WatTruyen.Top

Ari

Bab 11

karyaseni2u

Keputusan SPM yang bakal diumumkan tidak membuat aku berdebar sedikit pun. Malah aku tidak peduli.

Hari-hari mengalir dengan penuh jemu. Ria tetap taat menjaga ibunya. Kami tidak lagi berjumpa. Aku sendiri tak sanggup melihat keadaan Ria. Aku sedih bila dia mengambil keputusan untuk berhenti sekolah. Aku terseksa setiap kali melihat wajahnya yang seperti mendung tiada cahaya.

Zihan pula entah tersadai di mana. Dia tidak pulang-pulang. Aku fikir, aku takkan dapat mencintai Ria lagi kerana jalan kami sudah tidak selari. Dia dengan segala kelemahan dirinya. Dan aku dengan segala kemahuanku yang meledak-ledak.

Bukit hantu menjadi tempat escapism yang paling sempurna. Di situ aku menemui pecahan diriku yang seperti jigsaw puzzle. Setiap hari aku akan meniti tebing curam untuk memahirkan keseimbangan. Tanpa bosan dan lelah, aku meniti berulang-ulang sehingga gerakanku menjadi lebih pantas dan cekap.

Beberapa kali aku berpeleset dan hampir terhumban. Mujur sempat kucapai juluran daun-daun pokok yang meliar di tepi tebing. Anehnya, itu tidak sedikit pun membuatkan aku serik. Malah saat-saat hampir mendepani maut menjadikan aku lebih terangsang. Adrenalin memicu darahku lebih kencang. Permainan berbahaya itu ternyata sangat mencabar akal dan nyali. Itulah yang aku cari. Hidup bagiku saat itu hanyalah satu garisan tipis. Ada dan tidak ada. Itu sahaja.

Tebing bukit telah menumpaskan semua ketakutanku. Aku rasa lebih yakin bila berada di tempat tinggi. Setiap kali aku meniti dan melihat rahang gaung yang menganga di bawah, endorphin dalam otakku menembak lebih banyak.

Sesekali aku diganggu suara-suara di dalam kepalaku. Ada suara-suara yang menyuruh aku terjun ke dalam gaung. Kau harus merasai kematian, kata suara itu. Mati hanyalah tidur nyenyak tanpa mimpi. Dan yang pasti tiada kesakitan. Suara-suara lain pula bertempik riuh-rendah menegah. Suara-suara itulah yang membuatkan aku gila dan kemudian waras semula. Aku mengenepikan semua hasutan. Aku putuskan untuk menikmati kegilaan ini lebih lama.

Maka, setiap hari aku bereksperimen dengan bermacam-macam cara. Bermain-main dengan nyawa umpama berenang menyusuri gua purba suku maya di dasar lautan. Aku ketagihan melakukan perkara-perkara di luar kewarasan. Sering aku bayangkan diriku melayah di udara dengan sepasang sayap seperti burung nasar. Atau terjun melayang dari puncak gunung yang berkabus tebal.

Berjalan di tebing kemudian menjadi terlalu mudah dan tidak mencabar lagi. Semuanya menjadi hambar, tidak terangsang. Suara-suara di dalam kepalaku kembali mencabar. Kali ini aku disuruh berjalan di tebing dengan mata yang bertutup pula. Aku teruja. Aku sahut. Aku akan menentang diriku sendiri.

Ternyata perkara itu tidaklah sesukar mana. Tebing berjaya kususuri dengan mata bertutup. Aku tambah mengagumi diriku.

Keseronokan berjalan di tebing dengan mata tertutup, tidak memberi nikmat yang lama. Aku mulai bosan dan merasa kosong semula. Sesuatu yang lebih mencabar harus dilakukan. Sesuatu yang lebih gila. Lebih bahaya. Aku mengambil keputusan untuk bergayut di bawah tebing untuk menguji kekuatan kedua-dua tanganku pula. Aku makin seronok bermain-main dengan maut dan bahaya.

Dalam temaram cahaya pagi, aku mula berlatih bergayutan di bawah tebing. Aku mencengkam dan bergantung di bucu-bucu batu. Aku harus memastikan dahulu kekuatan batu-batu agar cukup kukuh menampung berat tubuhku. Aku lakukan secara terus menerus. Kadang-kadang aku harus melawan angin agar tidak terjunam jatuh. Pusaran air di bawah setiap saat mengaum-ngaum seperti tak sabar mahu menelanku.

Kesunyian di puncak bukit membantu aku menenangkan diri. Aku biarkan diriku tergantung selagi tanganku mampu berpaut. Kadang-kadang aku tidur beberapa saat dalam keadan bergantung seperti kelawar sambil dikawal arus di bawah sedar. Dalam keadaan itu aku mencapai tahap ketenangan paling maksima.

Kolaborasi minda, kekuatan tangan dan kedua-dua kaki menjadi gabungan kimia yang paripurna. Aku melatih tanganku untuk bertahan selama yang mungkin. Tapak tanganku sampai luka-luka dan melecet. Kuku-kuku jariku pecah-pecah dan patah. Malah selalu terkopak dan berdarah. Semua itu tidak sedikit pun menjadikan aku lemah dan menyerah.

Tiada siapa yang tahu tentang kerja gila yang sedang aku lakukan. Saban hari aku bergayutan di cenuram setiap hari kecuali hari hujan. Aku mula belajar tentang kuasa dan evolusi minda manusia.

Minda sememangnya boleh dilatih dan dikawal mengikut apa yang kita mahu. Aku berlatih menggunakan kaedah kawalan minda sepenuhnya. Ketika itu baru aku faham bagaimana hebatnya kuasa minda yang digunakan untuk membengkokkan sudu besi hanya dengan menggosokkan ibu jari seperti yang pernah kutonton di TV.

Setiap pagi, aku memperkuatkan kuasa kawalan minda ketika melakukan gayutan di tebing tinggi. Aku mencari gelombang alfa paling tenang dalam minda untuk melakukan semua itu. Mula-mula aku lakukan dengan kedua-dua tangan, kemudian dengan sebelah tangan. Kekuatan tanganku rupa-rupanya sangat luar biasa. Aku menemui satu lagi kekuatan baru dalam diriku.

Aku mula berlatih menuruni tebing hingga separuh jalan, kemudian memanjat naik semula. Semuanya itu kulakukan dengan kekuatan tangan dan kaki tanpa sebarang peralatan. Kadang-kadang aku bergantung dengan kepala ke bawah dan kaki ke atas. Jika terlepas pegangan dan salah pertimbangan, aku terus akan menjunam ke laut. Itu yang membuat aku tambah seronok.

Petang itu, ketika menanti senja yang belum datang, aku rasa ingin pergi jauh dari semua orang. Kadang-kadang kita perlu meneruskan perjalanan tanpa orang-orang yang kita sayang. Jika ditakdirkan mereka datang semula dalam hidupku lagi, itu tali azali yang harus disyukuri. 

Bạn đang đọc truyện trên: WatTruyen.Top