Bab 1
Shah Alam, 2013
APABILA jam sudah menginjak ke angka 3.50 petang, aku mula hilang fokus pada topik kuliah yang sedang dibincangkan oleh Profesor Alagan di hadapan. Fikiran aku mula melayang ke satu wajah dan hati mula dilanda keterujaan. Tanganku perlahan-lahan mengemas barang-barang di atas meja. Bersedia untuk keluar apabila jam menunjukkan tepat ke angka empat.
Mata dilirik ke arah jam di pergelangan tangan. Merenung jarum jam yang sedang bergerak. Hati mula menghitung detik. Lima puluh enam. Lima puluh tujuh. Lima puluh lapan. Lima puluh sembilan. Dan...
"Okay, class. We'll stop here. Class dismissed."
Yes! Hatiku menjerit. Girang. Laju aku bangun dari kerusi. Beg dicapai dan disandang. Dengan pantas, kaki melangkah ke pintu bilik kuliah.
"Weh, Aurora! Kau nak pergi mana?!" jerit Phia.
Aku menoleh ke arahnya. Tanpa berhenti melangkah. Sekadar tersengih dan melambai-lambaikan tangan. Dan bila aku toleh ke hadapan semula...
Pap!
Wajah comelku tersembam ke belakang tubuh seseorang. Aroma wangian lelaki menusuk ke rongga hidung. Aku kenal bau ini. Kakiku segera berundur beberapa tapak ke belakang. Menjarakkan diri dengan lelaki yang berdiri membelakangiku.
Mataku masih tertancap pada tubuh yang berbalut T-shirt berwarna biru gelap. Tubuh itu berpusing. Menghadapku. Mataku perlahan-lahan bergerak ke atas. Dari dada bidang si pemilik tubuh, ke bahagian leher yang jelas kelihatan halkumnya, naik ke bahagian dagu yang berkumis nipis, ke bibir, hidung dan mata.
Jeda. Mata bertemu mata. Aku telan liur. Kenapa dia?
Lelaki di hadapanku kini sudah bersilang tangan ke dada. Menatapku bersama hujung bibir terherot ke kiri. Sinis. Keningnya dinaikkan. Seakan-akan menanti sesuatu daripadaku. Penjelasan? Atau ungkapan maaf?
Maaf?
Bibirku pula yang tersenyum sinis. Perkataan itu tidak mungkin akan aku ucapkan pada dia. Bukan sebab ego. Bukan juga sebab aku bongkak, angkuh. Cuma lelaki seperti dia tidak layak untuk mendengar ungkapan itu dari mulutku.
I hate him.
Itu fakta.
I despise him.
Ini juga fakta.
Jadi, untuk apa ungkapan maaf diucapkan pada lelaki yang aku benci sepenuh hati? Sia-sia.
Aku larikan pandangan ke tempat lain. Sekali gus mematikan renungan mata kami. Tanpa sepatah bicara, aku kembali melangkah. Cukup selamba. Sedikit pun tidak mempedulikan si dia yang masih merenungku.
Namun, tidak sampai lima tapak melangkah, beg sandangku ditarik. Tubuhku terdorong ke belakang. Hampir sahaja aku jatuh ke dalam dakapan dia kalau aku lambat stabilkan badan. Terus aku palingkan wajah. Pandang dia dengan pandangan yang cukup tajam. Penuh kebencian.
"Kau dah kenapa?" marahku sambil sebak rambutku yang terjuntai ke belakang.
"Kau nak pergi mana?" soalnya tanpa nada. Tidak terkesan dengan amarahku.
"None of your business," jawabku bersama jelingan tajam sebelum aku berjalan tinggalkan dia.
Kakiku melangkah laju. Dari dewan kuliah, aku menuju ke tangga. Menyelit di antara pelajar-pelajar lain yang sedang turun tangga. Dari aras empat hingga ke aras bawah. Langkah kaki aku ayun ke tempat parkir motor.
Oh, damn! Motor siapa pula yang dah block motor aku ni?
Hatiku merungut geram bila aku nampak ada motor lain di belakang motorku. Motor itu aku perhati. Macam motor mamat tu. Aku kerling nombor plat motor.
Sah! Memang motor dia.
Aku ketap bibir. Geram. Dah kenapa dia park belakang motor aku? Macam tak ada tempat lain pula nak park. Sengajalah tu. Nak cari pasal... Hesy!
Satu-satunya cara untuk aku keluarkan motor aku adalah dengan mengalihkan motor itu. Sebab kiri dan kanan aku ada motor lain. Depan motor aku pula tembok. Takkan aku nak langgar tembok?
Dengan selamba dan cukup bersahaja, aku pegang handle motor dengan niat nak cuba alihkan. Tapi... Berkunci! Aku hembus nafas kasar. Hati mula terasa panas. Mataku melingas ke sekeliling. Mencari si pemilik motor. Mana pula mamat ni? Takkan tak turun-turun lagi?
Telefon pintar aku keluarkan dari poket seluar. Cuba hubungi mamat tu. Lama aku tunggu panggilan aku disambungkan, namun mesin suara pula yang jawab. Sekali lagi aku cuba telefon. Masih tak berjawab. Terlepas keluhan dari bibirku.
Where on earth are you, Muhammad Eidlan bin Zuhairi?
Kegelisahan mula melanda diri. Jam di pergelangan tangan aku kerling. Bibir digigit-gigit. Sekali lagi aku liarkan mata. Kepalaku berpusing 360 darjah mencari Eid. Setiap penjuru aku intai dan akhirnya pandangan mataku terhenti ke satu arah.
Dari jauh aku sudah nampak mamat tu. Berjalan terkedek-kedek dan bergelak tawa bersama beberapa orang gadis. Junior kami. Bibirku sudah terherot menyampah. Satu pemandangan yang sudah cukup biasa untuk tatapan mataku. Eid dan dayang-dayangnya. Dari dulu hingga sekarang.
Playboy? Hmmm... Mungkin. Tapi lantaklah. Aku malas nak ambil tahu pasal dia. Yang aku tahu sekarang ni aku nak dia cepat-cepat alihkan motor. Aku tak boleh lambat dan aku tak nak lambat.
"Eid!" laungku. Kuat.
Tapi dia tak dengar. Langsung tak berpaling ke arahku. Masih rancak berbual mesra dan bergelak tawa dengan dayang-dayang dia.
"Eidlan!"
Sekali lagi aku jerit. Lebih kuat. Tapi masih dia tak dengar.
"Muhammad Eidlan bin Zuhairi!"
Ha! Nama penuh terus aku jerit. Dan jeritanku kali ini berjaya menarik perhatian Eid. Lelaki itu memalingkan wajahnya ke arahku. Memandangku dengan riak wajah yang penuh tanda tanya. Seakan-akan bertanya apa yang aku mahukan daripada dia.
Jari telunjukku terus ditujukan ke arah motornya. Dan membuat gaya untuk dia mengalihkan motor dengan kadar segera.
Eid tayang wajah tak bersalah. Dia kalih pandang ke arah dayang-dayangnya semula. Menamatkan perbualan mereka bersama senyuman manis terhias di bibir. Lelaki itu mula mengatur langkah ke arahku. Aku menanti dengan wajah yang jelas bengang. Sebaik sahaja Eid berada di depan mata, aku terus hamburkan kegeramanku.
"Lain kali kalau dah block motor orang tu, cepat-cepatlah alihkan. Lepas tu, tak payahlah lock handle," rungutku.
"Yang kau tergesa-gesa sangat ni kenapa? Bukannya ada kelas lagi lepas ni?" balas mamat tu, selamba dan bersahaja.
"Eh, suka hati akulah nak tergesa-gesa ke, apa ke... Aku ada plan lain lepas ni dan aku dah lambat. Semuanya sebab kau."
Eid duduk di atas motor bersama sebuah jelingan kepadaku.
"Kau nak pergi mana sebenarnya?" soal Eid. Duduk kaku di atas motornya. Tiada tanda-tanda untuk alihkan motor itu.
"Perlu ke aku bagi tahu?"
"Yes! Perlu," jawab Eid bersahaja.
Aku tergelak. Sinis.
"Kenapa pula? Kau siapa?"
"Boyfriend kau," balas Eid bersama kenyitan mata.
Aku terus buat muka. Oh, my God! Please...
Eid tertawa kuat. Jelas yang dia tidak memaknakan kata-katanya. Dan aku juga tidak mengharapkan dia memaknakan kata-kata itu. Euwww!
SEJUJURNYA... Aku pernah sukakan dia.
Pernah ada perasaan pada dia.
Per. Nah.
Yang mana bermaksud sekarang perasaan itu tiada lagi.
Perasaan itu pernah wujud satu ketika dahulu. Bertahun-tahun lamanya. Waktu kali pertama aku jumpa dia. Di kampung. Dan waktu itu aku baru belasan tahun. Dua belas tahun mungkin. Waktu aku ikut Lyn balik ke kampungnya setelah selesai menduduki UPSR.
Ya, aku yakin. Itu kali pertama aku jumpa dia. Tika itu aku sangatlah naif. Aku jatuh suka pada rupa dia yang ketika itu mampu membuatkan aku terpukau. Mampu membuatkan hati aku berdetak kuat. Kelakar, bukan? Apalah yang budak dua belas tahun tahu tentang cinta masa tu? Tapi itulah yang aku rasa. Aku terpukau dengan ketampanan wajah dia saat kali pertama kami bertemu.
Namun perasaan itu hanyalah bersifat sementara. Perasaan itu hanya bertahan sebelum aku kenal dia siapa. Sebelum aku kenal personaliti dia. Aku tak sangka budak kampung yang pendiam dan pemalu itu akan membuatkan hati aku jengkel dengan kehadirannya. Membuatkan hati aku sebal dengan kewujudannya. Hari-hari aku yang indah bersama Lyn selama ini terus bertukar malapetaka bila dia muncul antara kami.
Dan tika itu... Rasa suka aku pada dia bertukar kepada rasa benci.
Sehingga ke hari ini.
He's my biggest enemy. And I know our feeling is mutual.
Eid masih di atas motornya. Tidak berganjak. Seolah-olah menanti sesuatu daripada aku. Apa yang dia nantikan? Sebuah jawapan?
"Kau nak apa sebenarnya ni? Jangan kacau aku boleh tak?"
"Aku cuma nak tahu kau nak pergi mana," balas Eid, datar.
Aku jongket kening.
"Sejak bila pula kau suka interfere hal peribadi aku?"
"Sejak aku putuskan untuk ambil tahu."
Terbit tawa sinis di hujung bibir.
"Look! Even mama aku dengan mama kau best friend, even aku dengan kembar kau best friend forever, tak bermakna kita ni best friend juga tau. Friend pun tak. Kita..."
Aku tuding jari ke arah dia dan aku bila aku sebut 'kita'.
"Musuh."
"Musuh?" soal Eid, pura-pura terkejut dengan kata-kata aku.
Aku lepaskan gelak. Geli dengan reaksi palsu Eid. Huh, dia ingat aku tak tahu ke rencana dalam otak dia tu? Dia lelaki yang penuh dengan rencana. Rencana yang sudah semestinya tidak baik.
"Sejak bila pula kita ni musuh? Aku tak pernah anggap kau musuh aku pun."
"Oh, come onlah, Eid. Kau lupa? Aku benci kau. Kau benci aku. We hate each other."
Giliran Eid pula yang gelak.
"Tu cerita lamalah, Aur. Kau masih tak boleh lupakan ke?"
"Kalau cerita lama, takkan berbangkit sampai sekarang?"
Sebuah jelingan tajam aku hadiahkan pada Eid sebelum aku naik ke atas motorku.
"Dahlah, Eid. Aku dah lambat ni. Alihkan motor kau sekarang."
Eid diam. Tak cakap apa-apa. Motornya dialihkan.
Aku terus undurkan motor dan pecut ke satu destinasi. Apa yang berlaku antara aku dan Eid, aku tak simpan dalam hati pun. Kejadian macam ni sudah selalu berlaku. Ia sesuatu yang normal. Lagipun, buat apa aku peningkan kepala pasal mamat tu bila aku ada seseorang yang lebih penting untuk difikirkan saban waktu?
MOTOR diparkir betul-betul di hadapan perpustakaan. Aku cepat-cepat tanggalkan helmet dan turun dari motor. Kaki deras melangkah menuju ke dalam perpustakaan, memanjat anak tangga hingga ke aras tiga. Seakan-akan tergesa-gesa. Ya, memang aku tergesa-gesa pun sebab aku sudah lambat. Lambat beberapa minit pun aku dah anggap ia satu kerugian. Tahukah anda semua aku sudah menunggu satu minggu untuk detik ini?
Ceh! Satu minggu aje pun.
Tiba di aras tiga, aku lencongkan kaki ke satu arah. Langkahku semakin perlahan. Tidak selaju tadi. Mata melilau sekeliling. Mencari si dia. Dia yang masih belum aku ketahui namanya. Yang telah membuatkan aku menjadi seorang gadis library.
Bibir menguntum senyum. Manis. Girang. Teruja.
Dia ada. Di tempat yang sama.
Senyuman tidak mampu dilenyapkan dari bibir. Aku terlalu gembira. Gembira dapat menatap wajah kacak itu. Wajah yang berjaya buat dadaku berombak laju, yang mampu membuatkan hatiku bagaikan digeletek sesuatu.
Aku hela nafas perlahan. Melepaskan segala rasa penat lelah berjalan laju ke sini. Tarik nafas. Lepas. Tarik nafas. Lepas. Berkali-kali aku ulang. Cuba stabilkan aturan nafas. Jari-jemari menyisir rambut yang sedikit kusut dek tiupan angin sewaktu aku merempit ke sini tadi.
Kaki melangkah perlahan menghampiri si dia. Dengan gaya yang cuba kontrol ayu. Cuba tampak tenang dan bersahaja sedangkan jantungku sedang berdegup laju. Aku pura-pura tak pedulikan si dia padahal mataku kerap melirik ke arah dia.
Kegilaan apakah ini? Sejak bila kau jadi perempuan yang gatal ni, Aurora?
Sejak kau bertemu dia.
Satu suara di sudut kecil hatiku menjawab. Aku tersenyum dalam hati. Ya. Sejak aku bertemu dia. Sejak dia muncul dalam hidupku dan membuatkan sekeping hatiku terpaut. Terpaut pada apa, aku pun kurang pasti. Pada rupa parasnya? Pada kelembutan di wajahnya? Atau pada ketenangan di wajahnya?
Aku matikan langkah di hadapan sebuah meja. Selang beberapa meja dari meja si dia. Dan aku memilih untuk duduk bertentangan dengan dia. Betul-betul bertentangan tanpa sebarang halangan meskipun ada beberapa meja lagi di hadapanku. Aku suka posisi sebegini. Tidak begitu dekat dan tidak begitu jauh. Just nice! Cukup untuk mengisi rasa bahagia dan gembira dalam hatiku.
Usai labuhkan duduk, aku keluarkan barang-barang dari beg sandangku. Pencil case. Buku nota. Kalkulator. Dan beberapa helai kertas tutorial. Bersama lafaz bismillah, aku mula menumpukan perhatian pada tugasan tutorial.
Aku tahu mesti ada orang ingat aku pergi ke perpustakaan, tempat menimba ilmu ini, semata-mata untuk bertemu dengan crush. Well, memang tak salah pun. Memang betul. Aku mengaku. Dan aku tak akan nafikan. Memang aku datang sini semata-mata nak jumpa dia. Setiap hari Rabu. Pukul empat petang.
Tapi tidak bermakna, aku akan tatap wajah dia macam orang gila. Macam orang angau. Oh, tidak. Kegilaan aku belum sampai ke tahap itu. Dan aku harap tak akan sampai ke tahap itu. Cukuplah tahap ini. Sekadar memerhati dari jauh. Sekadar menyukai dari jauh. Ini sudah cukup bagiku.
Macam mana aku boleh bertemu dengan dia?
Perpustakaan ini.
Perpustakaan ini yang menemukan kami.
Semuanya bermula pada semester lepas. Sewaktu musim study week sebelum final exam. Sebab aku ni jenis yang susah studi dekat rumah, aku pun studi dengan kawan-kawanku dekat perpustakaan. Satu hari tu, disebabkan perpustakaan yang berhampiran dengan fakulti kami penuh, kami pergi ke perpustakaan utama. Masa inilah aku bertemu dengan si dia. Sedang ulang kaji berseorangan.
Sejak detik itu, setiap hari aku nampak dia dekat perpustakaan. Aku sengaja paksa kawan-kawanku untuk studi di perpustakaan utama dengan alasan perpustakaan kami selalu penuh. Tapi bila masuk semester baru, aku sudah tidak nampak dia.
Biasalah... Orang selalu rajin pergi perpustakaan waktu exam aje. Aku hampa. Kecewa. Sedih. Sehinggalah aku jumpa rutin yang dia akan pergi ke perpustakaan ini pada setiap hari Rabu, pukul empat petang. Sebab itulah aku tergesa-gesa nak ke sini tadi. Aku hanya dapat bertemu dengannya selama dua jam sahaja dalam satu minggu. Pukul empat petang sehingga enam petang.
Hmmm, hebat kan aku? Sudah hafal jadual dia. Tapi namanya masih belum aku tahu.
Tak apa. Step by step. Tak ada yang perlu dikejarkan. Aku lebih selesa begini. Mengenali dia dengan cara begini. Mungkin satu hari nanti aku akan memulakan langkah perkenalan. Tapi bukan sekarang. Sebab buat masa sekarang, aku selesa begini.
Bạn đang đọc truyện trên: WatTruyen.Top