rapat dengan majikan dia sendiri," tambah Rafi lagi. Masih belum selesai menemu ramah Yusra.

Yusra hanya mengukir senyum. Soalan itu merupakan soalan yang paling popular diajukan kepada setiap pengawal peribadi setiap kali bertukar prinsipal.

"Ya, encik. Mungkin untuk mengelakkan daripada bodyguard hilang fokus semasa bertugas. Perkara yang melibatkan nyawa, perlukan tumpuan yang sepenuhnya. Soal peribadi dan kerja tak boleh dicampur adukkan," jawab Yusra.

"Eh, ada syarat macam tu ke? Aku tak perasan pun?" sampuk Syadi. Terkejut.

"Kalau kau perasan pun kenapa? Tak setuju ke dengan syarat-syarat tu?" tempelak Rafi pantas.

Syadi terdiam. Laju saja tangannya menarik cuping telinga Rafi yang duduk di sebelah pemandu. Rafi mengadu kesakitan.

"Sakit... Sakit... Aku gurau ajelah. Sejak bila kau jadi sensitif ni?" soal Rafi tidak berpuas hati. Dia menggosok-gosok telinganya sebaik saja Syadi meleraikan cengkaman. Dia merenung Syadi dengan tajam.

"Bukan aku yang sensitif, kau tu yang suka sangat tanya soalan mengarut. Malam ni, aku ada press conference, kan?" soal Syadi sekali gus mengalih perhatian Rafi tentang perihal syarat-syarat pengawal peribadi.

"Haah, kau ada press conference malam ni. Yusra, awak kena standby. Saya nak awak perhatikan setiap wartawan atau tetamu yang hadir pada malam ni," ujar Rafi dengan riak yang serius.

"Baik, encik. Saya akan check setiap orang yang datang nanti. Tapi encik..." Kata-kata Yusra mati di situ. Anak matanya tidak jemu-jemu mengerling cermin pandang belakang dan cermin sisi dengan dahi yang berkerut.

"Kenapa?" soal Rafi pelik.

"Encik kenal ke kereta hitam yang berada di belakang kita sekarang ni? Saya rasa macam dia ikut kereta ini la," jawab Yusra.

Rafi dan Syadi berpandangan. Serentak, mereka menoleh ke belakang. Jelas, sebuah kereta hitam jenis Honda Civic bercermin gelap sedang mengekori mereka.

"Siapa tu? Kau kenal ke, Raf?" soal Syadi. Anak matanya tidak lepas daripada memandang kereta tersebut. Dia cuba mengamati nombor pendaftaran kereta tersebut, namun gagal. Huruf yang tertera di plat tersebut terlalu kecil dan kelihatan rapat, menyukarkan Syadi untuk melihat.

"Entah. Aku tak perasan pula kereta siapa. Mungkin wartawan kut?" balas Rafi.

"Kau jemput semua wartawan kan masa sidang akhbar nanti? Aku tak rasa tu wartawan." Syadi mulai gundah. Bayang lelaki bertopeng itu masih menghantui dirinya. Kesakitan yang dihadiahkan oleh lelaki misteri itu masih berbekas dalam dirinya.

"Kalau bukan wartawan, habis tu siapa?" Rafi bersuara. Lebih kepada dirinya sendiri.

Spontan, bola matanya bertaut dengan Syadi. Sahabatnya itu benar-benar kelihatan gelisah.

"Jangan panik. Saya akan uruskan," sampuk Yusra.

Dengan pantas, Yusra menekan pedal minyak. Kereta milik Syadi yang dipandunya menderum laju membelah jalan raya. Keadaan jalan raya yang tidak terlalu sesak, membantu Yusra untuk menjarakkan diri daripada kereta berwarna hitam tersebut.

Syadi dan Rafi terpaksa menahan diri apabila Yusra memandu dengan laju. Syadi meneguk liur. Sedangkan Rafi terkebil-kebil memandang Yusra. Cara gadis itu memandu, tidak nampak seperti seorang perempuan. Riaknya serius. Tatapannya cukup fokus.

"Ada lagi tak kereta tu?" soal Yusra tanpa melarikan pandangan daripada jalan raya.

"Hah?" Rafi terpinga-pinga. Lantas, dia menoleh ke belakang.

"Ada lagi. Tapi dah jauh," ujar Rafi.

Yusra hanya menganggukkan kepala. Dia harus bertindak cepat. Dalam hati, dia juga tertanya-tanya. Siapakah pemilik kereta tersebut? Nampaknya seperti mereka tidak jemu mengejar Syadi. Lantas, pedal minyak terus ditekan.

"Hati-hati, Yusra! Traffic light depan tu," tegur Rafi. Tiba-tiba saja perutnya kecut dengan pemanduan Yusra.

"Traffic light? Baik. Ini masanya untuk kita lepaskan diri," ujar Yusra. Dia tersenyum sinis sambil anak matanya menjeling cermin sisi. Kelihatan kereta hitam tersebut berada selang dua kereta daripada mereka.

"Ini masanya? Apa maksuddd..."

Belum sempat Rafi menghabiskan ayat, Yusra terlebih dahulu memecut laju. Lampu isyarat hijau mula bertukar oren. Namun, sepantas lintasan kilat, Yusra berjaya melepasinya tanpa sempat lampu isyarat tersebut bertukar merah.

"Yes! Kita berjaya!" ujar Yusra gembira apabila berjaya meninggalkan kereta hitam tersebut jauh di belakang. Dia berpaling sejenak ke sisi. Senyumannya mati dengan tiba-tiba.

Rafi memegang kejap tali pinggang keledar dengan mata yang terpejam rapat. Tangannya kemas bergayut di pemegang tangan yang terletak di sisi atas kereta tersebut. Kulit wajah Rafi kelihatan pucat tidak berdarah. Yusra menggigit bibir. Dia tidak menyangka sampai begitu sekali reaksi Rafi.

Kemudian, Yusra mengerling ke arah cermin pandang belakang. Dia tersentak apabila figura Syadi tidak kelihatan di pantulan cermin. Aik, ke mana pula Syadi menghilang?

"Tuan!" Yusra menggelabah. Lantas, dia memberi isyarat untuk berhenti. Sebaik saja kereta selamat diberhentikan, Yusra memandang ke belakang diikuti oleh Rafi.

"Syad, kau okey?" soal Rafi dengan perasaan yang bercampur baur di antara simpati dan geli hati.

Apa tidaknya, saat ini Syadi terduduk di atas lantai kereta dengan wajah yang berkerut. Rafi menahan tawa.

"Maaf, tuan. Saya tak sengaja," ujar Yusra gelabah.

Syadi menggosok pinggangnya. Kepalanya turut terasa pening. Dia menarik nafas panjang dan melepaskannya dengan kuat. Dia mendongak. Menentang bola mata Yusra dengan tajam.

"Kau ni apa hal? Kalau tak puas hati, cakap!" bentak Syadi tiba-tiba.

Yusra tergamam. Rafi terdiam. Pertama kali dalam hidupnya dia melihat Syadi membentak. Kebiasaannya lelaki itu selalu tenang dalam menghadapi segala masalahnya tetapi kali ini dia melihat lelaki itu benar-benar marah.

Manakala Yusra membeku. Dia tergamam bukan kerana bentakan yang keluar dari mulut Syadi. Bukan juga bahasa yang kasar yang digunakan oleh majikannya. Tetapi dia tergamam kerana ayat yang dilontarkan oleh lelaki itu seakan-akan pernah berada dalam memorinya. Ayat dan pandangan yang sama. Tapi di mana? Yusra kaku seketika. Adakah ini yang dikatakan deja vu?

Bạn đang đọc truyện trên: WatTruyen.Top