WatTruyen.Top

Ari

Bab 1

karyaseni2u

Apa lagi yang perlu aku perkatakan tentang sebuah perjalanan yang runcing dan tajam. Tentang peluru dan balingan pisau. Tentang masa lalu yang selalu dikalahkan oleh masa depan. Tentang gunung, kabut, hutan dan awan.

Aku tak pasti apakah tulisan ini satu pengakuan, memoir atau roman. Aku memanggilnya jurnal biarpun aku lebih senang mengungkapnya sebagai kenangan. Kenangan takkan hilang selagi kita mengingatinya. Dan kita selalu sahaja ingin mengulangi kenangan.

Memoir ini kucatat di sela-sela kecintaanku mendaki gunung. Tujuanku bukan sekadar menawan tingginya gunung tapi menikmati jalan terjal untuk mencapai puncaknya. Kata seorang rakan pengembara, pendaki gunung itu seperti Sisyphus, naik untuk turun lagi.

Hari ini, genaplah sepuluh tahun aku hidup nomad. Sebagai pengembara tak beralamat, tentu sekali aku tak punya rumah, tiada telefon bimbit, tiada harta benda. Tiada apa-apa. Tapi aku bukan gelandangan. Bukan.

Juga, sebagai orang yang selalu berpergian, aku tak pernah berlama-lama di tempat yang sama, meskipun tempat itu adalah tempat yang paling aku suka. Setiap pagi, selepas bercukur atau minum kopi, jika aku rasa harus pergi, segera kukemaskan barang-barangku yang tidak seberapa lalu menghilang.

Terus terang, aku sedang diburu sekarang. Sebagai penjahat sejati, aku bukanlah orang buruan yang pasif. Aku selalu memberi reaksi. Selalu responsif. Justeru itu, aku juga harus memburu.

Dalam rimba pertarungan ini, aku adalah mangsa, sekali gus pemangsa. Aku adalah jerat. Aku adalah kijang. Dan akulah senapang pembedil.

Tentu sekali aku tak kenal siapa pemburuku. Tetapi dia kenal aku. Siapa antara kami yang akan tewas dulu, aku tidak tahu. Barangkali aku. Barangkali si pemburu.

Yang pasti, kami sama-sama pemburu. Sama-sama menyimpan kuku. Aku yakin, kami akan bersemuka di satu titik temu. Tidak tahu bila. Entah-entah esok. Harap-harap esok.

Untuk sementara waktu ini, aku harus lebih berhati-hati. Meski dengan bayang-bayangku sendiri. Aku pasti, di setiap laluan dan ruang, bahaya sedang menanti. Sekiranya aku harus mati, aku akan menghadapinya dengan caraku sendiri. Seboleh-bolehnya, begitulah.

Untuk bajingan seperti aku, hidup sangat mudah. Nothing to lose. Pemburu itu boleh memburuku sedekat dan sekerap yang dia mahu. Itu tugasnya. Aku ada tugasku. Antara penjahat dan dirinya, tiada apa yang penting, melainkan keinginan dan kata hatinya sahaja.

Aku sebetulnya tidak tahu sejak bila fasa kejahatanku bermula. Yang aku tahu, aku sendiri yang memilih jalan nista ini. Sejak itu, kejahatan mengalir terus dari kedua-dua tanganku seperti air pili.

Sebagai orang yang memilih kejahatan, sudah tentu aku telah lama jauh dari Tuhan. Orang yang sudah bergelumang dosa, tentu tidak takut lagi dengan dosa.

Semua orang tahu, setiap manusia ada titik lemah. Begitulah aku. Aku tidak selalunya gagah. Aku masih tidak dapat lari dari bayang-bayang ketakutan. Ketakutan tetap datang mengintai-intai. Terutamanya ketika aku sendirian pada hari-hari yang penuh sunyi.

Dahulu, aku sering gusar memikirkan bagaimana aku akan ditamatkan? Dengan cara apa aku akan ditumbangkan? Di ceruk mana aku akan tersungkur? Pada garis lintang mana kakiku bakal tersandung? Memikirkan semua itu, aku jadi ngeri. Aku digulung ketakutan demi ketakutan.

Dalam pada itu, kejahatanku terus berjalan. Aku mulai mangli dengan segala keadaan. Senang, susah, sakit, perit, semuanya sudah kurasa. Bagi iblis selicik aku, semua itu sekadar selingan. Yang nyata, aku sukakan hidup yang bahaya. A safe life is a boring life.

Mungkin kau sudah tahu. Namaku Ari.

Jika kau berjumpa denganku, kau tentu menyangka aku orang baik-baik. Jika kau perempuan, barangkali kau dengan mudah jatuh cinta padaku. Barangkali. Jika kau lelaki, kau akan suka mendengar cerita-cerita pengembaraan yang aku lalui dengan hati yang iri.

Kenapa aku memilih menjadi pembunuh? Banyak peperangan di dunia ini berlaku atas sebab-sebab yang silap. Begitu juga dengan diriku. Aku berperang atas satu kesalahan ke satu kesalahan yang lain. Aku jarang menang. Jarang juga kalah.

Kenyataannya, menjadi orang jahat lebih sukar daripada menjadi orang baik. Tidak mudah menjadi orang yang kerjanya mencabut nyawa. Untuk menjadi syaitan, aku wajib melupakan yang aku ini manusia. Aku harus membuang semua perasaan dan sifat insaniah. Aku biuskan diriku untuk tidak merasa apa-apa. Aku tutup semua deria dari menyimpan segala belas kasihan. Jangan fikirkan apa di hadapan. Jangan.

Adakalanya, dalam perjalanan mencapai sesuatu kita akan bertemu dengan banyak pintu. Pintu yang membawa aku ke lubuk hanyir ini, adalah sebuah pintu bernama dendam. Sebuah kemelut tipikal. Kisah tentang dendam sudah bermula ribuan tahun dahulu, sejak Habil dan Qabil. Tiada yang baharu. Dendam tetap dendam. Hitam adalah hitam.

Nama aku Ari. Penulis, pemburu, pendaki gunung, pemanjat tebing, pelukis dan pembunuh adalah aku.

Hari ini, waktu ini, aku sedang berkelana mencari orang yang telah lama hilang dariku. Aku tak tahu apakah aku harus memanggil kisah ini sebagai satu kisah cinta kerana ia bukanlah kisah cinta.

Adalah sangat memualkan bagi orang sekejam aku mengutamakan kisah cinta daripada segala kejahatannya. Anggaplah apa yang kau baca ini sekadar sehelai kenangan yang terlepas dari dahan waktu. Tidak lebih dari itu. 

Bạn đang đọc truyện trên: WatTruyen.Top